Beribu-ribu orang awam dilaporkan telah terkorban atau cedera disebabkan dalam serangan bom barel yang merupakan sejenis senjata yang dihasilkan daripada tong minyak, silider gas dan tangki air yang diisi dengan bahan letupan dan sepihan besi yang digugurkan dari helikopter, kata pertubuhan yang berpangkalan di Amerika Syarikat itu.
Dengan menggunakan imej satelit, pertubuhan itu mengenal pasti sekurang-kurangnya 450 kawasan di 10 bandar dan perkampungan di selatan Daraa selain lebih 1,000 kawasan di bandar Aleppo di utara Syria rosak teruk sejak beberapa tahun lalu ekoran penggunaan bom barel.
Kumpulan hak asasi manusia itu juga meneliti berpuluh-puluh rakaman video yang dimuat naik di laman YouTube menunjukkan kawasan yang mengalami kesan teruk dan helikopter Syria Mi-17 menggugurkan bom barel di kawasan orang awam.
Pertubuhan itu berkata, satu sekatan bekalan senjata akan menghadkan kemampuan rejim Syria untuk melancarkan serangan udara dan menghadkan keupayaan rejim itu untuk membeli helikopter baharu atau menyelenggara pesawat-pesawat pejuang.
Gesaan itu dibuat sejurus selepas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) cuba mendapatkan sokongan Bashar untuk menghentikan serangan ke atas Aleppo dan membenarkan pasukan bantuan kemanusiaan masuk untuk memberi bantuan kepada orang awam.
“Selama beberapa tahun, Majlis Keselamatan PBB masih tidak melakukan apa-apa bagi menghentikan kempen pengeboman udara oleh kerajaan Bashar di kawasan pemberontak yang turut memusnah, membunuh dan menyebabkan orang awam kehilangan tempat tinggal.
“Di tengah-tengah perbincangan bagi menghentikan sementara serangan di Aleppo, persoalannya sekarang ialah sama ada Rusia dan China akan membenarkan Majlis Keselamatan PBB melaksanakan sekatan bagi menghentikan penggunaan bom barel,” kata Nadim Houry, Pengarah Pertubuhan Hak Asasi Manusia di Asia Barat. – AFP