Saturday 13 February 2016

Turki dakwa bapa, penyeludup sebabkan kematian bayi Syria



PEGAWAI polis separa tentera membawa mayat Aylan Kurdi (gambar kecil) yang ditemui terdampar di pantai di Bodrum, Turki pada 2 September tahun lalu. - Foto AP
ISTANBUL: Bapa Aylan Kurdi, kanak-kanak Syria yang lemas dan terdampar di pantai Turki serta mengejutkan dunia tahun lalu dibicarakan semalam bersama dua lagi tertuduh dalam kes menyebabkan kematian pendatang.
September lalu, gambar mayat kanak-kanak berusia tiga tahun itu dalam keadaan meniarap di pasir pantai Turki menghantui dunia selepas keluarga mangsa mengambil keputusan melakukan perjalanan berisiko ke Greece dengan menaiki bot.
Ibu Aylan, Rihana dan abangnya, Ghaleb, 4, turut maut dalam kejadian sama.
Agensi berita Dogan melaporkan, perbicaraan warga Syria, Muwafaka Alabash dan Asem Alfrhad bermula di mahkamah jenayah di barat pusat peranginan Bodrum. Jika didapati bersalah, mereka berdepan hukuman penjara 35 tahun.
Mereka didakwa menyeludup pendatang dan menyebabkan kematian lima mangsa termasuk Aylan, abang dan ibunya selepas bot mereka karam ketika dalam perjalanan ke Greece.
Bapa Aylan, Abdullah Kurdi yang terselamat dalam insiden bot karam dan dituduh tuduhan menganjurkan penyeludupan itu bagaimanapun tidak hadir di mahkamah. Tuduhan sebenar ke atas Abdullah tidak jelas.
Kedua-dua defendan mendakwa Abdullah menganjurkan penyeludupan manusia di kawasan Bodrum, menuduhnya bertanggungjawab atas kematian itu selain memandu bot ketika bencana.
Namun Dogan melaporkan, mahkamah mengambil keputusan menggugurkan tindakan undang-undang ke atas Abdullah tanpa memberi butiran lanjut.
Abdullah yang berasal dari pekan Kobane, di sempadan Turki kini dipercayai berada di luar Turki dan menghabiskan masanya di utara Iraq. - AFP

Perang dunia jika gagal tamat konflik Syria - Russia

PERDANA Menteri Russia, Dmitry Medvedev. - Foto Reuters
MUNICH: Perdana Menteri Russia, Dmitry Medvedev memberi amaran perang dunia bakal berlaku jika negara kuasa besar gagal dalam rundingan menamatkan konflik di Syria dan jika tentera pakatan diketuai Amerika Syarikat (AS) berhasrat melakukan operasi darat.
Medvedev ketika ditemuramah akhbar Jerman, Handelsblatt berkata, AS dan Russia perlu memberi tekanan kepada semua pihak dalam usaha melaksanakan gencatan senjata.
Ketika ditanya hasrat Arab Saudi minggu lalu untuk mengerahkan tentera darat dalam operasi pakatan memerangi militan IS, Medvedev berkata, ia adalah sesuatu yang tidak baik dan kebiasaannya serangan darat mampu bertukar menjadi perang yang kekal.
"Lihat saja apa yang berlaku di Afghanistan dan beberapa negara lain. AS dan rakan Arab perlu berfikir dengan baik, adakah mereka mahukan peperangan yang kekal.
"Agak sukar untuk menang peperangan dalam tempoh yang cepat terutama negara Arab yang sering bertelagah antara mereka. Semua pihak perlu dipaksa duduk di meja rundingan bukannya memulakan perang dunia baharu," katanya.
Russia melancarkan beberapa siri serangan udara di sekitar bandar utama Aleppo, dalam usaha membantu kemaraan tentera yang setia kepada Presiden Bashar al-Assad. Serangan udara turut dilakukan AS dan tentera udara negara Barat lain di utara Syria. - Reuters

