Thursday 31 December 2015

16 maut serangan bom di Syria

KHAMIS, 31 DISEMBER 2015 @ 9:27 AM





BEIRUT: Sekurang-kurangnya 16 terbunuh manakala 35 lagi cedera selepas dua bom meletup dan memusnahkan dua restoran di bandar dekat timur laut Syria, kata pihak berkuasa Kurdis. Militia Unit Pertahanan Rakyat (YPG) Kurdis, Redur Xelil berkata letupan di Qamishli, dekat sempadan Turki itu didakwa perbuatan Kumpulan Militan Negara Islam (IS). Pemantau hak asasi manusia Syria yang berpangkalan di Britain berkata berlaku letupan ketiga di bandar yang diduduki majoriti penduduk Kristian itu, namun tidak mengulas lanjut. YPG adalah pasukan tempur darat paling efektif di Syria yang bersekutu dengan tentera gabungan diketuai Amerika Syarikat untuk menentang IS. Oktober lalu ia menjadi sebahagian pakatan Angkatan Demokratik Syria yang di sokong AS dan melancarkan serangan ke atas IS di timur laut wilayah Hasaka. Serangan itu memaksa IS berundur ke bandar di sempadan Iraq manakala angkatan Kurdis di Iraq menawan bandar Sinjar daripada kumpulan jihad. IS melancarkan banyak serangan di kawasan Kurdis kebelakangan ini termasuk yang mengorbankan berpuluh orang awal bulan ini. - REUTERS

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/109788

Tuesday 29 December 2015

NGO Indonesia biayai hospital di utara Gaza

SELASA, 29 DISEMBER 2015 @ 2:36 PM


BAITULMAQDIS: Kementerian Kesihatan Palestin membuka sebuah hospital dibiayai Indonesia, kelmarin bagi memberi khidmat kepada penduduk di utara Gaza. Kemudahan lama di kawasan itu, Hospital Kamal Adwan, ditutup untuk pengubahsuaian dan penyelenggaraan. Hospital baharu itu, dibina pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Indonesia, memiliki 110 katil, termasuk 10 di unit rawatan rapi (ICU). Jurucakap kementerian, Dr Ashraf Al-Qudra memberitahu Quds Press, hospital itu penting sebagai tambahan penjagaan kesihatan, dengan kemudahan perubatan berkualiti tinggi bagi memberi perkhidmatan kepada penduduk di utara Gaza. Beliau menambah, hospital berharga AS$15 juta (RM64.41 juta) itu menyediakan khidmat penjagaan kesihatan khas dalam bidang perubatan dalaman, pembedahan dan ortopedik. Al Qudra juga berkata, hospital baharu itu memiliki pengimbas CT, paling maju di Gaza setakat ini selain empat bilik bedah lengkap, sebagai tambahan kepada ICU, doktor perubatan layak dan jururawat. Beliau melahirkan perasaan optimis mengenai keupayaan hospital itu sebagai peneraju perkhidmatan perubatan disediakan di Gaza. - AGENSI  

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/109270

450 keluarga pemberontak Syria selamat dipindahkan


SELASA, 29 DISEMBER 2015 @ 7:29 AM


ASKAR Lubnan mengawal konvoi bas yang membawa 450 pejuang Syria dan keluarga mereka daripada bandar Syria ke arah lapangan terbang Beirut, Beirut, Lebanon. - Foto EPA


BEIRUT: Operasi memindahkan kira-kira 450 pejuang Syria dan keluarga mereka dari dua kawasan yang dirampas, selesai semalam dengan ketibaan pesawat membawa mereka ke lapangan terbang di Beirut dan Hatay di Turki.
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan sumber di lapangan terbang berkata, kedua-dua pesawat dinaiki 330 pejuang Syria dan orang awam yang dipindahkan dari dua bandar Syiah pro-kerajaan di barat laut Syria tiba di lapangan terbang di sini.
Sumber berkata, sebuah lagi pesawat membawa 126 pejuang pemberontak terperangkap di Zabadani berhampiran sempadan Lubnan yang mendarat pada waktu hampir sama di Turki. - Reuters

4,000 penentang Bashar pindah


SEORANG lelaki cedera parah akibat serangan udara yang dilancarkan oleh tentera kerajaan di Hammuriyeh iaitu kawasan yang dikuasai pemberontak di pinggir Damsyik, Syria pada Khamis lalu. - AFP


