Monday 11 July 2016

Aleppo putus bekalan



Kira-kira 200,000 penduduk terperangkap
11 Julai 2016 12:05 AM


Orang ramai membantu seorang wanita yang cedera dalam serangan udara tentera Syria di kawasan Kadi A

Orang ramai membantu seorang wanita yang cedera dalam serangan udara tentera Syria di kawasan Kadi Askar, wilayah Aleppo pada 8 Julai lalu. - Reuters
DAMSYIK 10 Julai - Penduduk di wilayah Aleppo, Syria kini berhadapan kekurangan bekalan makanan dan bahan api berikutan tindakan tentera Syria menutup jalan utama, Castello, yang merupakan laluan penting penghantaran bekalan ke wilayah berkenaan.
Menurut seorang penduduk Aleppo, Bilal Qaterji, tiada setitik petrol mahupun sebiji tomato yang tinggal di wilayah itu sejak tentera Syria mara menuju ke wilayah berkenaan pada Khamis lalu.
Dalam pada itu, sekurang-kurangnya 29 pemberontak Syria terbunuh dalam pertempuran dengan tentera Syria, malam tadi dalam cubaan mereka untuk membuka kembali jalan tersebut.
Jalan itu merupakan satu-satunya laluan penghantaran bekalan ke kawasan yang dikuasai kumpulan pemberontak di timur wilayah Aleppo.
Kira-kira 200,000 penduduk masih terperangkap di wilayah itu yang terbahagi kepada dua bahagian antara tentera kerajaan dan kumpulan pemberontak, sejak pertempuran meletus pada pertengahan 2012.
Semalam, tentera kerajaan mengumumkan gencatan senjata lanjutan selama 72 jam selepas gencatan senjata yang bermula pada Rabu lalu dicemari dengan pertempuran antara kedua-dua pihak.
Di utara Aleppo, sekurang-kurangnya 43 orang awam terbunuh sejak tentera kerajaan menggempur wilayah itu Rabu lalu, manakala Pemantau Hak Asasi Manusia bagi Syria memberitahu bahawa seramai 34 orang awam terbunuh selepas pemberontak melancarkan serangan di beberapa bahagian di wilayah itu yang dikuasai tentera kerajaan.
Pada masa yang sama, sembilan lagi maut dalam serangan udara tentera kerajaan di bahagian yang dikuasai kumpulan pemberontak.
Menurut wartawan Al-Jazeera, Zeina Khodr, gencatan senjata dicabul sejak beberapa hari lalu dan keganasan berterusan.
Kementerian Pertahanan Rusia, semalam pula mengesahkan kumpulan militan Negara Islam (IS) menembak jatuh sebuah helikopter milik tentera negara itu di bandar purba Palmyra menyebabkan dua juruterbangnya terbunuh. – Agensi
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/aleppo-putus-bekalan-1.351798#sthash.cRuKxbtO.dpuf