Assad tolak dakwaan jenayah perang PBB

SABTU, 13 FEBRUARI 2016 @ 12:11 AM
PRESIDEN Syria Bashar al-Assad
DAMSYIK: Presiden Syria Bashar al-Assad menolak dakwaan terbaru Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) bahawa rejimnya bersalah kerana melakukan jenayah perang, menggelar tuduhan itu "dipolitikkan" dalam satu temuramah ekslusif dengan Agence France-Presse (AFP) semalam.
PBB menyelar kerajaan pimpinan Assad kerana "menghapuskan" tahanan di penjara dan pusat tahanan, namun pemimpin Syria itu berkata, tuduhan itu "dianggap satu agenda politik dan tidak menyediakan sebarang bukti."
Beliau juga memberi amaran kepada kerajaan Perancis supaya menukar dasar yang dianggap merosakkan dalam menyokong pelampau.
Katanya, Perancis melaksanakan "dasar merosakkan dengan melanjutkan sokongan langsung terhadap keganasan.
"Adalah menjadi tugas Perancis untuk menarik balik atau mengubah dasarnya," katanya di ibu kota ini.
Assad juga menuduh Eropah menjadi "punca langsung" mengapa rakyat Syria melarikan diri dari tanah air dan perlu berhenti melindungi pengganas" sebelum penduduk kembali.
Beliau juga menyeru kerajaan Eropah "yang menjadi punca langsung penghijrahan beramai-ramai rakyatnya supaya membantu rakyat Syria kembali ke negara mereka." - AFP

Tiada lagi Assad pada masa depan - Arab Saudi

SABTU, 13 FEBRUARI 2016 @ 8:31 AM

Menteri Luar Arab Saudi, Adel al-Jubeir - Foto Reuters
BERLIN: Presiden Bashar al-Assad tidak akan memerintah Syria lagi pada masa depan dan campur tangan tentera Russia tidak akan membantu beliau untuk terus berkuasa, kata Menteri Luar Arab Saudi, Adel al-Jubeir, dalam temubual dengan akhbar Jerman.
"Tidak akan ada Bashar al-Assad pada masa depan. Ia mungkin mengambil masa tiga bulan, mungkin enam bulan atau tiga tahun, tetapi beliau tidak akan lagi bertanggungjawab terhadap Syria," katanya kepada akhbar Sueddeutsche Zeitung.
Menegaskan keazaman rakyat Syria menumbangkan Assad tidak dapat dipatahkan walaupun dengan bantuan serangan udara besar-besaran Russia, al-Jubeir mengecam pembabitan Moscow dalam perang lima tahun itu.
Katanya, rayuan Assad sebelum ini bagi mendapatkan bantuan Iran, Hizbullah dan tentera militia Syiah dari Iraq dan Pakistan untuk membantu tenteranya cuma sia-sia.
"Kini beliau memanggil pihak Russia pula tetapi mereka pun tidak akan dapat membantunya," kata al-Jubeir. - Reuters

Assad ikrar tawan semula wilayah Syria

SABTU, 13 FEBRUARI 2016 @ 12:12 PM



BASHAR al-Assad.

 DAMSYIK: Presiden Bashar al-Assad berikrar untuk menawan semula keseluruhan Syria dan terus "memerangi keganasan" serta merundingkan penamatan peperangan, ketika tekanan antarabangsa semakin memuncak untuk gencatan senjata.

Pendirian tegas beliau yang disuarakan dalam temubual eksklusif dengan AFP, memudarkan harapan untuk penamatan segera pertempuran dalam masa seminggu seperti didesak kuasa dunia.

 Assad berkata, matlamat utama serangan rejim yang dibantu Russia itu di Aleppo yang memaksa puluhan ribu penduduk melarikan diri adalah untuk menyekat laluan bekalan pemisah dari Turki.

