Friday 5 December 2014

Australia larang rakyatnya berkunjung ke wilayah Raqqa di Syria



PERDANA Menteri Australia, Tony Abbott. - Foto AP
MENTERI Luar Australia, Julie Bishop. - Foto Reuters

SYDNEY: Australia hari ini menguatkuasakan undang-undang keselamatan baharu bagi menyekat warganya daripada melakukan perjalanan ke zon konflik di negara asing seperti Iraq dan Syria.
Mengumumkan demikian hari ini, Menteri Luar, Julie Bishop berkata wilayah Raqqa di Syria, iaitu kubu kuat kumpulan Negara Islam (IS) adalah antara kawasan larangan yang ditetapkan sebagai langkah membendung penularan semangat radikal dalam kalangan golongan muda Muslim Australia.
Ia adalah kuasa keselamatan pertama diperoleh Perdana Menteri, Tony Abbott, di mana warga Australia yang melakukan perjalanan ke mana-mana negara asing yang diisytiharkan sebagai kawasan larangan boleh dihadapkan dengan hukuman penjara selama 10 tahun.
Bishop berkata: "Undang-undang ini menetapkan sesiapa yang memasuki atau kekal di wilayah al-Raqqa tanpa sebab sah adalah melakukan kesalahan dan menghadapi hukuman sehingga 10 tahun penjara."
Abbott baru-baru ini berkata sekurang-kurangnya 70 rakyat Australia kini menyertai peperangan di Iraq dan Syria. - AP