Pengarah Pertubuhan Hak Asasi Manusia Syria, Rami Abdel Rahman berkata, lebih 70 askar kerajaan terbunuh dalam serangan militan IS ke atas pusat bandar dan beberapa lokasi lain di wilayah Homs dan Hama.
Jelasnya, banyak tentera terkorban di wilayah Hama, apabila kira-kira 50 askar kerajaan terbunuh semasa bertempur dengan militan IS.
“Militan IS melancarkan serang­an balas ekoran kekalahan mereka di wilayah Aleppo dan Raqa, selain cuba merampas kedudukan tentera kerajaan di wilayah Homs dan Hama,” katanya.
Dalam serangan berasingan, lebih 33 orang terbunuh termasuk lima kanak-kanak dan ramai wanita, apabila pengebom berani mati melancarkan serangan ke atas puak minoriti Kurdis di Hasakeh, timur laut Syria.
Menurut Rami, serangan yang turut menyebabkan berpuluh-puluh orang cedera itu berlaku ketika ramai penduduk Kurdis berkumpul untuk menyambut Tahun Baharu Nowruz iaitu perayaan bagi puak tersebut yang bermula setiap 21 Mac.
Jelasnya, serangan kedua berlaku di lokasi berasingan ketika perayaan yang sama diadakan, mengakibatkan ramai orang cedera dan banyak rumah, kereta dan kedai rosak.
Agensi berita Syria SANA melaporkan serangan itu didalangi puak pengganas, merujuk kepada kumpulan militan IS yang cuba mengukuhkan kedudukan mereka di Hasakeh, lokasi strategik yang terletak dekat sempadan Iraq dan Turki. - AFP