Tuesday 15 April 2014

Kemenangan berpihak kepada Bashar?

Kemenangan berpihak kepada Bashar?
Sebahagian penduduk cedera menerima rawatan di hospital Damsyik. - Foto EPA 
15 April 2014 DAMSYIK - SYRIA. Presiden Syria Bashar al-Assad kelmarin dengan angkuh menyatakan konflik perang saudara yang berlarutan sejak tiga tahun lalu akhirnya berpihak kepada kerajaan.

Bashar turut menyifatkan perkembangan itu kononnya satu titik perubahan dalam krisis terbabit yang meliputi proses perdamaian dan perang menentang keganasan selain pendedahan berhubung dalang bertanggungjawab yang sengaja mencetuskan huru-hara di negara tersebut.

"Kerajaan sedang berusaha untuk memulihkan keselamatan dan kestabilan di kawasan utama yang ditawan puak penentang," katanya.

Difahamkan, sehingga kini kerajaan dan pembangkang masih gagal untuk mencari penyelesaian politik bagi menamatkan konflik tersebut yang telah meragut lebih 150,000 nyawa sejak 2011.  

Dalam perkembangan lain, sekurang-kurangnya 13 termasuk wanita dan kanak-kanak dilaporkan terkorban dalam beberapa siri serangan udara yang dilancarkan tentera kerajaan menyasarkan kubu puak penentang di sekitar ibu negara.

Kumpulan Pemerhati Hak Asasi Manusia (HRW) mendakwa pertempuran itu tercetus selepas tentera kerajaan cuba untuk menawan semula kawasan diduduki Tentera Pembebasan Syria (FSA) sejak lebih setahun lalu. - Al-Arabiya

Serangan gas beracun di Syria cetus persoalan

Serangan gas beracun di Syria cetus persoalan
Seorang daripada mangsa gas beracun di Kfar Zita sedang dirawat di hospital berhampiran. Foto: Shams News Network 
14 April 2014 DAMSYIK - SYRIA. Tentera kerajaan dan puak penentang rejim Presiden Bashar al-Assad saling tuduh menuduh antara satu sama lain sebagai dalang dalam insiden serangan gas beracun terbaharu di negara itu.
Namun, butiran lengkap berhubung serangan di Kafr Zita, sebuah perkampungan di wilayah Hama yang terletak kira-kira 200 kilometer dari ibu negara masih menjadi persoalan.

Dalam satu kenyataan, Majlis Kebangsaan Syria (SNC) mendakwa, pesawat milik tentera rejim Bashar melepaskan bom yang menghasilkan asap tebal di kampung terbabit, Jumaat lalu.

"Sekurang-kurangnya dua maut manakala ratusan penduduk dilaporkan mengalami keracunan dan sesak nafas akibat serangan gas beracun berkenaan," kata jurucakap SNC yang dipetik Al- Jazeera

Bagaimanapun, stesen televisyen tempatan mendakwa, serangan gas klorin tersebut didalangi rangkaian kumpulan Al-Qaeda, Barisan Al-Nusra.

"Selain itu, ada maklumat mendedahkan cabang kumpulan Negara Islam Iraq dan Syria (ISIS) berkenaan juga sedang bersedia untuk melancarkan beberapa lagi siri serangan gas beracun di Wadi Deif di wilayah Idlib dan Morek di wilayah Hama," jelas laporan tersebut.  

Difahamkan, sehingga kini tiada pihak tampil mengesahkan insiden serangan gas beracun terbaharu itu.

Ogos lalu, seramai 1,400 penduduk di luar Damsyik dilaporkan maut dalam serangan senjata kimia didalangi rejim Bashar hingga mencetuskan kecaman masyarakat antarabangsa.

20 maut diserang di Syria


Seorang lelaki bergegas membawa mayat kanak-kanak mangsa serangan tentera udara di bandar Douma, Damsyik, Syria, kelmarin. - REUTERS
BEIRUT 14 April - Sekurang-kurangnya 20 orang terbunuh, termasuk wanita dan kanak-kanak dalam satu serangan tentera udara Syria di bandar Douma, dekat Damsyik, semalam.
Serangan udara itu berlaku sehari selepas serangan gas beracun di perkampungan Kfar Zeita di wilayah Hama yang menyebabkan seorang terkorban dan ramai penduduk sesak nafas.
Badan Hak Asasi Manusia Syria melaporkan dua serangan udara dilancarkan di Douma yang merupakan kubu kuat penentang kerajaan menyebabkan tiga kanak-kanak dan empat lelaki terbunuh.
Badan berkenaan mendakwa se­rangan tentera udara turut dilancarkan di Hammuriyeh di timur Damsyik, manakala beberapa tong bahan letupan digugurkan di Daraya.
Sementara itu, Presiden Syria, Bashar al-Assad yakin perang saudara di negara itu berada pada satu titik perubahan dan mula memihak kepadanya berikutan penguasaan tentera kerajaan ke atas kumpulan penentang.
Sekutu Bashar turut menyifatkan kedudukan Presiden itu semakin kukuh dan beliau dijangka bertanding pada pilihan raya Presiden negara itu pada Julai ini dan dijangka menang.
Hal tersebut dilihat sebagai satu perubahan berbanding tahun lalu apabila Bashar hampir tewas di tangan kumpulan penentang yang menguasai bandar-bandar utama.
“Keadaan itu menunjukkan krisis di Syria akan mengalami titik perubahan dengan pencapaian pasukan tentera yang berterusan dalam pertempuran menentang keganasan dan usaha mencapai perdamaian," lapor agensi berita tempatan, SANA yang memetik pandangan graduan Jabatan Sains Politik Universiti Damsyik.
Sejak beberapa bulan kebelakangan ini, tentera kerajaan yang disokong pejuang Hezbollah berjaya menawan semula beberapa kawasan yang dikuasai kumpulan penentang dan bandar di sempadan. - REUTERS/AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140415/lu_04/20-maut-diserang-di-Syria#ixzz2ytyqX13R
© Utusan Melayu (M) Bhd