DAMSYIK – Kira-kira 4,000 orang termasuk separuh daripadanya merupakan anggota pejuang pemberontak dipindahkan dari tiga daerah di selatan Syria sebagai sebahagian daripada pelan genjatan senjata, menurut sumber kepada AFP kelmarin.
Anggota daripada kumpulan Islamic State (IS) dan lawannya, Al-Nusra iaitu sekutu Al-Qaeda di Syria dilaporkan keluar dari daerah Qadam, Hajar al-Aswad dan kem Palestin di Yarmuk.
“Persetujuan itu dicapai de­ngan 4,000 anggota pejuang, orang awam, termasuk anggota Al-Nusra dan IS meninggalkan kawasan berkenaan mulai kelmarin,” ujar sumber kerajaan yang rapat dengan pasukan perunding.
Penentang kerajaan rejim Presiden Bashar al-Assad itu dikatakan dibawa menggunakan 18 buah bas ke bandar Raqa yang dikuasai oleh IS selain di Marea yang dikawal oleh Al-Nusra.
“Fasa kedua perjanjian itu akan menyaksikan pejabat kerajaan dibuka semula di kawasan-kawasan perumahan dan menjamin bekalan barangan keperluan ha­rian,” ujar sumber berkenaan.
Ini adalah kali pertama dalam masa lebih dua tahun apabila barang-barang keperluan dapat dibawa masuk ke tiga daerah di selatan Damsyik.
Pada April lepas, IS menyerang kem pelarian Yarmuk selepas bertempur dengan pejuang Al-Nusra untuk menguasai kawasan berkenaan. Kumpulan berkenaan kemudian me­nguasai bandar Qadam pada Ogos lalu selepas melancarkan serang­an berdekatan Hajar al-Aswad.
Kumpulan Pemerhati Hak Asasi Syria memberitahu, perjanjian genjatan senjata tersebut dilakukan selepas rundingan selama dua bulan antara kerajaan Syria dan ketua-ketua daerah.
“Setiap seorang ahli kumpulan dibenarkan membawa bersama keluarga mereka, satu beg dan senjata milik sendiri,” ujar seorang ketua penduduk tempatan di Qadam. – AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=1227&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm#ixzz3vheK1Npu 
Hakcipta terpelihara 

Korban Homs

Beirut: Sekurang-kurangnya 32 terbunuh dan 90 cedera dalam dua letupan bom di Homs, semalam, lapor kumpulan Pemerhati Hak Asasi Manusia Syria (SOHR).
Satu letupan membabitkan bom kereta manakala yang kedua akibat serangan berani mati di kawasan Zahra di pusat bandar itu, kata SOHR yang memantau konflik menggunakan rangkaian pemberi maklumat di lokasi.
Agensi berita Syria, SANA melaporkan dua bom kereta meletup tetapi memberi jumlah kematian awal lebih rendah iaitu enam orang dan 37 cedera.
Ia serangan kedua yang terbesar di bandar itu sejak gencatan senjata awal bulan ini yang membuka ruang untuk kerajaan menawan semula kawasan di Homs yang dipegang penentang.
Dua letupan pada 12 Disember lalu, juga di Zahra, mengakibatkan 16 orang terbunuh. Negara Islam (IS) mengaku bertanggungjawab atas serangan itu yang didakwa menggunakan pengebom berani mati membawa kereta diisi letupan.
Sementara itu, ratusan pejuang dan orang awam dipindahkan dari dua kawasan di Syria berikutan perjanjian antara pihak bertelagah, disokong Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), kata pekerja bantuan dan sumber terdekat.
Sekurang-kurangnya 130 pejuang penentang yang kebanyakannya cedera meninggalkan bandar Zabadani untuk ke sempadan Lubnan berhampiran, sementara 350 lagi pejuang dan orang awam dari bandar Syiah prokerajaan di barat laut Syria dibawa ke sempadan Turki.
Mengikut persetujuan itu, pejuang dari kumpulan Ahrar al-Sham dan penentang tempatan yang terperangkap di Zabadani sejak berbulan-bulan lalu dijanjikan laluan selamat ke lapangan terbang Beirut seterusnya ke Turki.
Pada masa sama, pejuang serta keluarga mereka di dua bandar Syiah di Idlib dibawa ke Turki sebelum diterbangkan ke Beirut.
Kebanyakan pejuang penentang berfahaman Sunni yang dihantar ke Turki akan dibenarkan kembali ke kawasan dipegang kumpulan berkenaan melalui sempadan di utara Syria atau terus mendapatkan rawatan perubatan jika diperlukan.
Pada masa sama, golongan berfahaman Syiah dibenarkan ke Lubnan di bawah penjagaan Hizbullah, sebelum kembali ke Syria.
Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 Disember 2015 @ 6:06 AM




ORANG ramai memeriksa lokasi dua serangan bom kereta di al-Zahraa.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/103135#sthash.ocrmDwH8.dpuf

