Monday 24 November 2014

Gadis British Lari Rumah Untuk Sertai Kurdis Serang IS


Diterbitkan: Isnin, 24 November 2014 4:59 PM

SEORANG remaja perempuan dari London dilaporkan bertindak nekad untuk menyertai tentera Kurdis bagi menentang kumpulan Negara Islam, (IS) di Syria.
Gadis berketurunan Kurdis berusia 17 tahun itu dilapor telah meninggalkan rumahnya pada minggu lalu dengan menaiki kereta api laju ke Belgium sebelum ke Syria.
Remaja terbabit juga dikatakan berharap dia akan diserap ke dalam unit pertahanan wanita Kurdis, yang membolehkan dia mengangkat senjata dan menyerang IS.
Gadis terbabit merupakan warga British ketiga yang menyertai tentera Kurdis secara sukarela selepas dua lelaki.
Sebelum ini, tentera veteran yang menyertai perang di Afghanistan iaitu, James Hughes dan Jamie Read turut ke Syria untuk membantu tentera Kurdis menentang IS.

Lebih 900 terkorban dalam serangan udara AS


Penduduk menyelamatkan seorang mangsa daripada sisa runtuhan bangunan yang dibedil dalam serangan udara diketuai AS.
Penduduk menyelamatkan seorang mangsa daripada sisa runtuhan bangunan yang dibedil dalam serangan udara diketuai AS. 
24 November 2014


DAMSYIK - SYRIA. Sebuah badan pemerhati yang berpangkalan di Britain mendakwa serangan udara diketuai Amerika Syarikat (AS) ke atas kumpulan militan Negara Islam (IS) di Syria telah mengorbankan 910 nyawa.

Serangan yang dimulakan sejak dua bulan lalu itu turut meragut nyawa 52 orang awam.

Menurut Pemerhati Hak Asasi Syria, daripada jumlah orang awam yang maut, lapan adalah kanak-kanak dan wanita.

Badan pemerhati itu turut mengesahkan 72 anggota Barisan al-Nusra turut terkorban dalam serangan pada 23 September lalu.

Sementara itu, menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), kira-kira 200,000 penduduk maut dalam konflik yang telah berlarutan selama empat tahun di Syria.

Dalam perkembangan berkaitan, IS dilaporkan telah menculik 70 penduduk kampung di wilayah Nineveh di utara Iraq.

Menurut saksi, laporan dipetik dari Al-Arabiya, anggota IS menyerang hendap kenderaan dan merampas senjata mangsa.

60 militan Jerman terbunuh di Iraq, Syria


24 November 2014
BERLIN - Sekurang-kurangnya 60 warga Jerman yang menyertai kumpulan militan Negara Islam (IS) terbunuh di Iraq dan Syria, menurut Pejabat Persekutuan bagi Perlindungan Perlembagaan.

Presidennya, Hans-Georg Maasen turut memberi amaran bahawa Jerman berdepan kemungkinan serangan pengganas oleh militan yang kembali daripada kedua-dua negara tersebut.

"Kita perlu bersedia berdepan sebarang kemungkinan. Ancaman dan serangan yang berlaku di negara Timur Tengah boleh berlaku di sini," katanya kepada akhbar Welt am Sonntag, semalam.

Sementara itu, Menteri Dalam Negeri, Thomas de Maiziere memaklumkan sekurang-kurangnya 550 warga Jerman meninggalkan negara itu pada 20 November  lau untuk menyertai IS.

Katanya lagi, pihak keselamatan turut memantau 230 individu lain yang dilihat mampu mengancam keselamatan negara, laporan dipetik dari Press TV.