Monday 7 September 2015

Pelarian tiba di Austria dan Jerman


Pelarian tiba di Austria dan Jerman

7 SEPTEMBER 2015
Pelarian tiba di Austria dan Jerman Sebuah keluarga pelarian Syria gembira selepas bas membawa mereka tiba di Munich, Jerman selepas terkandas beberapa hari di Hungary. - Foto EPA
VIENNA - AUSTRIA . Ribuan pelarian mula tiba di Austria dan Jerman selepas kedua-dua negara itu membuka sempadannya untuk menerima masuk pelarian.

Perkembangan bersejarah itu berlaku selepas Hungary menyediakan pengangkutan dan memindahkan kumpulan pelarian yang terkandas selama beberapa hari di stesen kereta api Budapest.

Ribuan pendatang dihantar melalui bas ke sempadan Hungary, namun ratusan yang lain terpaksa berjalan kaki selama beberapa jam menyeberangi sempadan, kerana kekurangan perkhidmatan bas.

Menurut pihak berkuasa Austria sekitar 8,500 pelarian tiba di Vienna menerusi kereta api, sementara ribuan yang lain menyeberang masuk ke Jerman.

Kedatangan mereka disambut baik oleh penduduk tempatan dengan membahagi-bahagikan pakaian musim sejuk di beberapa pusat pelarian. - AFP

Kasut Kecil, Alat Mainan Antara Barang Tinggalan Di Rumah Aylan Kurdi


Diterbitkan: Ahad, 6 September 2015 5:09 PM
Gambar terakhir Aylan sebelum meninggal dunia dalam insiden bot karam.

KASUT kecil yang dipenuhi debu, alat mainan dan pakaian kanak-kanak antara barang tinggalan yang masih berada di kediaman keluarga Abdullah Kurdi di Kobani, Syria.
Rumah yang musnah teruk akibat serangan kumpulan militan Negara Islam (IS) antara faktor utama yang menyebabkan keluarga tersebut mengambil keputusan untuk meninggalkan negara itu untuk berhijrah ke Eropah.
Kasut milik Aylan dan abangnya Galip dipenuhi debu.
Namun, hasrat mereka sekeluarga untuk memulakan kehidupan baharu di Eropah tidak menjadi kenyataan apabila bot yang mereka naiki karam.
Dalam insiden itu, Aylan Kurdi, kanak-kanak berusia tiga tahun, abangnya Galip, 5, dan ibunya Rehan mati lemas.
Namun, Abdullah terselamat dalam insiden bot karam itu.
Abang Abdullah, Mohamad Kurdi berkongsi cerita mengenai kehidupan keluarga tersebut yang menyayat hati di Syria.

Gambar jenazah Aylan dalam keadaan kaku di tepi pantai itu mendapat perhatian masyarakat antarabangsa yang mula bimbang dengan nasib kumpulan pelarian dari zon konflik di Afrika dan Timur Tengah.

Berpakaian t-shirt merah dan seluar biru, mangsa yang berusia 3 tahun dari bandar Kurdish-Syrian itu dipercayai antara 12 pelarian yang cuba memasuki negara Greece, namun lemas apabila bot dinaiki mereka karam.

Gambar kediaman rumah mereka di Syria membuktikan realiti sebenar kehidupan keluarga tersebut di zon perang dan mengapa mereka sanggup bergadai nyawa semata-mata untuk memulakan kehidupan baharu.
Keadaan rumah keluarga Abdullah yang ditinggalkan mereka untuk berhijrah ke Eropah.


Bercakap kepada MailOnline dari sebuah kem pelarian di Jerman, Mohamad, 47 berkata keluarga tersebut pada awalnya melarikan diri ke Kobane dari Damsyik pada 2012 selepas Abdullah ditahan dan diseksa oleh kerajaan.

Sebaik sahaja Abdullah dibebaskan, dia berpindah bersama keluarganya dekat sebuah bandar berdekatan sempadan Turki.

Di situ mereka tinggal di sebuah rumah yang mempunyai dua bilik milik keluarga isterinya selama 18 bulan.

Namun mereka mengambil keputusan untuk berhijrah semula.

"Orang ramai mula meninggalkan kediaman masing-masing selepas kedatangan ISIS. Ia amat dahsyat. Hampir semua penduduk di Kobane melarikan diri ke Turki kerana tiada siapa boleh tinggal di sana," kata Mohamad.

Abdullah yang bekerja sebagai pendandan rambut mula bekerja di Turki manakala keluarganya tinggal di sempadan bandar Kobane.

Namun dia kembali untuk membantu mereka melarikan diri pada 2013.

Rumah mereka musnah teruk terkena peluru meriam. Keluarga itu kemudiannya berpindah ke Turki.
Kediaman keluarga Abdullah di Kobane.
"Mereka gembira, mereka suka ketawa. Kami bekerja di tapak binaan. Ia amat sukar untuk kami tetapi kami terpaksa melakukannya kerana mempunyai keluarga yang besar.
"Turki membuka pintu tetapi kami tidak mempunyai sebarang hak di sana. Kami tidak boleh menikmati kehidupan di sana. Kehidupan amat sukar di Turki," kata Mohamad.

Mohamad berkata, beliau tidak dapat menahan perasaan hiba apabila dimaklumkan mengenai tragedi yang menimpa keluarga Abdullah.
Abdullah (kanan) memegang jenazah Aylan buat kali terakhir sebelum dikebumikan.