Cohen-Fisher derma 
RM4.29 juta bantu pelarian Syria


LOS ANGELES 28 Dis. – Dua pelakon Hollywood, Sacha Baron Cohen dan Isla Fisher menderma sebanyak AS$1 juta (RM4.29 juta) kepada dua badan amal iaitu Save the Children dan International Rescue Committee (IRC) bagi membantu mangsa-mangsa keganasan di Syria.
Scha baron Cohen bersama isterinya, Isla Fisher.
Save the Children berkata, pasangan selebriti itu menyumbangkan AS$500,000 (RM2.1 juta) kepada organisasi tersebut bagi membiayai program vaksinasi campak kepada kanak-kanak di utara Syria.
Menurut laman web ew.com, pasangan itu juga turut menyumbang AS$500,000 (RM2.1 juta) lagi kepada IRC bagi tujuan menyara keluarga terutama golongan wanita dan kanak-kanak di Syria.
“Sumbangan mereka untuk membantu kanak-kanak Syria akan membantu mengutarakan tragedi berkenaan kepada penduduk dunia,” ujar Ketua pegawai Eksekutif Save the Children, Justin Forsyth dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, sumbangan tersebut akan mampu menyelamatkan ribuan nyawa penduduk di Syria dan melindungi penduduk terutama kanak-kanak.
Sehingga kini, lebih tujuh juta penduduk di Syria kehilangan tempat tinggal mereka manakala hanya empat juta sahaja masih menetap di kawasan-kawasan di sekitar Syria.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/cohen-fisher-derma-8232-rm4-29-juta-bantu-pelarian-syria-1.173815#sthash.kbKZlkC0.dpuf

32 maut tiga serangan bom serentak di Homs

Penduduk Syria memeriksa runtuhan bangunan bagi mencari mangsa-mangsa

Penduduk Syria memeriksa runtuhan bangunan bagi mencari mangsa-mangsa terperangkap selepas dua serangan bom kereta dan satu serangan berani mati yang dilancarkan secara serentak di kawasan perumahan al-Zahraa, Homs kelmarin yang menyaksikan 32 orang terbunuh. AFP
DAMSYIK 28 Dis. – Sekurang-kurangnya 32 orang terkorban, manakala 132 lagi cedera selepas tiga serangan bom serentak di tengah bandar Homs, hari ini.
Stesen televisyen tempatan melaporkan, angka kematian awal dalam serangan di kawasan perumahan Al-Zahraa di bandar ini adalah 14 orang dan 132 yang lain cedera.
“Dua bom yang ditempatkan dalam kereta telah diletupkan, manakala satu lagi letupan berlakunya apabila seorang pengebom berani mati meletupkan dirinya di dataran utama Al-Zahraa,” lapor stesen televisyen tempatan.
Bagaimanapun, pemantau hak asasi manusia Syria melaporkan, mangsa yang terkorban dalam letupan tersebut adalah sekurang-kurangnya 32 orang.
Serangan tersebut berlaku kira-kira tiga minggu selepas kumpulan militan Negara Islam (IS) mengaku bertanggungjawab mengebom kawasan perumahan sama yang mengakibatkan 16 penduduk maut.
Kumpulan IS setakat ini telah menawan beberapa bahagian di wilayah Homs termasuk bandar bersejarah Palmyra.
Lebih daripada 250,000 orang telah terkorban dalam peperangan di Syria yang bermula pada tahun 2011 dengan tunjuk perasaan anti-kerajaan tetapi bertukar kepada konflik berdarah. – AFP
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/32-maut-tiga-serangan-bom-serentak-di-homs-1.173879#sthash.En0RK7mU.dpuf

Saturday 26 December 2015

Pemimpin pemberontak Syria maut dalam serangan Russia

SABTU, 26 DISEMBER 2015 @ 10:58 AM

BEIRUT: Seorang pemimpin pemberontak terkenal Syria dan ketua kumpulan pemberontakan berkuasa di pinggir timur Damsyik terkorban dalam serangan udara menyasarkan ibu pejabat kumpulan itu, kata sumber pemberontak dan tentera Syria semalam. Kematian Zahran Alloush, 44, ketua Jaysh al Islam, adalah tamparan hebat kepada kawalan pemberontak di kawasan pinggir timur Damsyik dikenali sebagai Ghouta. Pakar pertahanan berkata, pertelingkahan antara pasukan pemberontak mungkin mengukuhkan kawalan Presiden Syria Bashar al-Assad di seluruh kawasan terbabit. Beberapa pemimpin pemberontak terbunuh sejak Russia memulakan kempen serangan udara pada 30 September lalu sebagai menyokong sekutunya Assad, walaupun Moscow menegaskan ia menumpukan serangan ke atas IS. Sumber pemberontak berkata, dalam serangan udara itu, jet pejuang Russia melepaskan sekurang-kurangnya 10 peluru berpandu ke atas ibu pejabat rahsia kumpulan terbabit, yang juga serpihan pemberontak terbesar di kawasan itu dengan memiliki antara 15,000 hingga 20,000 pejuang, kata perisikan Barat. - Reuters


 PEMIMPIN pemberontak terkenal Syria dan ketua kumpulan pemberontakan berkuasa di pinggir timur Damsyik, Zahran Alloush.  

