Dokumen yang mengandungi lapan cadangan itu turut tidak menolak kemungkinan Presiden, Bashar al-Assad mengambil bahagian dalam pilihan raya akan datang.
“Presiden Syria yang dipilih rakyat akan berfungsi sebagai ketua bagi pasukan keselamatan, mengawal hal ehwal perkhidmatan khas, dan polisi luar negara.
“Rakyat Syria juga perlu bersetuju dalam apa juga persidangan anjuran Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang akan diadakan pada masa depan, namun proses pemulihan ini tidak akan diketuai oleh Bashar, tetapi oleh individu yang dipilih oleh semua pihak,” jelas dokumen tersebut.
Selain itu, dokumen berkenaan turut menyatakan gencatan senjata di Syria tidak akan menjejaskan operasi menentang kumpulan militan Negara Islam (IS) dan kumpulan militan lain.
Dokumen berkenaan dikeluarkan oleh Moscow menjelang persidangan antarabangsa tentang Syria di Vienna, Austria, minggu ini.
Rusia dan Iran selama ini merupakan negara yang sering menyalurkan bantuan kepada Syria untuk berdepan situasi peperangan sejak lima tahun lalu, dengan Amerika Syarikat (AS) dan negara-negara pakatan terma­suk Turki mahu Bashar mengundur diri bagi memulihkan keadaan.
Sejak kebelakangan ini, Moscow mempertingkatkan usahanya untuk menyelesaikan konflik di Syria yang sehingga kini telah mengorbankan beribu-ribu orang penduduk dengan berjuta lagi hilang tempat tinggal. – AFP