Mail Online melaporkan, kejadian tersebut dipercayai berlaku di kawasan kubu kuat IS di Raqa yang ditawan daripada penguasaan tentera Syria di bawah pimpinan Presiden, Bashar al-Assad.
Paparan awal video itu menunjukkan beratus-ratus penyokong IS mengelilingi tiga tentera tersebut, yang ditangkap kelmarin di Kampung Ratyan yang dikuasai kumpulan militan berkenaan selepas satu pertempuran.
Seorang lelaki berjanggut dilihat membacakan hukuman yang dikenakan terhadap mangsa.
Video itu turut memaparkan wajah tiga mangsa yang ketakutan.
Sejurus hukuman dibaca, penyokong kumpulan militan itu bertindak menerajang, memukul, dan menumbuk mangsa, sementara ada dalam kalangan mereka membaling batu dan pelbagai objek keras ke arah tiga anggota tentera berkenaan.
Tidak cukup dengan itu, mayat ketiga-tiga anggota tentera terbabit turut diikat di motosikal sebelum diseret mengelilingi bandar Raqa sambil disambut sorakan gembira oleh penyokong militan IS.
Menurut aktivis, video itu dimuat naik selepas IS berjaya menahan 32 orang tentera Syria dan beberapa orang lelaki bersenjata prokerajaan di utara bandar Aleppo.
Badan Hak Asasi Manusia Syria memberitahu, tentera kerajaan berjaya menawan semula Kampung Ratyan kemudian.
Insiden kekejaman terbaharu IS itu berlaku ketika utusan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Staffan de Mistura cuba mengadakan rundingan gencatan senjata di Aleppo.