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/108394

Syria setuju ke rundingan damai



WALID


BEIRUT – Kerajaan Syria kelmarin memaklumkan sudah bersedia untuk menyertai rundingan damai baharu di Geneva bagi menamatkan pe­perangan saudara, tetapi menetapkan beberapa syarat.
Menteri Luar Syria, Walid Muallem berkata, Damsyik sudah bersedia untuk turut serta dalam dialog Syria-Syria itu di Geneva tanpa sebarang campur tangan pihak luar.
Minggu lalu, Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sebulat suara meluluskan satu resolusi menyokong cadangan pelan keamanan untuk membawa kerajaan dan pembangkang ke meja rundingan.
Pelan keamanan itu hasil usaha keras selama hampir dua bulan dalam kala­ngan diplomat 17 buah negara termasuk penyokong kerajaan Syria, Rusia dan Iran tetapi tidak memberi perhatian kepada perbezaan pa­ling besar antara kumpulan pembangkang dan kerajaan pimpinan Presiden Bashar Al-Assad.
Walid menegaskan kerajaannya masih menunggu senarai ‘pertubuhan pengganas’ yang tidak akan dibenarkan me­nyertai rundingan tersebut. Kerajaan Syria secara sistematik menggelar semua penentangnya sebagai pengganas.
“Syria menolak ‘campur tangan asing’ dan kumpulan rundingan kerajaan akan bersedia sebaik sahaja kami menerima satu senarai delegasi pembangkang,” kata Walid.
PBB menugaskan Jordan untuk membuat senarai delegasi rundingan yang telah dihantar semalam dengan mema­sukkan nama kumpulan Islamic State dan Barisan Al-Nusra yang mempunyai kaitan dengan Al-Qaeda.
Resolusi PBB itu menyeru rundingan damai pada awal Januari ini yang akan membawa kepada pembentukan satu badan pentadbiran peralihan inklusif de­ngan kuasa eksekutif penuh dalam tempoh enam bulan akan datang. – AFP

Friday 25 December 2015

Kerajaan Syria Bunuh 28 Orang Awam Termasuk Kanak-Kanak


Diterbitkan: Jumaat, 25 Disember 2015 9:58 AM

BEIRUT: Serangan udara oleh kerajaan Syria menyebabkan seramai 28 orang awam termasuk 10 kanak-kanak terbunuh dekat Damsyik pada Khamis.
Pemerhati bagi Hak Asasi Manusia terhadap Syria berkata, sekurang-kurangnya 60 orang awam lagi mengalami kecederaan dalam serangan di Hammuriyeh dan Irbin yang merupakan kawasan jajahan pemberontak.
"20 orang awam termasuk lapan kanak-kanak terbunuh dalam serangan di Hammuriyeh manakala enam lagi yang juga terdiri daripada kanak-kanak maut dalam serangan di Irbin," jelasnya.
Kawasan tersebut sering menjadi lokasi sasaran tentera kerajaan yang dipimpin oleh regim  Bashar al-Assad.
Dua orang awam lagi turut terbunuh dalam serangan bom di Douma yang juga dilakukan oleh tentera.

Thursday 24 December 2015

Amnesty dakwa Rusia bunuh ratusan rakyat Syria

Amnesty dakwa Rusia bunuh ratusan rakyat Syria

23 DISEMBER 2015

 Rakyat Syria menjadi mangsa serangan udara oleh Rusia.


DAMASCUS - SYRIA. Sebuah badan bukan kerajaan, Amnesty International mendakwa Rusia sudah membunuh beratus-ratus orang awam dan memusnahkan penempatan di Syria.
Menurut laporan yang dikeluarkan Amnesty hari ini, corak serangan udara yang dijalankan oleh Rusia jelas 'menunjukkan pelanggaran undang-undang antarabangsa'.
"Sebilangan besar serangan udara Rusia jelas disasarkan terhadap orang awam atau penempatan orang awam," kata kata Pengarah Amnesty bahagian Timur Tengah dan Afrika Utara, Philip Luther.
Sekurang-kurangnya 200 orang awam didakwa maut dalam serangan udara yang dikendali Rusia sepanjang September, Oktober dan November.
Amnesty juga menuduh Rusia menipu dan memalsukan keadaan sebenar sebuah masjid di Idlib yang musnah akibat serangan udara.
"Rusia menggunakan imej satelit untuk menunjukkan masjid Omar Bin al-Khattab tidak terkesan oleh serangan udara, tetapi pada hakikatnya masjid  tersebut musnah," tuduh Philip.
Katanya, Kementerian Pertahanan Rusia patut berterus-terang dan mendedahkan lokasi serangan udara mereka dari terus dituduh menyerang orang  awam.
Kerajaan Rusia masih belum memberikan sebarang maklum balas terhadap laporan Amnesty tersebut
.

