Thursday 19 February 2015

AS saring 1,200 pemberontak sederhana Syria untuk dilatih


WASHINGTON: Pentagon berkata Amerika Syarikat (AS) sudah menyaring kira-kira 1,200 pemberontak sederhana Syria bagi menyertai program latihan terbaharu agar mereka boleh kembali dan memerangi kumpulan Negara Islam (IS).
Setiausaha Akhbar kepada Panglima Angkatan Tentera, John Kirby, berkata tentera AS akan meneruskan program menyaring dan mengenal pasti calon sesuai untuk ditempatkan di mana-mana tiga pusat latihan tentera AS di Turki, Arab Saudi dan Qatar.
Kirby berkata, pejuang pemberontak berkenaan berasal daripada beberapa kumpulan sederhana di Syria.
Katanya, latihan tertumpu kepada asas latihan dan peralatan ketenteraan dan kemahiran.
"Sebaik pejuang Syria ini sudah dilatih, mereka boleh membantu memberikan maklumat kepada tentera bersekutu yang melakukan serangan udara ke atas militan IS," katanya. - AP