Menurut Kementerian Pertahanan Rusia, jet tempur Rusia melancarkan lebih 40 serangan udara menyasarkan 158 kawasan pengganas di wilayah itu dalam masa 24 jam bermula malam kelmarin.
“Selepas pertempuran sengit dilancarkan pada waktu malam, pasukan tentera berjaya menguasai semula kedua-dua tapak wa­risan purba dan kawasan-kawasan kediaman di Palmyra.
“Pasukan tentera semakin yakin dan kini bersiap sedia untuk melancarkan serangan sete­rusnya di wilayah Raqqa,” jelas kementerian berkenaan.
Dalam pada itu, Pengarah Badan Pemantau Hak Kemanusiaan Syria, Rami Abdel Rahman berkata, sekurang-kurangnya 400 anggota kumpulan militan IS terbunuh dalam serangan tersebut yang juga kekalahan terbesar kumpulan itu sejak ditubuhkan pada tahun 2013.
“Insiden itu turut menjadi kekalahan simbolik IS seperti yang berlaku di Kobane, sebuah bandar di sempadan Turki apabila pemberontak Kurdis berjaya menawan semula bandar yang dikepung oleh kumpulan militan tersebut selama beberapa bulan,” katanya.
Kumpulan militan IS yang menakluk Palmyra sejak Mei tahun lalu dilaporkan berundur ke bandar Sukhnah dan Deir Ezzor di timur negara ini.
Palmyra merupakan tapak warisan sejarah yang diiktiraf oleh Pertubuhan Pendidikan, Saintifik, dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNESCO) yang menghubungkan Empayar Rom dengan Parsi dan pernah menjadi tarikan 150,000 pelancong setiap tahun.
Selepas menawan bandar tersebut, kumpulan militan IS memusnahkan beberapa monumen serta tugu-tugu terkenal yang disifatkan UNESCO sebagai jenayah perang dan boleh dihukum oleh Mahkamah Jenayah Antarabangsa.
Rampasan semula bandar itu menjadi kejayaan besar kepada kerajaan Presiden Bashar al-Assad, yang kini menguasai kawasan padang pasir sehingga ke sempadan Iraq. – AFP