Menurut Pemantau Hak Asasi Manusia Syria dan sumber kumpulan penentang, Tentera Pembebasan Syria (FSA) yang menerima bekalan senjata dari Turki dan negara asing lain menawan bandar itu selepas pertempuran sengit dengan kumpulan IS.
“Kejayaan ini merupakan permulaan penghapusan IS, mereka yang menganggap FSA telah musnah kini terbukti perkara itu tidak benar. Ini kemenangan FSA,’’ kata Abu Abdullah dari Briged Nour al Din al Zinki yang menyertai serangan tersebut.
Katanya, FSA akan mara ke bandar al Raqqa dan semua bandar yang ditawan IS.
Kumpulan penentang dilaporkan berkata, kumpulan itu kini menuju ke bandar al Bab di selatan al Rai dan timur laut Aleppo.
Pengunduran kumpulan militan itu merupakan kekalahan pertama IS sejak kemenangan besar mereka pada Mei lalu de­ngan menawan kawasan-kawasan berdekatan pintasan sempadan Azaz dengan Turki.
Kemenangan kumpulan penentang memberi kelebihan kepada Turki yang berusaha menghalang kumpulan Kurdis Syria daripada meluaskan penguasaannya di sepanjang sempadan negara itu.
Menurut laporan agensi be­rita Amaq yang dikaitkan dengan kumpulan militan itu, bandar al Rai berjaya ditawan setelah pertempuran sengit dan dua serangan berani mati yang menyebabkan banyak anggota penyerang terbunuh.
Menurut pakar pertahanan, kumpulan militan itu menukar taktik serangan daripada serang hendap dan serangan kilat kepada serangan berani mati de­ngan menghantar kumpulan kecil anggotanya untuk mengganggu laluan bekalan selepas kehilangan beberapa wilayah penting. – Reuters