Perancis-Rusia setuju tingkat kerjasama perangi IS

Perancis-Rusia setuju tingkat kerjasama perangi IS

23 DISEMBER 2015 Perancis menyertai kempen ketenteraan memerangi IS di Syria sejak November lalu.
MOSCOW - RUSIA . Perancis dan Rusia mencapai kata sepakat untuk meningkatkan kerjasama dalam memerangi kumpulan militan IS di Syria.
Persetujuan itu dicapai selepas pertemuan antara Menteri Pertahanan Perancis, Jean-Yves Le Drian dan rakan sejawatannya dari Rusia, Sergei Shouigu di Moscow, kelmarin.
"Kami telah bersetuju untuk mengukuhkan pertukaran maklumat ketenteraan terhadap serangan dan lokasi kumpulan berbeza di Syria," kata Le Drian sambil menambah bahawa kedua-dua menteri juga bersetuju untuk mengadakan mesyuarat dua hala secara tetap.
Lawatan Le Drian ke Moscow dibuat selepas tersebarnya laporan ketegangan antara Rusia dan tentera pakatan antarabangsa diketuai Amerika Syarikat (AS) dalam memerangi IS di Syria.
"Perancis memang menyertai tentera pakatan namun kami tiada konflik dengan Rusia. Hubungan yang telah sedia ada, memerlukan kerjasama," katanya.
Kata Le Drian lagi, Perancis juga tidak berhasrat menjadi orang tengah antara Rusia dan AS dalam mewujudkan pakatan anti-IS bersama di Syria, kerana mengambil kira pendirian Moscow dan Washington terhadap Presiden Bashar al-Assad. - Press T
V

Perancis tolak lebih 3,000 migran

Perancis tolak lebih 3,000 migran

24 DISEMBER 2015 PARIS - PERANCIS . Perancis dilaporkan menolak 3,414 pelarian dari sempadannya sejak pengisytiharan darurat berikutan serangan berdarah di Paris, November lalu yang mengorbankan 130 orang.
Menteri Dalam Negeri Perancis, Bernard Cazeneuve berkata, mereka tidak dibenarkan masuk kerana risiko yang mungkin boleh menjejaskan keselamatan dan ketenteraman awam.
Susulan serangan 13 November lalu, Perancis mengisytiharkan darurat dan enam harian kemudian, kerajaan sekali lagi mengumumkan tempoh darurat akan dilanjutkan selama tiga bulan lagi.
Keputusan tersebut sekali gus telah membenarkan pihak berkuasa untuk mengenakan sebarang langkah seperti menahan ratusan suspek dan mengetatkan kemasukan sempadan.
Jiran di bahagian utara Perancis, Jerman, bagaimanapun mengancam untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap mana-mana negara anggota Kesatuan Eropah (EU) yang enggan menerima pelarian. - Press T
V

200 orang awam terkorban akibat serangan udara Rusia


Siapa mengebom Syria?

Gambar bertarikh 21 Disember lalu merakamkan sebahagian mayat disusun di atas tanah berhampiran lokasi yang dibedil jet tempur Rusia di Idlib, Syria. AFP
BEIRUT 23 Dis. – Amnesty International hari ini melaporkan sekurang-kurangnya 200 orang awam terbunuh dalam serangan udara Rusia di Syria sejak tiga bulan lalu.
Pengarah Amnesty Asia Barat dan Afrika Utara, Philip Luther dalam satu kenyataan berkata, le­bih 25 serangan dilancarkan oleh Rusia di lima kawasan di Syria antara 30 September hingga 29 November lalu.
Namun katanya, kebanyakan serangan yang dilakukan dalam tempoh tersebut menyasarkan kawasan perumahan dan kemudahan perubatan sehingga menyebabkan kematian dan kecederaan kepada orang awam.
“Hasil kajian juga menunjukkan kegagalan serius oleh Rusia untuk menghormati undang-undang kemanusiaan antarabangsa.
“Serangan seperti ini sama seperti jenayah perang. Oleh itu, Rusia boleh disiasat secara bebas,” katanya.
Kumpulan hak asasi yang beribu pejabat di London itu memberitahu, terdapat bukti yang menunjukkan bahawa pihak berkuasa Rusia mungkin telah berbohong untuk menutup kematian orang awam di sebuah masjid dan hospital dalam satu serangan udara.
“Terdapat juga bukti yang me­nunjukkan penggunaan bom berangkai oleh Rusia yang telah diha­ramkan di peringkat antarabangsa dalam beberapa serangan di kawasan perumahan penduduk orang awam,” katanya.
Rusia memulakan serangan udara yang menyasarkan militan Negara Islam (IS) dan kumpulan lain pada 30 September lalu, yang dikatakan atas permintaan Pre­siden, Syria Bashar al-Assad.
Moscow telah berkali-kali menafikan pernah menyebabkan kematian orang awam sebaliknya menggambarkan dakwaan tersebut sebagai sebahagian daripada ‘pe­perangan maklumat’.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/200-orang-awam-terkorban-akibat-serangan-udara-rusia-1.172241#sthash.s47r9fm0.dpuf

