Tuesday 7 April 2015

Situasi meruncing di kem pelarian Yarmouk


Situasi meruncing di kem pelarian Yarmouk
Nyawa hampir 18,000 pelarian Palestin di kem Yarmouk semakin terancam selepas kawasan itu digempur kumpulan militan IS pada 1 April lalu.
DAMSYIK - SYRIA. Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menyuarakan kebimbangan mereka terhadap situasi yang semakin meruncing di kem Yarmouk yang menempatkan pelarian Palestin berhampiran ibu negara Syria.

Perkara itu disuarakan melalui kenyataan akhbar yang dikeluarkan oleh Agensi Bantuan dan Pekerjaan Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNRWA), kelmarin selepas pertempuran sengit tercetus antara kumpulan bersenjata, Aknaf Beit al-Maqdis dan militan IS di kem pelarian tersebut sejak 1 April lalu.

"Nyawa hampir 18,000 orang awam termasuk kanak-kanak semakin terancam. Lebih 90 peratus kem pelarian Palestin itu kini berada di bawah cengkaman kumpulan militan IS

"Bekalan makanan, air bersih dan keperluan asas lain juga semakin berkurangan akibat konflik tersebut," menurut laporan itu.

Susulan daripada itu, UNRWA menggesa kesemua pihak yang terlibat dalam krisis itu supaya menghentikan pertempuran tersebut dan mematuhi undang-undang antarabangsa untuk melindungi nyawa orang awam. - Press TV

2,000 pelarian 
keluar dari Yarmouk


Sebahagian daripada pelarian, berpindah dari kem pelarian Yarmouk
Sebahagian daripada pelarian, berpindah dari kem pelarian Yarmouk sejak Jumaat lalu ekoran penguasaan militan IS di sebahagian besar kawasan itu. AGENSI
DAMSYIK 6 April – Kira-kira 2,000 pelarian dipindahkan dari kem perlindungan Yarmouk di ibu negara Syria selepas militan Negara Islam (IS) menguasai sebahagian besar kawasan itu.
Pegawai Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO), Anwar Abdul Hadi berkata, pemindahan tersebut melibatkan 400 keluarga atau kira-kira 2,000 orang sejak Jumaat dan kelmarin selepas dua laluan di daerah Zahira dikawal oleh tentera kerajaan.
“Proses pemindahan juga dijalankan semalam dan kebanyakan pelarian yang dibawa keluar dari Yarmouk kini ditempatkan di Yalda, daerah yang dikuasai tentera kerajaan Syria.
“Mereka kini menunggu bantuan untuk dibawa ke pusat atau kem perlindungan yang lain, manakala terdapat 25 pelarian yang cedera akibat pertempuran militan IS dan tentera kerajaan dibawa ke hospital,” katanya.
Agensi berita tempatan, SANA turut melaporkan bahawa proses pemindahan itu dilakukan melalui penyelarasan kerjasama antara tentera kerajaan dan kumpulan bersenjata Palestin.
Pemindahan berkenaan dilaksanakan selepas beribu-ribu pelarian termasuk rakyat Palestin terperangkap ekoran pertempuran antara militan IS, tentera kerajaan, dan kumpulan penentang kerajaan sejak minggu lalu.
Kumpulan bersenjata Palestin yang setia kepada Hamas turut terkepung akibat situasi meruncing itu dan khuatir ancaman militan IS yang mahu membalas dendam kerana menentang kemaraan kumpulan pelampau tersebut. – AFP
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/2-000-pelarian-8232-keluar-dari-yarmouk-1.78144#sthash.5sWBqQax.dpuf

Pemberontak culik 300 penduduk Kurdis


ISTANBUL 7 April – Kumpulan militan Barisan al-Nusra didakwa menculik 300 orang lelaki Kurdis di utara Syria, semalam lapor seorang pegawai Kurdis, hari ini.
Pegawai Daerah Kobani, Idris Nassan berkata, kesemua lelaki tersebut diculik ketika dalam perjalanan dari Afrin, bandar yang dikuasai oleh puak Kurdis menuju ke Aleppo dan Damsyik.
“Kumpulan pemberontak hanya menculik kaum lelaki sahaja, kaum wanita dan kanak-kanak mereka tinggalkan. Kejadian ini berlaku di kampung Tuqad, kira-kira 20 kilometer barat Aleppo,” jelas Idris.
Bagaimanapun, sehingga kini Barisan al-Nusra masih belum mengeluarkan sebarang pengakuan berkenaan kejadian tersebut. – REUTERS
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/pemberontak-culik-300-penduduk-kurdis-1.78214#sthash.Qr9mDPmw.dpuf