Serangan pertama berlaku di kem pelarian berdekatan Sarmada di wilayah Idlib, susulan serangan udara tentera Syria di kawasan terbabit yang dikuasai kumpulan militan Barisan Al-Nusra yang bersekutu dengan pengganas al-Qaeda.
Menurut laporan Pertubuhan Pemantau Hak Asasi Manusia bagi Syria, sekurang-kurangnya 28 orang awam maut dalam serangan terbabit, termasuk sejumlah wanita dan kanak-kanak, manakala 50 mangsa lain cedera.
Pengarah agensi berita Shahba Press yang berpejabat di Aleppo, Mamun al-Khatib berkata, pesawat tempur tentera Syria melepaskan misil ke arah kem itu di Kampung al-Khammouna.
“Dua misil meletup berdekatan kawasan kem, menyebabkan ramai pelarian panik, manakala berpuluh-puluh khemah musnah apabila terkena dua lagi peluru berpandu,” katanya.
Imej yang tersebar dalam Internet merakamkan petugas kecemasan bertungkus-lumus memadamkan api yang marak memusnahkan khemah pelarian di kem tersebut.
Sementara itu, di Aleppo, se­kurang-kurangnya 73 orang terbunuh dalam pertempuran an­tara tentera Syria dan kumpulan militan yang bersekutu dengan Al-Qaeda hanya beberapa jam selepas serangan di Sarmada.
Pengarah Pertubuhan Pemantau Hak Asasi Manusia bagi Syria, Rami Abdel Rahman melaporkan, sekurang-kurangnya 43 anggota militan terbunuh termasuk seorang komander, manakala 30 lagi yang maut adalah askar Syria.
Jelasnya, militan Barisan Al-Nusra dan beberapa kumpulan militan lain menawan pekan Khan Tuman dan beberapa perkampungan berhampiran dalam tempoh kurang 24 jam selepas pertempuran tersebut tercetus.
“Tentera Syria mengalami kekalahan dalam pertempuran di Khan Tuman yang terletak kira-kira 10 kilometer dari barat daya Aleppo.
“Kekalahan terbabit menyebabkan barisan pertahanan tentera kerajaan terpaksa berundur dari kawasan tersebut,” katanya. – AFP/REUTERS