"Lidah saya kelu. Ia saat yang sukar bagi saya. Namun saya percaya kepada Allah dan mungkin itu takdir keluarga abang saya," katanya.

Ditanya mengenai perwatakan Aylan dan abangnya, Mohamad berkata mereka suka ketawa dan sering bermain bersama-sama.

"Ayah mereka sentiasa melakukan yang terbaik untuk memenuhi setiap keperluan anaknya. Dia sanggup melakukan apa sahaja untuk membuat keluarganya gembira," katanya.

Lebih 4,000 imigran masuk Austria


ANGGOTA polis mengangkat seorang budak perempuan untuk mengelakkannya daripada rempuhan ketika imigran berasak di stesen kereta api Nickelsdorf, Austria semalam. - REUTERS


VIENNA – Beribu-ribu imigran masuk ke Austria dari Hungary kelmarin dalam peristiwa yang disifatkan Vienna sebagai amaran bahawa Eropah berdepan krisis pelarian terbesar sejak Perang Dunia Kedua.
“Situasi di Eropah kini teruk. Saya harap ini (kebanjiran imigran) akan menjadi amaran bahawa situasi sekarang tidak boleh dibiar berterusan,” kata Menteri Luar Austria, Sebastian Kurz ketika tiba untuk rundingan di Lu­xembourg bersama rakan-rakan sejawatnya dari Kesatuan Eropah berhubung isu tersebut.
Sementara itu, polis berkata, kira-kira 4,000 imi­gran menyeberangi sempadan malam kelmarin dan pagi semalam dengan angka tersebut dijangka meningkat kepada 10,000 orang lewat hari yang sama.
Mereka tiba selepas Hungary yang menjadi negara persinggahan imigran ber­kenaan, bertindak menghantar beribu-ribu pendatang asing yang terkandas di Budapest dengan sejumlah bas ke sempadan Austria.
Tindakan itu dibuat selepas kira-kira 1,200 imigran berjalan kaki dari Budapest ke sempadan Austria dalam perjalanan sejauh 175 kilometer.
Di Vienna, kalangan imigran yang tiba disambut oleh sejumlah sukarelawan. Mereka membantu mengagihkan makanan, minuman, produk sanitari dan tiket kereta api.
“Ibu jari kaki saya sakit, banyak darah keluar kerana kami terlalu banyak berjalan. Saya mahu pergi ke Jerman tetapi kemudian berhenti,” kata seorang imigran dari Syria berusia 26 tahun.
Dalam perkembangan berkaitan, polis Jerman berkata, pihaknya menjangkakan seramai 7,000 imigran akan tiba di wilayah Jerman menjelang lewat semalam.
Beratus-ratus ribu pendatang asing berkenaan melakukan perjalanan menempuh bahaya menuju ke Eropah pada musim panas kali ini dengan kebanyakan mereka mengimpikan untuk menetap di barat Eropah terutamanya di Jerman.
Data Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu semalam menunjukkan seramai 366,402 imigran mendarat di Eropah melalui jalan laut dengan 2,800 lagi mati atau hilang.
Sejumlah 49 peratus da­ripada mereka melarikan diri daripada perang saudara dan kumpulan militan Islamic State di Syria. – AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0906&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm#ixzz3l0KMEzSy 
Hakcipta terpelihara 

Jerman rai ketibaan pelarian


SEKUMPULAN penduduk bandar Munich dilihat melambai kepada pelarian yang baru tiba di Stesen Kereta Api Munich, Jerman kelmarin. - REUTERS


MUNICH – Jerman semalam bersiap sedia menerima beratus-ratus lagi pelarian yang masuk dari Hungary melalui Austria, sehari selepas beribu-ribu pelarian tiba dan disambut oleh sukarelawan yang memegang papan tanda ‘Selamat Datang ke Jerman’.
Negara Kesatuan Eropah yang paling padat penduduk ini dijangka mencapai rekod baharu lebih 800,000 orang yang melarikan diri daripada peperangan dan kemiskinan di samping jumlah sukarelawan tertinggi dalam sejarah membantu mereka yang baharu tiba.
Kelmarin sahaja sekitar 8,000 imigran menyeberang masuk ke sempadan Jerman, jelas polis persekutuan kepada agensi berita AFP.
Di bandar Munich, keluarga pelarian memegang anak kecil dan sedikit harta benda dilihat tersenyum ketika mereka di­sambut dengan sorakan, makanan dan air botol oleh penduduk setempat.
Stesen Kereta Api Munich menyaksikan sekitar 6,800 orang tiba kelmarin, kata pihak berkuasa tempatan.
Ketika pelarian mula turun daripada kereta api, polis di sini menunjukkan mereka ke arah bas-bas yang menunggu untuk membawa kumpulan itu ke penempatan sementara yang dibuka di bangunan awam, hotel dan markas tentera di seluruh negara.
“Orang di sini melayan kami dengan sangat baik, mereka melayan kami seperti manusia, tidak seperti di Syria,” kata seorang pelarian dikenali sebagai Mohammad, 32, yang datang dari bandar Qusayr, Syria.
Walaupun Jerman menyaksi­kan beberapa perhimpunan membenci orang dari negara lain dan serangan ke atas warga asing, negara ini juga mencatatkan banyak sokongan, derma dan sukarelawan dalam kalangan penduduk yang percaya mereka mempunyai tanggungjawab untuk membantu. – AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0907&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm#ixzz3l0K4X0CO 
Hakcipta terpelihara