Wednesday 23 December 2015

Lebih 650 pendatang diselamatkan

ROME: Lebih 650 orang diselamatkan di perairan Mediterranean dan satu mayat ditemui ketika pendatang terus cuba menyeberang ke Eropah dalam cuaca sejuk, kata pengawal pantai Itali.
Pengawal pantai negara itu menyelamatkan 360 orang dari tiga bot kecil manakala bot pertubuhan kebajikan, Doctors Without Border's, Bourbon Argos menemui 96 dan 95 lagi pendatang dari bot yang belayar dari perairan Libya.
Tentera Laut Itali berkata, kapalnya berjaya menyelamatkan kira-kira 100 pendatang dan menemui satu mayat.
Agensi pelarian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berkata, lebih satu juta pendatang dan pelarian sampai ke Eropah tahun ini termasuk lebih 970,000 orang yang sanggup menyabung nyawa untuk menyeberang Lautan Mediterranean.
Sementara itu, Pertubuhan Pendatang Antarabangsa berkata, seramai 3,692 pendatang sama ada mati atau hilang ketika menyeberangi Lautan Mediterranean tahun ini. - AFP

9 Pelajar Maut, IS Serang Sekolah Di Syria


Diterbitkan: Selasa, 22 Disember 2015 6:37 PM

BEIRUT: Kumpulan militan Negara Islam (IS) melancarkan serangan ke atas sebuah sekolah di timur Syria pada Selasa, mengorbankan sekurang-kurangnya sembilan pelajar maut dan mencederakan kira-kira 20 orang, kata kumpulan Pemerhati Hak Asasi Manusia Syria.
Media Syria melaporkan sembilan pelajar perempuan terbunuh dalam insiden itu di kawasan di bawah pentadbiran kerajaan di bandar Deir al-Zor.
Kumpulan pemerhati itu berkata, angka kematian mungkin meningkat dan ramai yang terbunuh dan cedera dalam siri serangan di Deir al-Zor sejak berbulan-bulan lalu.
Sekolah sering menjadi sasaran keganasan di Syria. 
Menurut kumpulan pemerhati, terdapat serangan udara di sebuah sekolah dan beberapa kawasan lain dikuasai pemberontak di pinggir Damsyik pada minggu lalu mengakibatkan ramai terbunuh. - Reuters

Lebih Sejuta Migran Masuk Eropah


Diterbitkan: Selasa, 22 Disember 2015 10:12 PM

LEBIH sejuta migran memasuki Eropah tahun ini dengan bilangan itu lebih empat kali ganda berbanding pada 2014.
Portal Mail Online melaporkan bahawa separuh daripada jumlah itu merupakan warga Syria yang melarikan diri daripada negara mereka yang dilanda peperangan, 20 peratus lagi adalah Afghanistan dan tujuh peratus dari Iraq.
Lebih 800,000 migran memasuki Eropah melalui jalan laut di Greece manakala 3,700 meninggal dunia atau hilang semasa merentasi laut Mediterranean.
Angka berkenaan didedahkan oleh Pertubuhan Antarabangsa Migran (IMO) dengan lebih sejuta migran dicatatkan pada Isnin.
Menurut IMO, Lebih 820,000 migran memasuki Greece dari Turki, termasuk lebih 455,000 dari Syria dan lebih 186,000 dari Afghanistan.

Tuesday 22 December 2015

Lebih 70 maut di Syria


Lebih 70 maut di Syria

22 DISEMBER 2015 DAMSYIK - SYRIA.  Sekurang-kurang 73 orang awam terbunuh kelmarin, dalam serangan udara didakwa dilakukan Rusia di sebuah pasar sesak di timur Syria.
Serangan disasarkan di kawasan yang dikuasai pemberontak di wilayah Idlib lapor BBC.
Jurucakap penyelamat mengesahkan 43 orang terkorban, tetapi sekurang-kurangnya 30 mayat lagi berada di bawah sisa runtuhan bangunan dan masih belum dikenal pasti.
Serangan itu turut menyebabkan lebih 150 yang lain cedera dan beberapa mangsa yang mengalami kecederaan parah telah dihantar ke sebuah hospital di Turki.
"Terdapat banyak jasad di bawah sisa runtuhan," kata Yasser Hammo, seorang pekerja pertahanan awam.
Sementara itu, rakaman di media sosial dan stesen TV Orient menunjukkan situasi cemas dan kelam-kabut di lokasi serangan dengan kenderaan ambulans berulang-alik membawa mangsa yang cedera.
Orang-ramai turut kelihatan membantu mencari mangsa yang tertimbus di bawah sisa runtuhan bangunan.
Tentera udara Rusia melancarkan serangan udara sebagai sokongan kepada pentadbiran Presiden, Bashar al-Assad sejak 30 September lalu, namun Moscow menyatakan bedilan dilakukan bagi memerangi kumpulan militan IS.

