Pengarah Eksekutif UNICEF, Anthony Lake berkata, negara-negara yang berjiran dengan Syria masih berdepan kesukaran untuk menangani kebanjiran pelarian, dengan Turki menerima dua juta pelarian, Lebanon menerima lebih sejuta pelarian dan lebih 500,000 pelarian lagi memasuki Jordan.
“Jika sempadan (di negara Eropah) ditutup, ketiga-tiga negara terbabit akan menerima lebih banyak tekanan daripada segi ekonomi, politik dan strategi.
“Tindakan menutup sempadan dan menghalang pelarian Syria (masuk ke Eropah) bukan satu jalan penyelesaian,” katanya.
Beliau turut menggesa masyarakat antarabangsa menggandakan usaha bagi menamatkan perang di Syria, selain membantu negara-negara jiran menangani krisis pelarian.
“Kanak-kanak Syria di Jordan, Turki dan Lebanon perlu mendapatkan pendidikan bagi membangunkan semula Syria,” katanya.
Sementara itu, calon-calon yang berkempen bagi bertanding jawatan Presiden Amerika Syarikat (AS) mengambil kesempatan ke atas isu pelarian Syria dengan membahaskan isu itu bagi mendapatkan sokongan.
Calon daripada Parti Republikan, Jeb Bush berkata, beliau menyokong usaha Presiden Barack Obama untuk membawa masuk pelarian Syria ke AS tetapi dengan syarat penilaian teliti perlu dilakukan bagi memastikan tiada pengganas memasuki negara ini.
Namun, Bush mencetuskan kontroversi apabila menyuarakan pendapat bahawa pelarian yang beragama Kristian menjadi pilihan utama untuk berlindung di AS.
Seorang lagi calon daripada parti berkenaan, John Kasich, pula membantah pengambilan pelarian tersebut sambil menggesa Obama supaya menangguhkan program berkenaan sehingga keadaan keselamatan benar-benar terjamin.
Dua calon daripada Parti Demokrat, Hillary Clinton dan Bernie Sanders pula bersetuju dengan pendapat Bush untuk menerima pelarian dengan pelaksanaan penilaian yang lebih ketat.
Seorang lagi calon daripada Parti Demokrat, Martin O’Malley pula menggesa kerajaan AS meningkatkan jumlah pengambilan pelarian kepada 65,000 orang berbanding 10,000 pelarian yang disasarkan sebelum ini. – REUTERS/AFP