Tuesday 9 August 2016

Pertempuran sengit di Aleppo




SEORANG anggota penentang membuat persiapan bagi menghadapi pertempuran dengan tentera rejim Syria di Aleppo.

Beirut: Rejim Syria dan kumpulan penentangnya mengerahkan ratusan pasukan tambahan masing-masing ke Aleppo selepas pejuang penentang mengumumkan serangan besar-besaran untuk menguasai bandar raya kedua terbesar negara itu.

Pertempuran untuk menawan bekas hab ekonomi Syria itu semakin sengit selepas kumpulan penentang berjaya memecahkan kepungan tentera kerajaan di timur Aleppo kelmarin, sekali gus memberi tamparan hebat kepada tentera yang setia kepada Presiden Bashar al-Assad.

Kelmarin, kumpulan penentang itu yang menamakan diri mereka Tentera Penakluk mengumumkan usaha untuk menawan seluruh bandar Aleppo. Jika berjaya, ia akan menjadikan kemenangan terbesar mereka dalam perang saudara Syria yang bermula lima tahun lalu.

Bagaimanapun, rejim Bashar memberi tentangan sengit dan mula menghantar pasukan tambahan ke bandar itu.

Kumpulan Pemantau Hak Asasi Syria berkata, kira-kira 2,000 militan Syiah Iraq, Iran dan Lubnan juga tiba di Aleppo untuk membantu tentera Syria.



“Kedua-dua pihak sudah mengumpulkan bala tentera masing-masing sebagai persiapan untuk pertempuran besar-besaran di Aleppo,” kata ketua kumpulan pemerhati itu, Rami Abdel Rahman.

Akhbar Al-Watan milik kerajaan Bashar melaporkan, tentera negara itu sudah bersiap sedia untuk melancarkan serangan bagi menguasai semula kawasan yang jatuh ke tangan penentang.

Pesawat tentera juga melancarkan serangan dengan menyasarkan kedudukan kumpulan berkenaan.

Dalam kenyataan yang dikeluarkannya, Tentera Penakluk berkata, ratusan pejuangnya sudah berada di Aleppo selepas tiba dari wilayah berhampiran, khususnya Idlib, untuk melancarkan serangan fasa baru bagi ‘membebaskan Aleppo.’

Sementara itu, pemerhati menyifatkan pertempuran di Aleppo itu amat penting walaupun ia tidak akan menamatkan perang saudara yang sudah meragut 280,000 nyawa sejak ia bermula pada 2011.
Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 Ogos 2016 @ 10:46 AM