Amnesty International yang berpangkalan di London semalam berkata, enam sekeluarga terbunuh dalam serangan di bandar Idlib itu.
“Serangan itu membabitkan penduduk awam, termasuk kanak-kanak yang terbunuh akibat sesak nafas,” kata Pengarah Program Asia Barat dan Afrika Selatan Amnesty International, Philip Luther.
Tiga kanak-kanak, ibu bapa serta nenek mereka terbunuh selepas me­ngalami sesak nafas berikutan se­rangan bom yang mengandungi gas klorin di Sarmin, sebuah bandar di tenggara Idlib, kata seorang anggota Pemerhati Hak Asasi Manusia bagi Syria.
Jurucakap tentera Syria menafikan melancarkan serangan itu.
Badan hak asasi manusia itu dalam satu laporan lain semalam berkata, kerajaan Syria melancarkan serangan terhadap sekum­pulan militan Negara Islam Iraq dan Jajahannya (ISIL) pada tahun lalu, menyebabkan lebih 100 penduduk awam terkorban dan memberi ‘petunjuk berlaku jenayah perang’.
Amnesty International juga mentakrifkan serangan tentera Syria pada November tahu lalu di bandar Raqa sebagai ‘serangan kejam’.
Menurut badan berkenaan, serangan udara antara 11 dan 29 November itu telah menyebabkan 115 orang awam terbunuh, terma­suk 14 kanak-kanak, dan mengenai sa­saran awam termasuk sebuah masjid, sebuah pusat pengangkutan awam, dan sebuah pasar yang sibuk.
Raqa diisytiharkan sebagai ibu negeri ISIL, tetapi Amnesty International berkata, tidak terdapat petunjuk me­nunjukkan pesawat udara tentera Syria itu mensasarkan militan ISIL.
“Kerajaan Syria berbalah tentang punca serangan-serangan itu, dan enggan menerima kenyataan penduduk awam terbunuh akibat serangan tersebut,’’ katanya.
Dalam perkembangan lain, agensi berita Syria, SANA me­laporkan tentera udara negara ini telah me­nembak jatuh sebuah pesawat pe­ngawasan AS di utara Latakia.
Tentera AS mengesahkan sebuah drone Predator miliknya yang tidak dilengkapi senjata tidak dapat dikesan di barat laut Syria, semalam.