Katanya, matlamat akhir kerajaan adalah menawan semula seluruh negara, sebahagian besarnya dikuasai pemisah atau militan IS.

"Tidak masuk akal untuk menyerahkan mana-mana wilayah," katanya dalam temubual yang diadakan di Damsyik kelmarin.

Assad berkata, tidak mustahil menamatkan masalah itu dalam masa tidak sampai setahun jika laluan bekalan untuk pembangkang dari Turki, Jordan dan Iraq diputuskan.

 Jika tidak, katanya, penyelesaian mengambil masa lama dan menyebabkan akibat yang besar.

 Di WASHINGTON, Timbalan Jurucakap Jabatan Negara Amerika Syarikat, Mark Toner, berkata Assad keliru jika menyangka perang di Syria boleh ditamatkan dengan tindakan ketenteraan, selepas hampir lima tahun konflik di negara itu mengorbankan lebih 260,000 penduduk.

 "Beliau keliru jika menyangka ada penyelesaian ketenteraan kepada konflik di Syria. "Apa yang kita perhatikan, jika rejim Syria terus berperang, yang ada cuma pertumpahan darah, kesukaran dan secara jujur, lebih menyukarkan kedudukan di kedua-dua pihak," katanya. - AFP

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/124000

Amaran Russia

Moscow: Russia memberi amaran mengenai kemungkinan Perang Dunia yang berkekalan berlaku sekiranya konflik di Syria tidak diselesaikan.
Perdana Menteri Dmitry Medvedev juga mengingatkan Amerika Syarikat (AS) dan Arab Saudi supaya tidak melancarkan serangan darat di negara sekutunya itu.
Bercakap di Munich, pemimpin Russia itu berkata, AS dan Russia perlu memberi tekanan kepada semua pihak yang terbabit dalam konflik itu untuk melaksanakan gencatan senjata di Syria.
Ketika ditanya mengenai tawaran Arab Saudi minggu lalu untuk menghantar tentera jika Amerika Syarikat mengetuai serangan darat untuk memerangi pengganas Daish, Medved berkata: “Ini akan memburukkan lagi keadaan kerana serangan darat biasanya akan berubah menjadi perang kekal.
“Lihat apa yang berlaku di Afghanistan dan negara lain. Saya tidak perlu mengingatkan anda mengenai apa yang berlaku di Libya.
“Amerika dan sekutu Arabnya harus berfikir dengan baik, adakah mereka mahu perang berkekalan? Mustahil untuk menang dalam perang seperti itu dengan cepat, terutamanya di dunia Arab, yang menyaksikan mereka berperang sesama sendiri.
“Semua pihak mesti dipaksa berunding, bukan mencetuskan perang dunia baru.” katanya.
Russia melancarkan serangan udara di Aleppo, bandar utama di Syria untuk menyokong kemaraan tentera yang setia kepada rejim Presiden Bashar Al-Assad.
AS dan beberapa negara Barat juga terbabit dalam serangan udara di utara Syria.
SEORANG wanita meredah runtuhan bangunan selepas serangan tentera rejim Syria di Dael, Deraa, semalam. Kawasan itu dikuasai kumpulan penentang Bashar.
Menawan Aleppo, bandar kedua terbesar Syria sebelum perang bermula, akan menjadi kemenangan besar bagi Bashar dan hadiah simbolik untuk Russia.
Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 Februari 2016 @ 6:05 AM
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/114650#sthash.kYb93MAr.dpuf

Erdogan mahu hantar berjuta-juta pelarian ke EU


BEBERAPA pelarian Syria menuju ke Turki melalui pintu sempadan Bab Al-Salam di Aleppo, Syria pada Rabu lalu. - REUTERS


