PBB sedia dedah penjenayah perang
GENEVA - SWITZERLAND. Penyiasat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berkata, mereka bersedia untuk menerbitkan senarai kira-kira 200 individu yang didakwa terlibat dalam jenayah perang di Syria.

Langkah itu adalah bagi membantu untuk mengekang peningkatan dalam kekejaman peperangan selepas hampir empat tahun konflik berlarutan di negara rantau Arab itu.

Penyiasat berkata, langkah itu juga membolehkan individu yang terlibat dalam penyeksaan, pembunuhan dan penculikan disenaraikan dalam senarai antarabangsa. Dalam pada itu, penyiasat turut mendedahkan kes kekejaman di Syria semakin meningkat.

"PBB mempunyai empat senarai individu dan kumpulan yang dipercayai melakukan jenayah perang dan juga jenayah terhadap kemanusiaan, tetapi senarai-senarai itu disimpan di dalam peti keselamatan di Switzerland," menurut salah seorang panel penyiasat PBB.

Angka dikeluarkan PBB menunjukkan lebih 200,000 orang, kebanyakan daripada mereka adalah orang awam terbunuh sejak perang saudara di Syria tercetus sekitar September 2011. - Al Jazeera