Sunday 8 November 2015

Jerman 'tutup pintu'


Jerman 'tutup pintu'

8 NOVEMBER 2015
Jerman 'tutup pintu' Ratusan ribu pelarian terutamanya dari Syria terpaksa menggadai nyawa untuk mencari perlindungan di rantau Eropah. - Foto AFP

BERLIN - Jerman, kelmarin mengumumkan rancangan untuk memberikan permit tinggal sementara kepada pelarian Syria yang tiba di negara tersebut.

Menteri Dalam Negeri, Thomas de Maiziere berkata, langkah baharu tersebut selaras dengan keputusan kerajaan Kesatuan Eropah (EU) lain yang mahu mengehadkan kemasukan beramai-ramai migran di sempadan negara mereka.

"Kami mahu melakukan perkara sama dan bersetuju memberikan perlindungan kepada mereka, namun mana-mana pelarian tidak dibenarkan untuk bersatu semula dengan keluarga mereka," katanya.

Difahamkan, Berlin membuat keputusan mengejutkan itu selepas Canselor, Angela Merkel memperkenalkan dasar buka pintu kepada migran beberapa bulan lalu yang turut mencetuskan bantahan beberapa pihak.  

Dalam perkembangan berkaitan, pentadbiran Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama mahu mempercepatkan proses untuk menerima pelarian Syria dengan membuka pusat saringan baharu di Iraq dan Lubnan.

Kelmarin, jurucakap Rumah Putih memaklumkan keputusan itu dibuat selepas Obama bersetuju untuk menerima seramai 10,000 pelarian tambahan dari Damsyik pada 2016.

Ketika ini, sebanyak sembilan pusat saringan telah dikendalikan oleh Jabatan Negara AS di seluruh negara.

Ia berfungsi sebagai titik pertemuan kepada pelarian dan kakitangan Jabatan Keselamatan Dalam Negeri yang akan memutuskan sama ada mereka sesuai untuk diletakkan di bawah program penempatan semula tersebut atau tidak. - Press TV

Pusingan baharu rundingan Syria


8 NOVEMBER 2015
Frank-Walter Steinmeier

Frank-Walter Steinmeier

BERLIN - JERMAN. Menteri Luar Jerman, Frank-Walter Steinmeier, kelmarin memaklumkan pusingan baharu rundingan yang bertujuan untuk menyelesaikan krisis di Syria dijadualkan berlangsung di Vienna pada Khamis ini.

Menurutnya, kesemua pihak yang akan menyertai rundingan itu bersetuju menghormati perpaduan dan kedaulatan Syria.

"Matlamat yang digariskan dalam laporan akhir kelihatan lebih idealistik dalam keadaan tertentu. Dokumen itu membentuk pelan tindakan untuk kerjasama semua pihak.

"Proses penyelesaian politik untuk menamatkan pertumpahan darah di Damsyik akan ditentukan sendiri oleh kerajaan pimpinan Presiden Bashar al-Assad ," katanya.

Selain itu, Steinmeier turut menyambut baik penglibatan Iran dan Arab Saudi dalam usaha diplomatik untuk menamatkan perang saudara tercetus di Syria sejak 2011. - Press TV