Jumlah pelarian cecah sejuta orang

Jumlah pelarian cecah sejuta orang

22 DISEMBER 2015

 Pelarian Syria berkampung di stesen bas Istanbul, Turki pada September lalu sebelum meneruskan perjalanan ke sempadan Greece. Foto: AFP


GENEVA - SWITZERLAND. Jumlah pelarian yang tiba di Eropah tahun ini dilaporkan semakin meningkat walaupun beberapa negara bertindak menutup pintu sempadan mereka.
Menurut Pertubuhan Antarabangsa bagi Migrasi (IOM), jumlah pelarian dianggarkan mencecah sejuta orang menjelang akhir Disember ini.
Kebanyakan pelarian adalah penduduk yang melarikan diri daripada konflik perang, penganiayaan dan kemiskinan lapor  CNN.
Pada November lalu, Turki dan Kesatuan Eropah (EU) mencapai kata sepakat untuk menangani krisis kebanjiran pelarian ke benua Eropah apabila Ankara bersetuju membantu mengawal kemasukan pelarian sebagai balasan terhadap bantuan kewangan dan visa daripada blok itu.
Antara perkara penting yang dipersetujui dalam perjanjian berkenaan, EU sedia menyalurkan bantuan sebanyak tiga bilion euro (RM13.5 bilion) bagi menaiktaraf kehidupan kira-kira 2.2 juta pelarian Syria di Turki supaya menggalakkan lebih ramai pelarian tidak berhijrah ke Eropah.

Monday 21 December 2015

Turki akur undur sebahagian tentera dari utara Iraq


ISTANBUL 20 Dis. – Turki mengundurkan sejumlah pasukan tenteranya dari utara Iraq dalam usaha mengendurkan ketegangan dengan kerajaan Iraq, sehari selepas Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama menggesa Ankara mengambil langkah tersebut.
Kementerian Luar Turki berkata, pihaknya mengiktiraf kebimbangan Iraq dan keperluan dalam memerangi kumpulan militan Negara Islam (IS).
“Justeru, Ankara akan meneruskan pengunduran tentera dari wilayah Ninewa, di utara Iraq yang menjadi punca salah faham ini,’’ jelas kementerian itu dalam satu kenyataan.
Tentera Turki menghantar satu pasukan tentera yang berpangkalan di sebuah pangkalan tentera di Mosul, utara Iraq baru-baru ini, yang mencetuskan perbalahan antara Ankara dan Bahgdad setelah Ankara didakwa mencabul kedaulatan Iraq.
AS mahu pertikaian itu diselesaikan supaya kedua-dua negara terbabit boleh memberikan tumpuan penuh dalam memerangi IS yang menguasai sebahagian besar kawasan di Iraq dan Syria.
Kerajaan Turki pula berkata, askarnya berada di Iraq bagi membantu memberi latihan ketenteraan kepada puak Sunnah dan pasukan militia Kurdistan Peshmerga dalam memerangi militan IS.
Bagaimanapun, Iraq berkata, penghantaran askar Turki itu dilakukan tanpa kebenaran Baghdad lalu mengemukakan bantahan kepada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Selepas Obama menghubungi Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan kelmarin, Ankara mengundurkan sejumlah askarnya dari Pangkalan Basheeqa, namun Iraq mendesak pengunduran sepenuhnya tentera Turki dilakukan. –DPA
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/turki-akur-undur-sebahagian-tentera-dari-utara-iraq-1.171207#sthash.kpJqyHTE.dpuf

Sunday 20 December 2015

Russia sedia tingkat operasi di Syria

AHAD, 20 DISEMBER 2015 @ 1:07 PM


 PRESIDEN Vladimir Putin. - Foto Reuters

 MOSCOW: Presiden Vladimir Putin memberi amaran Russia bersedia meningkatkan kempen ketenteraannya di Syria, tidak sampai sehari selepas negara itu menandatangani pelan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk menamatkan peperangan. Pelan damai menggariskan laluan selama dua tahun untuk mengadakan pilihan raya memilih kerajaan baru, bermula dengan gencatan senjata Januari ini. Ia juga menandakan kali pertama Amerika Syarikat dan Russia mencapai kata sepakat mengenai masa depan Syria selepas konflik selama beberapa tahun yang meragut lebih 250,000 nyawa dan jutaan lain menjadi pelarian. Namun perjanjian itu terlalu luas sehingga mengenepikan satu daripada persoalan utama iaitu masa depan Presiden Bashar al-Assad dan beberapa isu besar lain. Ia juga dirangka tanpa berunding dengan Assad atau kumpulan pemisah yang memeranginya. Amerika menegaskan Assad perlu meletak jawatan manakala Russia menggandakan sokongan terhadapnya, dengan menghantar pesawat pengebom, senjata dan wang tunai untuk membantu tentera Assad. - Agensi

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/106767

Kisah pakcik OKU penuh debu...

