Wednesday 16 December 2015

Serangan udara Russia jejas misi kemanusiaan

SELASA, 15 DISEMBER 2015 @ 1:20 PM

PASUKAN penyelamat mencari mangsa yang terselamat di celah-celah runtuhan bangunan yang musnah berikutan serangan udara. - Foto AFP

BEIRUT: Agensi bantuan mendakwa serangan udara yang dilancarkan Russia menjejaskan misi bantuan kemanusiaan di utara Syria. Agensi itu menyebut, serangan udara Russia meningkat sejak Turki menembak jatuh pesawat juang Russia di sempadan Turki-Syria pada 24 November lalu. Russia bertindak balas dengan meningkatkan operasi menghapuskan pemberontakan antikerajaan di wilayah dikuasai pemisah bersempadan Turki. Antara sasaran yang dibedil adalah lintasan sempadan dan lebuh raya yang digunakan untuk menyampaikan bantuan kemanusiaan dari Turki, memaksa banyak agensi bantuan menghentikan atau mengurangkan operasi bantuan. Hospital dan kemudahan kesihatan turut menjadi sasaran serangan. Laporan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menyebut, sekurang-kurangnya 20 kemudahan perubatan diserang di seluruh Syria sejak Russia melancarkan serangan udara pada 30 September lalu. - AGENSI

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/105295

39 maut serangan udara Russia di Syria

RABU, 16 DISEMBER 2015 @ 9:01 AM

 SEKURANG-KURANGNYA 39 orang awam terbunuh, semalam dalam serangan udara didakwa dilakukan Russia di dua pasar di utara Syria. - Foto AP

BEIRUT: Sekurang-kurangnya 39 orang awam terbunuh, semalam dalam serangan udara didakwa dilakukan Russia di dua pasar di utara Syria. Kumpulan pemantau Hak Asasi Manusia Syria berkata, serangan itu mengorbankan 16 orang di pasar awam bahan api dekat Maarat al-Naasan, sebuah perkampungan di wilayah Idlib. Seramai 23 lagi orang awam, termasuk lima wanita terbunuh selepas serangan ke atas sebuah kampung oleh militan kumpulan Negara Islam (IS) di wilayah Aleppo utara. Ketua Kumpulan Pemantau, Rami Abdel Rahman memberitahu AFP, empat militan IS turut terbunuh dalam serbuan ke atas penduduk kampung Maskana, yang turut berada di pasar itu. Angka korban kedua-dua serangan dijangka meningkat kerana ramai yang parah, kata pemantau yang berpangkalan di Britain itu. - AFP

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/105513

Pesawat Assad, Putin bunuh 31 orang awam

15 DISEMBER 2015

 Beberapa mangsa serangan udara Rusia dan rejim al-Assad di Douma, Syria semalam diberikan rawatan kecemasan.


DAMASCUS - SYRIA. Serangan udara dari pesawat milik rejim Bashar al-Assad dan Rusia dilaporkan mengorbankan 31 orang awam termasuk kanak-kanak di ibu negara, Damascus semalam.
Menurut laporan Dailymail, serangan udara juga menyasarkan sebuah penempatan berdekatan sebuah sekolah di Douma yang mengorbankan 28 orang awam pada hari sama.
Kumpulan pemerhati mengatakan serangan udara Rusia difokuskan ke Douma, Zemelka, Cobar, Hamuriye dan Arbin yang terletak di timur Ghouta.
Ghouta merupakan kawasan penempatan orang awam yang dikuasai pihak pemberontak.
Sementara itu, pemberontak Syiah yang didokong Iran, Hezbollah mengumumkan 11 nama pemberontak kerajaan rejim al-Assad yang didakwa dibunuh kumpulan tersebut.
Iran setakat ini sudah menghantar beribu-ribu anggota Hezbollah untuk menyokong pemerintahan rejim
.

Rusia dituduh guna bom terlarang

15 DISEMBER 2015

ALEPPO - SYRIA. Kerajaan Rusia dituduh menggunakan bom berangkai (cluster bomb) dalam serangan udara di Aleppo semalam yang mengorbankan 10 orang awam.
Laporan Dailymail menyertakan foto yang menunjukkan bom tersebut di sebuah kawasan penempatan, Merce.
Bom berangkai direka bukan untuk memusnahkan sasaran, sebaliknya meletup dan melepaskan serpihan-serpihan besi (bomblets) bertujuan untuk mencederakan mangsa dengan parah.
Larangan ke atas penggunaan, penyimpanan dan penghasilan bom berangkai dikuatkuasakan 1 Ogos 2010 oleh sebuah perjanjian dan diakui oleh lebih 108 negara.
Amerika Syarikat, China dan Rusia bagaimanapun menentang larangan tersebut dan tidak menandatangani perjanjian.