Wednesday 9 April 2014

Krisis bantuan makanan Syria

Krisis bantuan makanan Syria
Kira-kira 2.4 juta penduduk tidak mendapat bantuan bekalan makanan daripada UNHCR.
9 April 2014  DAMSYIK - SYRIA. Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) terpaksa mengurangkan satu perlima bantuan makanan penduduk Syria akibat kekurangan dana.

Pesuruhjaya Tinggi PBB untuk Pelarian (UNHCR), Antonio Guterres memaklumkan krisis tersebut telah menyebabkan hanya 4.1 juta dari 6.5 juta penduduk mendapat bantuan makanan.

"Negara pemberi dana bersetuju untuk menyalurkan AS$2.3 bilion (RM7.4 bilion) bagi membantu penduduk Syria dalam satu persidangan di Kuwait pada Januari lalu.

"Bagaimanapun, setakat ini, kami hanya menerima AS$1.1 bilion (RM3.6 bilion) termasuk AS$250 juta (RM808 juta) yang disumbangkan oleh Kuwait," jelasnya pada Al-Jazeera.

Difahamkan, UNHCR masih memerlukan lebih AS$1.6 bilion (RM5.1 bilion) untuk membiayai operasi bantuan kemanusiaan di negara bergolak itu berikutan mereka hanya menerima 22 peratus daripada jumlah dana dijanjikan sebelum ini.

Bashar mahu pertumpahan darah dihenti


DAMSYIK 8 April - Presiden Syria, Bashar al-Assad semalam menyatakan hasrat kerajaan untuk menghentikan keganasan dan kehancuran di negara ini melalui usaha damai dengan kumpulan penentang kerajaan, lapor agensi berita Xinhua.
Kenyataan Bashar itu sekali gus menunjukkan sikap terbuka kerajaan untuk mencari jalan penyelesaian konflik di negara ini selepas kegagalan pihak antarabangsa untuk menamatkan krisis yang berlanjutan selama tiga tahun melalui jalan politik.
"Kerajaan akan meneruskan usaha perdamaian kerana kebimbangan utama kami adalah untuk menghentikan pertumpahan darah dan kemusnahan infrastruktur di negara ini," katanya ketika berucap pada majlis meraikan ulang tahun ke-67 parti pemerintah, Parti Al-Baath.
Setakat ini, kerajaan mencapai perjanjian damai dengan kumpulan bersenjata di Barzeh, al-Qaboun, Beit Sahm dan Babilla yang terletak di sekitar Damsyik dan kerajaan masih berusaha berbuat perkara yang sama di beberapa lokasi pertempuran yang lain.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140409/lu_06/Bashar-mahu-pertumpahan-darah-dihenti#ixzz2yKt6GpV4
© Utusan Melayu (M) Bhd