Perkara itu diumumkan kerajaan sebagai antara langkah mengurangkan jumlah pelarian di negara ini selain memutuskan untuk mengusir sekurang-kurangnya 50,000 pela­rian dalam tempoh empat tahun, menurut satu ringkasan perjanjian antara Kementerian Dalam Negeri, Pertahanan dan Integrasi yang dikeluarkan, semalam.
Menerusi perjanjian itu juga, Austria akan meningkatkan pengusiran pelarian dari negara ini ke Maghribi, Algeria dan beberapa negara lain yang dianggap selamat.
Di sebalik rasa simpati terhadap pelarian, kebimbangan orang awam terhadap kebanjiran pencari suaka mengakibatkan peningkatan sokongan kepada parti berhaluan kanan di Austria yang merupakan pihak pembangkang kepada kerajaan campuran dari Parti Demokrat Sosial dan Konservatif.
Dalam usaha terbaharu bagi menangani kebimbangan itu, kerajaan pada bulan ini mengumumkan akan mengehadkan jumlah pelarian di negara ini kepada 127,500 orang atau 1.5 peratus daripada jumlah keseluruhan penduduk dalam tempoh empat tahun.
Ketika satu penyelesaian bersama dalam kalangan negara Eropah terhadap krisis itu berdepan tentangan dan penangguhan, Vienna menegaskan, pihaknya akan bertindak sendirian bagi mengurangkan jumlah pelarian jika terpaksa berbuat demikian.
Austria dan Jerman pada September tahun lalu membuka pintu sempadannya kepada ribuan pelarian yang membanjiri Eropah dengan kebanyakannya melarikan diri daripada perang dan masalah kemiskinan yang berlaku di Asia Barat, Afghanistan dan negara-negara lain. – REUTERS