Tuesday 20 December 2016

Aleppo diselubungi kekejaman


Orang awam tidak berdosa jadi mangsa percaturan kuasa besar dunia
MOWARDI MAHMUD, 
J. KASTHURI DAN 
AZUAR FAHMI MOHD. ALI | 19 Disember 2016 12:15 AM


SUATU ketika dahulu Aleppo dengan penduduk sekitar 2.3 juta merupakan sebuah bandar raya terbesar di Syria yang berjaya menambat hati pelancong, bahkan diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia oleh Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).
Kini, bandar yang antaranya menempatkan masjid yang hebat pada abad ke-12 dan pasar tertutup Souk kini musnah.
Aleppo menjadi ‘sebuah kubur besar’ kepada nilai kemanusiaan akibat keangkuhan kuasa besar iaitu Amerika Syarikat (AS) dan Rusia. Masing-masing, tidak segan silu mendabik dada menjadi pejuang kepada kebaikan dalam perang menentang kejahatan.
Kedua-dua bukan apa yang disangka ramai. Contohnya, AS yang lebih berjaya menonjolkan sisi gelap Rusia bukanlah adiwira seperti yang digambarkan bahkan lebih mengutamakan kepenti­ngan diri dan tindakannya hanya untuk mengekang pengaruh dan kuasa musuh tradisinya itu.
Dr. Micheal Scheuer, dalam wawancara dengan penulis buku kon­flik di Asia Tenggara, Fahmi Faiz, mendakwa negara kuasa besar dunia itu penyokong al-Qaeda (atau kini Daesh), dan dianggap lebih jahat berbanding Pre­siden Bashar al-Assad. Menurut Sche­uer yang pernah berkhidmat de­ngan Agensi Peri­sikan Pusat (CIA) selama lebih 20 tahun, al-Qaeda me­rupakan pembekal soko­ngan kepada kumpulan pejuang kebebasan yang kebanyakannya kumpulan amatur manakala penglibatan AS dalam Syria adalah kerana pengaruh Israel untuk melestarikan impian The Greater Israel dengan dikelilingi musuh-musuh yang dijinakkan.
Malah pada 2007, Jeneral Wesley Clark, seorang jeneral empat bintang AS yang telah bersara mengakui terdapat gerakan me­numbangkan tujuh buah negara dalam masa lima tahun iaitu Iraq, Syria, Lebanon, Libya, Somalia, Sudan dan diakhiri Iran.
Jelas sekali, Syria adalah mang­sa percaturan kuasa besar yang tidak sukar untuk dinamakan dalang­nya, tidak ubah seperti ‘gajah sama gajah bergaduh, pelanduk mati di tengah-tengah’. Perang saudara itu juga pertembungan antara fahaman Syiah dan Sunnah yang gagal didamaikan oleh dunia Islam tetapi digunakan kuasa asing sebagai senjata melemahkan Islam.
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pula terperangkap dalam keadaan tidak mampu berbuat apa-apa. Nasib penduduk di Syria terus tidak terbela malah sekadar menjadi satu lagi peristiwa dalam lipatan sejarah dunia untuk di­ingati satu masa nanti.
Pada masa sama, tangan Setia­usaha Agung PBB, Ban Ki-moon juga terikat sekadar mampu me­ngungkapkan keadaan di bandar Aleppo bagaikan ‘neraka dunia’.
Sebenarnya, apa yang berlaku tidak mampu untuk digambarkan lagi, sudah lebih daripada meruncing.
Gencatan senjata yang dilakukan kini terhenti dan belum lagi diteruskan semula dengan penduduk awam diibaratkan se­perti menghitung saat kematian. Ketika ini, lebih 9,000 daripada 50,000 berjaya dikeluarkan daripada Aleppo untuk dipindah ke kawasan dikuasai pejuang iaitu Idlib, yang berdepan pelbagai kekurangan makanan dan perubatan.
Rusia pula ‘bersandiwara’ apabila mengatakan pemindahan orang awam hanya melibatkan pembe­rontak telah selesai manakala Syria yang dibantu Iran berfahaman Syiah pula mendakwa sebaliknya. Apa yang berlaku ini memberikan tanggapan wujudnya muslihat.
Bagaimanakah nasib puluhan ribu orang awam, keba­nyakan berfahaman Sunni yang belum sempat dikeluarkan daripada bandar yang musnah akibat perang saudara itu termasuk mereka yang cedera, orang tua dan kanak-kanak.
Bilangan mereka yang masih terperangkap itu dikatakan tidak termasuk lebih 37,000 orang yang telah keluar mendapat perlindu­ngan di barat Aleppo atau kawasan pinggir bandar. Malah, terdapat sekurang-kurangnya 14,700 orang lagi terpaksa berhimpit di dalam rumah-rumah perlindungan termasuk di kilang pembuatan kapas dalam suasana musim sejuk yang menambahkan kesengsaraan mereka.
Tanpa bantuan yang disalurkan, mereka bagaikan menunggu kematian apabila kebanyakan hospital yang besar sudah hancur. Cuma yang tinggal beberapa klinik yang berope­rasi secara ‘haram’. Soalnya, dapatkah mereka meneruskan hidup tanpa bantuan perubatan dan makanan?
Malang sekali, pemimpin du­nia Islam ‘membisu’ untuk bertindak tegas dan menghulurkan bantuan yang diharapkan.
Tanpa tindakan segera yang bersepadu, kita akan sekadar me­ngulangi satu lagi bencana kemanusiaan seperti mana di Bosnia.
Biarpun ‘pokok pisang sememangnya tidak berbuah dua kali’ tetapi kegagalan untuk menyelamatkan orang awam yang terperangkap di Aleppo bagaikan mengundang berulangnya pembunuhan beramai-ramai di Srebrenica ketika Perang Bosnia 1995.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/aleppo-diselubungi-kekejaman-1.421476#sthash.xzv82lyD.dpuf

