Kementerian Pertahanan dalam kenyataannya berkata, dua jet pengebom Tornado GR4 milik Tentera Diraja Britain (RAF) dan enam jet Typhoon yang ditempatkan di Cyprus sejak semalam, selesai me­lakukan serangan pertama terhadap kedudukan IS di Syria.
Menteri Pertahanan, Michael Fallon mengesahkan serangan dilancarkan terhadap enam sasaran di kawasan lapangan minyak dekat Omar yang dikuasai militan IS di timur Syria.
Keputusan untuk menyertai kempen yang diketuai Amerika Syarikat (AS) itu ditentukan melalui undian anggota Parlimen dan kerajaan pimpinan Perdana Menteri, David Cameron memperoleh 397 sokongan berbanding 223 undian yang menentang.
Cameron dalam kenyataannya menerusi laman sosial Twitter berkata, keputusan Dewan Rakyat tersebut ternyata tepat bagi memastikan keselamatan Britain.
“Saya diberikan mandat untuk mengambil tindakan ketenteraan di Syria sebagai satu daripada strategi di luar negara,” kata beliau.
Sebelum ini, Britain mengerahkan lapan pesawat pejuang Tornado dan drone untuk menyertai kempen mengebom kedudukan militan IS di Iraq dan dijangka menghantar lebih banyak aset dalam operasi tersebut.
Namun sejak serangan berdarah di Paris yang mengorbankan 130 nyawa pada 13 November lalu, sekutu Britain, Perancis mendesak London untuk meluaskan operasi ketenteraan memerangi pengganas IS di Syria.
Dalam pada itu, kira-kira 2,000 penunjuk perasaan berhimpun di luar Parlimen selama dua malam berturut-turut bagi membantah penglibatan Britain dalam peperangan di Syria.
Tunjuk perasaan turut dilaksanakan di beberapa lokasi lain di seluruh negara sejak minggu hari lalu. – AFP