Wednesday 10 February 2016

PKK tembak mati 3 anggota keselamatan Turki

RABU, 10 FEBRUARI 2016 @ 4:57 PM




 ISTANBUL: Militan Kurdis menembak mati dua tentera Turki dan seorang pegawai polis ketika pemberontak cuba menyeberangi sempadan dari Syria hari ini, menurut tentera negara itu dan media milik kerajaan.

 Askar Turki berkata, di daerah Cizre, wilayah Sirnak, pasukan keselamatan mengesan tujuh pemberontak Parti Pekerja Kurdistan (PKK) memasuki Turki dari Syria dan ketika bertempur, seorang askar maut dan seorang lagi cedera.

 Seorang lagi tentera Turki ditembak mati oleh militan PKK di daerah Sur yang di bawah perintah berkurung sejak awal Disember lalu di mana sebahagian besar kawasan dikuasai pemberontak Kurdish di tenggara Turki, iaitu bandar terbesar Diyarbakir.

 Pasukan keselamatan Turki berusaha untuk merampas semula pekan dan bandar dikuasai militan sejak Julai lalu, apabila gencatan senjata dua tahun berakhir dan menyukarkan rundingan damai serta mencetuskan keganasan paling buruk dalam dua dekad. - Reuters

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/123045

Macedonia mula pasang pagar baru

Skopje: Macedonia mula memasang pagar baru, selari dengan yang ada sekarang, di sempadannya dengan Greece untuk menyukarkan lagi pendatang memasuki negara Balkan itu.
Sejak November lalu, hanya pelarian dari Syria, Afghanistan dan Iraq dibenarkan menyeberangi sempadan negara itu untuk ke Eropah.
Bagaimanapun, pendatang dari negara lain masih cuba menyeberangnya.
“Ideanya ialah untuk menghantar mesej kepada pendatang bahawa ada dua pagar yang akan menghalang mereka menyeberang secara haram,” kata seorang pegawai kanan tentera.
Lebih 68,000 pendatang dan pelarian didaftar memasuki Macedonia sejak awal tahun ini dan polis berkata, mereka menghalang kira-kira 4,000 orang yang cuba menyeberang secara haram pada Januari sahaja.
Pagar berkenaan dipasang kira-kira lima meter dari yang dipasang pada November di kedua-dua belah sempadan di Gevgeliha, kata pegawai itu.
Dia enggan menyatakan sejauh mana pagar berkenaan.
Bagaimanapun, media tempatan berkata, ia sepanjang 30 kilometer. - Agensi
Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Februari 2016 @ 5:14 AM

- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/113771#sthash.yAdooh0q.dpuf

PBB tuduh Syria 'hapus' penentang guna cara kejam

New York: Penyiasat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menuduh rejim Bashar al-Assad ‘menghapuskan’ penentangnya di penjara dan pusat tahanan menerusi cara yang kejam, termasuk membiarkan mangsa kebulur, mendera dan membunuh.
Tuduhan itu berdasarkan siasatan terhadap dakwaan jenayah perang yang dilakukan rejim berkenaan sejak kebangkitan rakyat bermula pada Mac 2011 hingga tahun lalu.
Ia juga mendedahkan bagaimana ribuan tahanan dibunuh ketika ditahan oleh pihak bertentangan dalam konflik di negara itu.
Berdasarkan kenyataan ratusan saksi, laporan badan dunia itu mendedahkan bagaimana tahanan di pusat tahanan yang dikelolakan pihak berkuasa Syria menjadi mangsa pemerkosaan, penderaan dan pembunuhan serta pelbagai jenayah perang.
“Ada tanda-tanda menunjukkan pihak berkuasa rejim itu yang mengawal penjara dan pusat tahanan menyedari berlakunya begitu banyak kematian,” menurut laporan berkenaan.
Ia menuduh Damsyik melakukan jenayah terhadap kemanusiaan dengan menyasarkan tahanan perang dan orang awam yang ditahan selepas menculik mereka.
Penyiasat berkata, mereka mewawancara 621 orang, termasuk lebih 200 bekas tahanan yang menyaksikan sendiri satu atau dua kematian dalam tahanan.
“Bagi tahanan yang bernasib baik kerana dibebaskan, hampir semuanya mengalami penyeksaan yang begitu sukar untuk digambarkan,” kata suruhanjaya penyiasat Paul Pinheiro.
Menurutnya, mangsa yang terselamat menceritakan bagaimana rakan tahanan mereka dipukul hingga mati ketika disoal siasat atau dibiarkan mati dalam tahanan dengan kecederaan yang mereka alami akibat didera.
Selain lelaki, sebahagian mangsa yang mati dalam tahanan itu ialah wanita dan juga kanak-kanak.
Lebih kejam lagi, ada mangsa semuda tujuh tahun juga didera hingga mati, menurut laporan itu. - Agensi
Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Februari 2016 @ 5:13 AM


GAMBAR fail menunjukkan mayat bergelimpangan selepas kekejaman rejim Bashar di sebuah pusat tahanan.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/113769#sthash.Q1xC42gJ.dpuf

27 lagi pelarian mati lemas

Istanbul: Sekurang-kurangnya 27 orang, termasuk 11 kanak-kanak mati lemas selepas bot yang mereka naiki karam di Laut Aegean ketika cuba menyeberangi dari Turki ke Greece.
Pengawal pantai Turki berkata, mereka menemui bot yang membawa 40 pelarian dalam keadaan separuh karam selepas ia belayar dari Edremit di Balikesir, wilayah di barat Turki untuk menuju ke pulau Lesbos, Greece.
Setakat ini, empat pelarian diselamatkan dalam operasi mencari dan menyelamat dari udara dan laut, kata pengawal pantai Turki dalam kenyataan di laman webnya.
Sembilan lagi masih hilang.
Kerakyatan mangsa masih belum dikenal pasti.
Menurut agensi berita Dogan, sekurang-kurangnya 35 pelarian maut dalam dua kejadian berasingan di luar pantai barat Turki.
Ia kemudian melaporkan hanya satu kejadian berlaku dengan 11 kanak-kanak mati.
Turki yang menempatkan lebih 2.5 juta warga Syria yang melarikan diri dari peperangan di negara itu menjadi pintu utama bagi pendatang untuk ke Eropah.
Kejadian semalam berlaku ketika Canselor Jerman, Angela Merkel mengadakan perbincangan di Ankara mengenai usaha mengurangkan kebanjiran pelarian ke Eropah. Ketika ini kira-kira 30,000 pelarian Syria masih terkandas di sempadan Turki selepas melarikan diri dari serangan rejim Bashar di Aleppo, wilayah di utara Syria.
Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Februari 2016 @ 5:15 AM

- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/113774#sthash.kODyOaPx.dpuf