Malah, kumpulan militan Daesh di Syria turut dipercayai menggunakan gas mustard sulfur dalam operasi ketenteraan mereka di Syria.
Menurut satu laporan bersama berdasarkan siasatan selama setahun oleh PBB dan Pertubuhan bagi Pencegahan Senjata Kimia (OPCW) yang disahkan Majlis Keselamatan badan dunia itu tertumpu kepada sembilan serangan di tujuh kawasan di Syria.
Portal Al Jazeera melaporkan, hasil siasatan berasingan oleh OPCW mendapati, berlaku penggunaan senjata kimia di Syria dengan lapan daripada serangan itu melibatkan penggunaan gas klorin.
Siasatan itu, bagaimanapun tidak dapat membuat kesimpulan bagi enam kes lain, walaupun menurut OPCW tiga daripada kes berkenaan mewajarkan kepada siasatan seterusnya dijalankan.
Sebanyak 15 anggota Majlis Keselamatan PBB dijangka membincangkan laporan itu pada ming­gu depan dan akan mendedahkan dokumen tersebut kepada umum.
Siasatan itu mendapati terdapat maklumat mencukupi untuk merumuskan bahawa helikopter tentera kerajaan Syria menggugurkan peranti yang kemudiannya mengeluarkan bahan toksik dalam serangan di Talmenes pada 21 April 2014 dan dalam serangan di Sarmin pada 16 Mac 2015.
Kedua-dua lokasi itu terletak di wilayah Idlib dan serangan melibatkan penggunaan gas klorin.
Sementara itu, badan berkenaan turut merumuskan bahawa kumpulan militan Daesh merupakan satu-satunya entiti yang berkebolehan dan berkemampuan untuk menggunakan gas mustard sulfur dalam serangan di Marea pada 21 Ogos 2015.