ANKARA – Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan mengugut akan menghantar berjuta-juta pelarian di Turki ke negara-negara Kesatuan Eropah (EU) ketika Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) berjanji mengerahkan kapal-kapalnya ke Laut Aegean bagi meringankan beban Ankara menangani krisis pelarian.
Erdogan meningkatkan kecamannya terhadap dasar Barat menangani isu pelarian dalam ucapannya di Ankara kelmarin. Beliau mengakui pernah mengugut kepimpinan EU dalam satu sidang kemuncak pada November lalu bahawa Turki boleh mengucapkan ‘selamat tinggal’ kepada golongan pelarian.
EU kini semakin bimbang berhubung beribu-ribu pelarian dari Syria, Afghanistan, Iraq dan negara Afrika lain yang menyeberangi Laut Aegean dari Turki pada setiap hari untuk menuju ke Eropah. Pada 2015, lebih sejuta imigran itu melakukan perjalanan tersebut.
Dalam perkembangan berkaitan, NATO bersetuju menghantar beberapa kapal perangnya ke Laut Aegean bagi menum­paskan sindiket-sindiket penyeludupan manusia yang membawa pelarian itu, manakala Greece pula menimbang untuk menghantar pulang pelarian yang diselamatkan di perairannya ke Turki.
Turki yang menempatkan kira-kira tiga juta pelarian kini menerima tekanan EU dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk menerima berpuluh-puluh ribu pela­rian Syria yang melarikan diri daripada pertempuran di bandar Aleppo.
Erdogan bagaimanapun berkata, Turki berhak mengusir pelarian itu jika ia mahu berbuat demikian.
“Tiada perkataan ‘bodoh’ tertulis di dahi kami. Kami akan bersabar tetapi kami akan melakukan apa yang perlu. Jangan fikir bas dan pesawat kami disimpan begitu sahaja,” kata Erdogan.
Terdahulu, laman web Greece, euro2day.gr me­laporkan bahawa Erdogan akan menggunakan kenderaan tersebut untuk menghantar pelarian di Turki ke sempadan Greece dan Bulgaria.
Beliau berang kerana EU bersikap cuci tangan dan meletakkan beban menangani kebanjiran pelarian kepada Turki. – AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2016&dt=0213&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm#ixzz401AW8Pfw 
Hakcipta terpelihara 

470,000 korban konflik Syria

13 FEBRUARI 2016
470,000 korban konflik Syria


 Pelarian Syria yang melarikan diri dari bandar Aleppo menunggu giliran untuk memasuki sempadan Turki. - Foto AFP DAMSYIK- SYRIA. Sebuah laporan terbaru mendedahkan jumlah korban angkara konflik yang berlarutan di Syria selama hampir lima tahun adalah jauh lebih tinggi daripada jumlah keselurahan yang dikeluarkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Kelmarin, penulis laporan itu, Rabis Nasser berkata, dokumentasi PBB dan anggaran tidak rasmi itu adalah kurang tepat disebabkan oleh kurangnya akses maklumat sepanjang berlakunya krisis tersebut.
Pusat Kajian Dasar Syria melaporkan sekurang-kurangnya 400,000 penduduk Syria terbunuh berbanding 26,000 orang yang diumumkan oleh agensi antarabangsa itu.
“Seramai 70,000 orang lagi meninggal dunia akibat kekurangan perkhidmatan kesihatan, makanan dan bekalan air bersih serta tempat perlindungan sempurna. Manakala, jumlah mangsa cedera pula adalah seramai 1.9 juta orang,” jelas laporan itu lagi.
Difahamkan, kadar kematian di Syria telah melonjak dari 4.4 peratus pada 2010 kepada 10.9 peratus pada 2015. Selain itu, jangka hayat rakyat negara itu telah menjunam dari umur 70 pada 2010 kepada 55.4 pada 2015.
Pada ketika ini, seramai 6.36 juta penduduk kehilangan tempat tinggal manakala lebih empat juta lagi terpaksa menjadi pelarian sejak konflik itu tercetus pada 2011. - Press TV