Thursday 1 May 2014

Puluhan rakyat Malaysia ke Syria


SEORANG bekas pemuzik kumpulan rock terkenal (duduk kiri) bergambar bersama dua pejuang tentera pemberontak dipercayai di Syria.
KUALA LUMPUR 30 April - Puluhan rakyat Malaysia dikatakan pergi ke Syria sejak dua tahun lalu atas nama perjuangan ‘jihad’ bagi membantu umat Islam di negara bergolak itu termasuk seorang ‘ustaz’ militan yang ditangkap pihak berkuasa Ahad lalu.
Yang turut menyertai ‘ustaz’ berkenaan ialah seorang bekas pemuzik sebuah kumpulan rock terkenal tanah air pada tahun 90-an.
Malah lebih mengejutkan ada antara rakyat Malaysia yang ke sana dipercayai terbunuh dalam pertempuran yang boleh dikaitkan sebagai pepera­ngan saudara di negara tersebut.
Sumber keselamatan mendedahkan, segelintir rakyat Malaysia dikesan pergi ke Syria setelah terpengaruh de­ngan dakyah pihak tertentu kononnya mereka boleh mati syahid di negara berkenaan.
Kata beliau, kerajaan sama sekali tidak membenarkan rakyat Malaysia mencampuri urusan negara lain dan berikutan itu, rakyat negara ini yang ke sana dan jika terbukti bersalah, boleh dikenakan tindakan undang-undang.
Menurut sumber itu, siasatan polis percaya mereka yang terlibat mempunyai kaitan dengan 10 individu dipercayai ahli kumpulan militan yang ditahan polis dalam operasi khas di Kedah dan Selangor, pada 27 April lalu dan semalam.
“Kita percaya kesemua mereka itu menyasarkan untuk berjihad ke Syria setelah terpengaruh dengan dakwaan yang mengatakan Presiden negara berkenaan iaitu Bashar al-Assad menindas para ulama.
“Bagaimanapun kumpulan itu tidak sedar, pemberontakan tersebut adalah tajaan pihak Barat untuk menjatuhkan Bashar kerana menyokong Iran dan menentang Israel," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Menurut sumber tersebut, siasatan turut mendapati rakyat negara ini yang ke Syria dilatih secara ala tentera termasuk dipercayai menggunakan senjata api sebelum berlepas ke negara berkenaan.
Kata beliau, kumpulan berkenaan kemudian dipercayai akan menaiki penerbangan sama ada ke Turki, Jordan dan Lebanon sebelum ke Syria kerana Malaysia tidak mempunyai penerbangan terus ke negara tersebut.
“Di Syria, kumpulan ini akan berhubung dengan puak penentang kerajaan sebelum menyertai mana-mana pertempuran yang sehingga kini meragut puluhan ribu nyawa dan jutaan menjadi pelarian," katanya.
Sumber itu seterusnya berkata, pihak berkuasa kini sedang memburu saki-baki ahli kumpulan terbabit yang merancang untuk ‘berjihad’ di Syria bagi menyekat kegiatan mereka.
Pada 27 April lalu, polis menahan sembilan individu dipercayai ahli sebuah kumpulan militan dalam beberapa serbuan di Selangor dan Kedah.
Polis kemudian menahan seorang wanita pada keesokannya yang disyaki mempunyai kaitan dengan kumpulan tersebut.
Utusan Malaysia hari ini turut mendedahkan satu laman sosial video Youtube berhubung kegiatan seorang ‘ustaz’ yang pergi ke Syria untuk ‘berjihad’.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20140501/je_01/Puluhan-rakyat-Malaysia-ke-Syria#ixzz30PajAwep
© Utusan Melayu (M) Bhd 

PBB enggan bantu Syria tanpa kebenaran kerajaan


GAMBAR bertarikh 27 April 2014 yang dikeluarkan oleh Pusat Media Aleppo (AMC) menunjukkan beberapa anggota penyelamat membawa keluar mayat kanak-kanak yang menjadi mangsa serangan udara tentera Syria di Aleppo, Syria. - AGENSI
NEW YORK 30 April - Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) semalam menolak gesaan untuk memberi bantuan kemanusiaan merentasi sempadan negara Syria tanpa mendapatkan kebenaran daripada kerajaannya di Damsyik.
PBB berkata, operasi bantuan itu hanya boleh dilaksanakan dengan satu resolusi yang lebih kukuh di bawah Majlis Keselamatan.
Ini berikutan desakan berpuluh-puluh peguam dari seluruh dunia menerusi satu surat kepada PBB yang menyatakan, tidak ada undang-undang yang menghalang pertubuhan antarabangsa menyampaikan bantuan merentasi sempadan negara atau memberi bantuan kepada pertubuhan lain untuk tujuan sama.
Lebih 150,000 penduduk Syria terbunuh dalam krisis perang saudara negara tersebut dalam tempoh tiga tahun, manakala kira-kira 2.5 juta rakyat menjadi pelarian dan sembilan juta lagi terperangkap dalam negara itu tanpa bantuan.
Menurut jurucakap PBB, Stephane Dujarric, keputusan PBB itu sejajar dengan piagam­nya bahawa sebarang pertubuhan yang mahu menjalankan sebarang aktiviti dalam sesebuah wilayah perlu mendapatkan kebenaran kerajaan negara itu.
“Tanggungjawab utama terhadap penduduk yang kini berada dalam situasi sukar itu terletak pada bahu kerajaan Syria dan penentang yang terlibat dalam krisis negara tersebut," katanya.
Minggu lalu, Setiausaha Agung PBB, Ban Ki-moon men­dakwa, kedua-dua pihak kerajaan serta penentang Syria tidak meme­nuhi permintaan PBB bagi mendapatkan akses bantuan kemanusiaan, di samping mendesak Majlis Keselamatan bertindak ke atas negara itu atas kesalahan melanggar undang-undang antarabangsa.
Dalam perkembangan sama, kumpulan bantuan kemanusiaan di Syria kecewa dengan tindakan PBB terhadap krisis kemanusiaan terbesar di dunia itu serta menuduh organisasi antarabangsa tersebut tidak memberi maklumat yang diperlukan bagi membantu jutaan rakyat Syria. - REUTERS


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140501/lu_12/PBB-enggan-bantu-Syria-tanpa-kebenaran-kerajaan#ixzz30Pa0qWbe
© Utusan Melayu (M) Bhd 

10 kanak-kanak antara korban serangan udara tentera Syria


ALEPPO 1 Mei - Sekurang-kurangnya 18 orang terkorban dengan 10 daripadanya adalah kanak-kanak, selepas tentera rejim Bashar al-Assad melancarkan serangan udara di kawasan penempatan penentang kerajaan di daerah Ansari, utara Aleppo. semalam.
Pengarah Pemerhati Hak Asasi Manusia Syria, Rami Abdel Rahman berkata, seorang guru terbunuh dalam kejadian itu, dengan kebanyakan kanak-kanak yang terbunuh berusia dalam lingkungan umur 12 ke 13 tahun.
Kawasan tersebut sering menjadi sasaran tentera kerajaan untuk melakukan serangan udara dengan mengugurkan tong yang dipenuhi bahan peledak sejak Disember tahun lalu. - AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140501/lu_02/10-kanak-kanak-antara-korban-serangan-udara-tentera-Syria#ixzz30PQ8nNiB
© Utusan Melayu (M) Bhd