Monday 17 March 2014

Syria usir pemisah di kubu terakhir Lubnan


2014/03/17 - 03:54:57
Syria usir pemisah di kubu terakhir Lubnan
Pemandangan di Yabroud yang berjaya ditawan semula tentera kerajaan Syria semalam.

BEIRUT: Tentera kerajaan yang disokong pejuang Hizbullah mengambil alih kawalan di bandar Yabroud, Syria semalam selepas mengusir keluar pemberontak, kata media tempatan.

Tindakan itu sekali gus membantu Presiden Bashar al-Assad menjamin laluan darat yang menghubungkan Damsyik ke hab komersial di Aleppo dan pantai Mediterranean.


Kejatuhan Yabroud, kubu pemberontak terakhir di sempadan Lubnan, juga akan menyekat rangkaian bekalan penting pemberontak dari Lubnan dan memastikan kawalan kerajaan ke atas kawasan yang meliputi Damsyik ke pusat bandar Homs.

Televisyen Negeri SANA berkata, tentera kerajaan beroleh “kawalan sepenuhnya” di seluruh bandar termasuk membunuh atau menangkap ramai pemberontak.

Satu sumber tentera memberitahu Reuters kebanyakan pemberontak diusir keluar dari Yabroud sekitar subuh, sehari selepas tentera kerajaan memasuki daerah timur dan menawan beberapa puncak bukit.

Askar juga menemui sebilangan besar bahan letupan yang ditanam pemberontak, kata SANA.

Seorang pejuang di Yabroud dari sempadan Nusra, mengesahkan kepada Reuters pemberontak memutuskan untuk menarik diri. Mereka menuju ke arah kampung-kampung berdekatan termasuk Hosh Arab, Rankos dan Fleita, katanya.
Beribu-ribu orang awam melarikan diri dari Yabroud, bandar yang menempatkan kira-kira 40,000 hingga 50,000 orang kira-kira 60 kilometer ke utara Damsyik, dan kawasan sekitarnya selepas dibom dan dibedil bulan lalu.

Imej yang disiarkan televisyen Al Mayadeen dari jalan utama di Yabroud menunjukkan jalan kosong, kedai bidai dan rumah-rumah terbengkalai. Tembakan dan bedilan menjadi latar belakang rakaman berkenaan, yang dilaporkan wartawan berlaku dekat dengan pertempuran antara tentera kerajaan dengan persembunyian pemberontak.

Kerajaan kembali menguasai kawalan di sepanjang jalan darat dan juga di sekitar Damsyik dan Aleppo sejak beberapa bulan lalu, mengembalikan semula inisiatif dalam konflik yang sudah memasuki tahun keempat.

Lebih 140,000 orang terbunuh dalam perang saudara membabitkan perbezaan mazhab yang bermula dengan protes jalanan besar-besaran terhadap Assad tetapi bertukar menjadi pemberontakan bersenjata selepas tindakan keras ke atas penunjuk perasaan. - Reuters

Tentera Syria kuasai bandar Yabrud


DAMSYIK 16 Mac - Tentera Syria, hari ini menguasai bandar Yabrud, benteng pertahanan kumpulan penentang kerajaan ketika negara ini memasuki tahun keempat perang saudara yang telah meragut lebih 146,000 nyawa serta berjuta-juta penduduk terpaksa berpindah dan menjadi pelarian.
Pemerhati Hak Asasi Manusia bagi Syria melaporkan, tentera turut menerima bantuan daripada pergerakan Hezbollah yang merupakan sekutu tentera Syria dalam usaha tersebut.
Sumber tentera berkata, 13 ketua penentang terbunuh di samping ramai anggota penentang kerajaan turut terkorban dalam operasi itu.
Stesen televisyen tempatan yang melaporkan dari pinggir bandar itu berkata, pasukan tentera telah memasuki bandar itu sejauh dua kilometer dan sedang menuju ke sebuah bulatan.
Yabrud merupakan pusat dan laluan utama penentang kerajaan bagi mendapatkan bekalan serta benteng pertahanan terakhir dalam wilayah Qalamun di sepanjang sempadan Lebanon dan lebuh raya antara Damsyik dan bandar Homs.
Kumpulan penentang yang menguasai sebahagian besar Syria kini berhadapan serangan balas tentera dan kumpulan pelampau yang mempunyai hubungan dengan al-Qaeda.
Dalam pada itu, Ketua Gabungan Kebangsaan Syria, Ahmed Jarba, semalam mendesak pihak antarabangsa menyediakan peralatan senjata seperti yang dijanjikan sebelum ini.
“Kami meminta supaya rakan-rakan Syria menunaikan janji mereka untuk membekalkan senjata berkualiti kepada kumpulan penentang.
“Pejuang kami bukan sahaja berdepan tentera kerajaan, tetapi juga kumpulan pelampau, terutamanya Kumpulan Negara Iraq dan Jajahannya (ISIL)," katanya ketika berucap di Istanbul, Turki.
Kumpulan penentang kerajaan gagal mencapai kata sepakat dengan wakil kerajaan dalam rundingan damai di Geneva, Switzerland, bulan lalu, manakala Presiden Syria, Bashar al-Assad kini bersiap sedia untuk menghadapi pilihan raya Presiden yang dijangka diadakan pada Jun ini. - AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140317/lu_04/Tentera-Syria-kuasai-bandar-Yabrud#ixzz2wAMag600
© Utusan Melayu (M) Bhd