Thursday 24 March 2016

Greece mula berkas pelarian

23 MAC 2016

Greece mula berkas pelarian

 Kumpulan pelarian dari Pakistan menunggu giliran masuk ke kem Moria di Pulau Lesbos. - Foto AFP 

ATHENS - GREECE. Pihak berkuasa Greece telah menahan ratusan migran yang tiba di negara itu di bawah sebahagian daripada kandungan perjanjian pelarian antara Turki dan Kesatuan Eropah (EU) yang mula berkuat kuasa, Ahad lalu.
Kelmarin, jurucakap kerajaan memaklumkan lebih 1,600 pelarian dihantar ke pusat tahanan di Pulau Aegean, di mana permohonan mereka akan disemak semula.
Difahamkan, perjanjian kontroversi itu telah memberi tekanan kepada pihak berkuasa di Pulau Lesbos kerana mereka perlu menyesuaikan diri dengan sistem baharu itu sementara menunggu bantuan dari negara EU.
Pesuruhjaya Imigresen EU, Dimitris Avramopoulos berkata, pelaksanaannya meletakkan tekanan besar kepada Athens, namun kerajaan tersebut bersetuju untuk mengendalikan proses berkenaan.
Di bawah perjanjian itu, Ankara dipertanggungjawabkan untuk mengambil semula pelarian tanpa dokumen sah dari Athens dan EU akan menerima ribuan pemohon suaka warga Syria secara terus dari Turki. - Press TV