Badan Hak Asasi Manusia bagi Syria berkata, penemuan tersebut menjadikan jumlah keseluruhan anggota kabilah berkenaan yang dibunuh oleh IS mencecah lebih 900 orang, ketika kumpulan militan itu mara ke wilayah berkenaan.
“Sumber yang boleh dipercayai berkata lebih 230 mayat berjaya ditemui di dalam sebuah kubur besar di kawasan gurun Al-Kashkiyeh di timur Deir Ezzor.
“Sebahagian besar yang terbunuh merupakan orang awam, mereka dibunuh dengan kejam selepas kabilah berkenaan bangkit menentang untuk mengusir IS dari kawasan mereka,” jelas badan hak asasi berkenaan, semalam.
Kata badan hak asasi itu, kabilah tersebut menjumpai kubur berkenaan di kampung halaman mereka selepas berbulan-bulan melarikan diri setelah kalah dalam pertempuran dengan IS.
Mereka dibenarkan pulang ke kampung mereka susulan keputusan untuk menghormati persetujuan perintah berkurung, halangan berhimpun dan memiliki senjata yang dikenakan oleh IS.
Menurut peraturan IS, mana-mana pihak yang menentang kumpulan militan tersebut disifatkan sebagai menyeleweng dan perlu dikenakan hukuman mati.
IS kini sudah menguasai sebahagian besar kawasan di utara dan timur Syria, selain beberapa bahagian di negara jiran Iraq.  AFP