Sunday 27 September 2015

Bashar digesa main peranan


Julie Bishop
Julie Bishop
27 SEPTEMBER 2015


CANBERRA - AUSTRALIA.  Menteri Luar Australia menggesa penyelesaian politik diguna pakai untuk menamatkan konflik di Syria selain menekankan kerajaan perpaduan perlu diwujudkan dengan penglibatan Presiden Bashar al-Assad.

Julie Bishop menegaskan kosensus baharu menunjukkan kerajaan juga mempunyai peranan penting untuk menghentikan kemaraan kumpulan militan IS di rantau itu.

"Ia jelas menunjukkan penyelesaian politik dan tindakan ketenteraan dapat meredakan konflik di Syria," kata beliau menerusi wawancara bersama akhbar, The Australian yang diterbitkan, semalam.

Menurutnya, Canberra sedia memainkan peranan mereka untuk memastikan objektif itu dapat dicapai.

Selasa lalu, Menteri Luar Perancis, Laurent Fabius turut berpendapat penyelesaian secara diplomatik adalah mustahil tanpa penglibatan Bashar.

Sehingga kini, lebih 240,000 terkorban dalam konflik yang tercetus di Syria sejak Mac 2011. - Press TV

Obama, Putin bincang krisis Syria


AP - GAMBAR fail Obama semasa mengadakan pertemuan dengan Putin di Enniskillen, Ireland Utara pada 17 Jun 2013.


WASHINGTON – Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama bersetuju bertemu dengan rakan sejawatnya, Presiden Rusia, Vladimir Putin bagi mencari jalan penyelesaian mengenai konflik di Syria.
Putin dan Obama dijangka mengadakan perbincangan di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di New York pada Isnin ini terutama mengenai peranan Presiden Syria, Bashar al-Assad untuk menamatkan peperangan selama empat tahun yang telah mengorbankan kira-kira 250,000 orang.
Setiausaha Kementerian Pertahanan AS, Ashton Carter berkata, Rusia dan Washington akan mencari jalan untuk bekerjasama menangani krisis itu.
Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan yang merupakan pengkritik utama Bashar, buat pertama kali mencadangkan supaya Presiden Syria itu boleh memainkan pera­nan dalam menentukan perubahan politik di negara berkenaan.
“Tetapi tiada sesiapa boleh membayangkan masa hadapan dengan Assad masih kekal di Syria,” tegas Erdogan.
Rusia yang merupakan sekutu Bashar telah membangkitkan kemarahan Barat apabila menyalurkan bantuan ketenteraan kepada Syria.
Menurut Carter, jika Rusia benar-benar membantu Syria untuk menentang militan Islamic State dan bukannya menghapuskan ‘musuh’ politik Bashar, Washington dan Moscow mungkin boleh bekerjasama.
“Jika itu tujuannya, mungkin kita boleh mencari jalan untuk bekerjasama tetapi jika tujuan mencampuri perang saudara di Syria, pada saya itu suatu yang tidak wajar,” kata Carter. – AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0926&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm#ixzz3mtImCCJW 
Hakcipta terpelihara