Memetik sumber pihak tentera, stesen tersebut melaporkan, tentera tersebut berjaya menakluk bandar Rabia.
Bandar tersebut sebelum ini dikawal oleh pihak pembangkang sejak 2012 termasuk beberapa kumpulan pemberontak antaranya, sekutu al-Qaeda Syria, Barisan al-Nusra.
Menurut Ketua Badan Pemantau Hak Asasi Manusia Syria, Rami Abdel Rahman, bandar Rabia jatuh ke tangan tentera Syria yang telah membuat pemantauan dan mengepung bandar tersebut.
Katanya, dalam tempoh 48 jam lalu, tentera mengepung tempat itu dari tiga penjuru di selatan, barat, dan utara dengan menawan 20 buah kampung.
“Pegawai kanan tentera Rusia mengawasi pertempuran untuk mendapatkan Rabia dan serangan udara oleh tentera Rusia memainkan peranan penting dalam usaha menawan bandar tersebut.
“Dengan penaklukan Rabia, tentera kerajaan semakin hampir kepada laluan bekalan pemberontak melalui sempadan Turki di utara,” katanya kepada wartawan AFP.
Penaklukan Rabia dibuat selepas tentera kerajaan merampas bandar strategik Salma 12 Januari lalu berikutan operasi selama beberapa bulan untuk merebutnya daripada pemberontak sejak tahun 2012. – AFP