pemerhati PBB
Empat anggota pemerhati PBB ditahan di Bukit Golan, kelmarin.
NEW YORK - Sekumpulan tentera Pembebasan Syria (FSA) mendakwa, menahan empat pemerhati Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang ditugaskan memantau gencatan senjata di wilayah negara itu yang bersempadan dengan kawasan jajahan Israel, di Bukit Golan, kelmarin.

Jurucakap FSA dari Briged Syahid Yarmouk mengakui menahan anggota pemerhati PBB itu atas alasan 'keselamatan' ekoran pertempuran sengit di kawasan berkenaan.

Kenyataan itu disahkan jurucakap Jabatan Pengaman PBB, Kieran Dwyer dengan menyatakan empat pasukan pengaman kesemuanya dari Filipina, ditahan sekumpulan individu tidak dikenali berhampiran Al Jamlah.

“Kami sedang berusaha membebaskan kesemua tahanan itu,” katanya.

Sementara itu, di Damsyik, Presiden Syria, Bashar Al Assad berkata, rejimnya mampu menghadapi serangan Israel dan mengancam akan bertindak balas terhadap serangan itu.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan pertemuan dengan Menteri Luar Iran, Ali Akbar Salehi yang melakukan lawatan mengejut ke Damsyik semalam.

Iran adalah sekutu kuat Syria dan juga pejuang Lubnan, Hizbullah dengan kedua-dua pemimpin itu semakin bersatu dalam perang saudara di Syria.

Dalam perkembangan lain, syarikat-syarikat internet antarabangsa mengatakan Syria telah memutuskan talian komunikasi internet dengan seluruh dunia.

Menurut pangkalan data Google dan syarikat internat global lain, sambungan internet antara Syria dan dunia luar telah terputus, laporan dipetik daripada Reuters.
“Laporan Ketelusan Google menunjukkan, trafik ke laman perkhidmatan Google tiba-tiba berhenti sebelum jam 7 malam (semalam) dan menunjukkan tiada  sebarang aktiviti carian,” kata Pengurus Kanan Google Christine Chen.