Lebih 5,000 keluar Aleppo

20 Disember 2016 12:28 AM


BEIRUT 19 Dis. - Selepas berjam-jam, malah berhari-hari menanti di sebalik cuaca sejuk dan kekurangan bekalan makanan, lebih 5,000 penduduk Aleppo yang terkepung ekoran konflik di wilayah berdarah itu mampu melafazkan kesyukuran apabila berjaya dipindahkan.
Jumlah itu termasuk anak-anak yatim, sekali gus menjadi jumlah keseluruhan yang dipindahkan 12,000 orang setakat ini.
Menurut seorang pegawai perubatan, Dr. Ahmad Dbis, proses pemindahan di bahagian barat wilayah itu berjalan lancar sebaik sahaja 20 buah bas tiba untuk membawa mereka keluar dari wilayah yang dianggap oleh Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Ban Ki-moon sebagai ‘ne­raka dunia’ itu.
Menurut Ahmad, 25 buah bas lagi tiba kira-kira dua jam selepas itu.
Ketika orang awam dipindahkan ke tempat selamat, Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu sedang membincangkan untuk menghantar pengawas yang akan menyelia pemindahan keluar secara besar-besaran.
Semalam, lebih 30 buah bas padat dengan warga Aleppo terpaksa menunggu hampir semalaman sebelum meninggalkan wilayah itu ketika cuaca sejuk semakin memburuk.
Bagaimanapun, hanya lima buah bas yang memuatkan kira-kira 350 penduduk dibenarkan melepasi pusat kawalan terakhir di Aleppo selepas campur tangan Rusia dan Turki.
Sementara itu, puluhan bas lain dikatakan gagal digerakkan dan terpaksa menunggu beratus-ratus lagi penduduk yang dijangka dipindahkan dari dua kawasan perkampungan di barat laut Syria.
Ketua Pemantau Syria bagi Hak Asasi Manusia (SOHR), Rami Abdel Rahman pula mengesahkan, kira-kira 500 penduduk telah meninggalkan Fua dan Kefraya di Idlib ketika ini.
Dalam perkembangan ber­kaitan, lima lelaki bersenjata dilaporkan bertindak membakar lima buah bas yang sepatutnya digunakan untuk mengangkut penduduk di Idlib.
Jelas Rami, ekoran insiden itu, proses untuk membawa le­bih ramai penduduk Idlib keluar dari wilayah tersebut terpaksa ditangguhkan.
Beberapa rakaman video yang dimuat naik ke dalam media sosial menunjukkan, lelaki-lelaki berjambang yang memegang senjata menjerit kegembiraan selepas membakar bas-bas tersebut sebelum mereka sampai ke perkampu­ngan berkenaan.
Media-media tempatan kemudian menyifatkan perbuatan kejam itu sebagai ‘keganasan bersenjata’ iaitu istilah yang digunakan oleh semua penentang Presiden Syria, Bashar al-Assad yang dipercayai mendalangi serangan itu.
Dalam pada itu, Majlis Ke­selamatan Per­tubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) meluluskan draf resolusi berkaitan pengawasan proses pemin­da­han penduduk Aleppo itu semalam. – AFP/REUTERS
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/lebih-5-000-keluar-aleppo-1.421963#sthash.Wk4SSkYk.dpuf