Siapa dengar rintahan anak-anak kecil ini?
PADA bulan lalu, Tabung Kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unicef) memberi amaran bahawa lebih 14 juta kanak-kanak di Syria dan Iraq berisiko terdedah kepada keganasan, kemiskinan, trauma serta mangsa eksploitasi.
 
Wakil Unicef di Damsyik, Hanaa Singer memberitahu, penderitaan golongan tersebut semakin membimbangkan berikutan konflik yang semakin meruncing di kedua-dua negara terbabit.  
 
“Jumlah kanak-kanak yang memerlukan bantuan kemanusiaan kini meningkat 15 kali ganda berbanding pada 2012.  Di  Syria, terdapat 5.6 juta budak terjejas dan majoriti daripada mereka turut kehilangan tempat tinggal.
 
“Bantuan kemanusiaan dan bekalan asas kesihatan tidak dapat dihantar kepada lebih dua juta budak kerana akses untuk masuk ke kawasan terjejas telah disekat,” jelasnya.
 
Hanaa turut menggesa peluang pendidikan diberikan kepada golongan tersebut dan beliau juga memberi amaran terhadap risiko ‘generasi hilang’ memandangkan jutaan kanak-kanak Syria kini tidak bersekolah.
 
Laporan Save the Children menunjukkan purata kemasukan ke sekolah di Damsyik  menurun kepada 50 peratus  berbanding jumlah direkodkan sebelum perang. 
 
Mereka menganggarkan kanak-kanak yang tidak tamat sekolah rendah mungkin hanya memperoleh 32 peratus jumlah pendapatan daripada pekerjaan pertama mereka berbanding golongan yang tamat sekolah menengah.

Menurut laporan itu lagi, langkah menyediakan peluang pendidikan kepada budak di Syria didakwa dapat mengelakkan golongan tersebut daripada menjadi mangsa eksploitasi pihak tidak bertanggungjawab termasuk dijadikan buruh kanak-kanak dan direkrut kumpulan militan di rantau terbabit.