Tuesday 26 January 2016

Mahu sekatan Rusia ditarik balik


Campur tangan Moscow telah mewujudkan kumpulan pemisah pro-Rusia di wilayah timur Ukraine.

PARIS -  Perancis berharap Barat akan menarik balik sekatan ke atas Rusia kerana tindakan mereka campur tangan dalam konflik di Ukraine menjelang musim panas depan.
Kelmarin, Menteri Ekonomi, Emmanuel Macron berkata, matlamat utama adalah untuk menghormati perjanjian damai Minsk yang dicapai selepas beberapa pusingan rundingan bersama Kiev, Moscow, Berlin dan Paris pada Februari lalu.
Sementara itu, Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), John Kerry memaklumkan sekatan Barat ke atas Rusia akan ditarik balik balik apabila syarat perjanjian dipenuhi.
"Ia mungkin mengambil masa beberapa bulan lagi untuk memastikan perjanjian tersebut dilaksanakan," katanya ketika menghadiri Forum Ekonomi Dunia di Davos, Switzerland.
Selain menarik balik senjata berat, kandungan perjanjian Minsk turut menetapkan pelaksanaan gencatan senjata dan pembaharuan Perlembagaan di Ukraine selepas lebih 9,000 terkorban dalam konflik di Ukraine sejak April 2014.
Sebelum ini, Kiev dan kumpulan pemisah pro-Rusia saling menuding ke arah satu sama lain melanggar perjanjian gencatan senjata walaupun kelengkapan itu dilaporkan telah ditarik balik dari barisan hadapan. - Press T
V

11 anggota penentang terbunuh di Syria


BEIRUT 25 Jan. - Sekurang-kurangnya 11 anggota kumpulan penentang di Syria dan lima penduduk awam terbunuh dalam serangan peluru berpandu ke atas sebuah bangunan di barat laut Syria, ketika kumpulan-kumpulan penentang mengadakan pertemuan di situ.
“Sebanyak 11 anggota penentang daripada Barisan Al-Nusra (sekutu al-Qaeda) dan kumpulan penentang lain terbunuh semalam, bersama-sama lima penduduk awam, apabila sebuah peluru berpandu mengenai sebuah balai polis yang digunakan sebagai mahkamah di Salqin,” di wilayah Idlib, kata pemerhati hak asasi bagi Syria.
Kumpulan hak asasi yang berpangkalan di Britain itu berkata, masih tidak jelas sama ada peluru berpandu itu dilancarkan oleh Rusia atau tentera Syria.
Kumpulan pemantau itu berkata, jumlah korban mungkin meningkat kerana ramai yang mengalami cedera parah dalam serangan itu.
Serangan peluru berpandu itu berlaku ketika kumpulan penentang Al-Nusra dan kumpulan militan konservatif Islam, Ahrar al-Sham mengadakan rundingan. Sebelum itu, berlaku pertempuran antara kedua-dua kumpulan terbabit di bandar itu pada hari yang sama.
Kedua-dua kumpulan itu menyertai pakatan Pasukan Tentera Penyerang, pakatan penentang yang menawan wilayah Idlib pada tahun lepas.
Awal Januari lalu, Rusia mengempur wilayah Idlib di kawasan sempadan Turki mengakibatkan sekurang-kurangnya 81 orang terbunuh, termasuk 23 anggota Al-Nusra dan 52 penduduk awam serta banduan.
Menurut pasukan pemerhati, lebih 1,000 penduduk awam terbunuh dalam serangan udara Rusia sejak Moscow menyertai kempen ketenteraan di Syria pada 30 September lalu.
Serangan udara Rusia itu turut membunuh hampir 900 anggota kumpulan militan Negara Islam (IS) dan lebih 1,100 anggota penentang kerajaan Syria daripada beberapa kumpulan penentang, termasuk Al-Nusra. - AFP
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/11-anggota-penentang-terbunuh-di-syria-1.183323#sthash.SY4nvPHX.dpuf