20 DISEMBER 2015

 Foto lelaki OKU yang dikongsi oleh Syrian Revolution Network.

SEORANG lelaki OKU hanya dirakam terkebil-kebil sambil duduk memerhatikan kaum wanita dan kanak-kanak menyelamatkan diri selepas serangan udara Rusia di Fardous Street, Aleppo, Syria awal minggu lalu.
Foto lelaki OKU tersebut yang jelas kelihatan terkejut dengan kesan kemusnahan dan tidak mampu bergerak dikongsi oleh laman Facebook Syrian Revolution Network, 16 Disember lepas.
Menerusi laporan Dailymail pula, beberapa petugas sukarelawan dari Syrian Civil Defence kemudian membantu mengangkat lelaki tersebut ke lokasi yang selamat.
Syrian Civil Defence atau The White Helmets (Kumpulan Helmet Putih) sudah lali menggali bongkah runtuhan bangunan dalam usaha mencari orang awam yang terselamat dari serangan rejim Bashar al-Assad dan kerajaa Rusia.
Seorang saksi, Ahmad, 24 memberitahu satu serangan udara mengenai sebuah pasar dan satu lagi disasarkan ke sebuah sekolah di tengah Aleppo.
Kumpulan aktivis Britain, Syrian Observatory of Human Rights (SOHR) sudah merekodkan sejumlah 70 kematian orang awam termasuk 18 kanak-kanak dan 15 wanita dalam serangan udara Rusia sejak awal Disember.
Bekas pegawai kerajaan Amerika Syarikat, John Jaeger mengatakan Rusia mengamalkan teknik 'double tap' dalam melancarkan serangan mereka di Syria.
'Double tap' adalah satu serangan udara disasarkan ke sebuah lokasi dan kemudian serangan kedua dilancarkan pada lokasi sama, bertujuan untuk membunuh petugas-petugas penyelamat, sukarelawan atau 'first responders' yang masuk ke tempat kejadian untuk menyelamatkan mangsa serangan kali pertama.

Serangan udara Rusia ragut 32 nyawa

HAFEZDZULLAH HASSAN

 Petugas kecemasan membantu seorang lelaki yang cedera selepas pesawat rejim Bashar dan Rusia membedil sebuah pasar di Douma, tengah Damsyik September lalu.

BEIRUT - LEBANON. Satu serangan udara dilancarkan jet Rusia di utara Syria Khamis lalu, meragut sekurang-kurangnya 32 nyawa penduduk awam.
Pemantau Hak Asasi Manusia bagi Syria mendakwa, sebahagian besar mangsa yang terkorban adalah wanita dan kanak-kanak.
Pengarahnya, Rami Abdel Rahman berkata serangan terbabit disasarkan di Raqqa serta beberapa kawasan disyaki tempat persembunyian kumpulan militan IS di bandar Azaz dan al-Bab di wilayah Aleppo.
"Enam kanak-kanak dan 11 wanita adalah antara mereka yang terkorban dalam serangan udara di Raqqa, manakala berpuluh lagi cedera.
"Serangan dahsyat di bandar itu turut mengorbankan dua anggota penyelamat," kata Rami kepada  Arab News.
Rusia telah menjalankan kempen serangan udara memerangi militan IS di Syria sejak tiga bulan lalu.
Bagaimanapun, kempen tersebut telah dikritik oleh Barat dan pemberontak kerana menyebabkan lebih ramai penduduk awam menjadi mangsa.
Menurut Rami lagi, sekurang-kurangnya 1,900 orang termasuk 635 orang awam terbunuh sejak Moscow menghantar pesawat pengebom mereka ke Syria pada akhir September lalu. Angka kematian itu termasuk aktivis, pekerja perubatan serta pejuang Syria.

Bashar perlu letak jawatan


GAMBAR fail menunjukkan seorang kanak-kanak cedera selepas rumahnya di kawasan kejiranan Douma di Damsyik dibom oleh tentera Bashar pada 29 November lalu.- REUTERS


WASHINGTON – Presiden Barack Obama kelmarin menegaskan semula desakan Amerika Syarikat (AS) yang mahu Presiden Syria, Bashar Al-Assad meletak jawatan serta mengingatkan bahawa negara itu tidak akan mencapai keamanan tanpa sebuah kerajaan sah.
“Saya fikir Assad perlu pergi jika negara itu mahu menamatkan pertumpahan darah serta bagi memboleh­kan semua pihak terlibat bergerak ke depan tanpa ada perbezaan mazhab. Beliau telah hilang mandat pada mata rakyat negara itu,” katanya pada satu sidang akhbar akhir tahun di sini.
Ucapan Obama itu dibuat ketika Setiausaha Negara AS, John Kerry dan Menteri Luar Rusia, Sergei Lavrov mengadakan mesyuarat dengan menteri-menteri luar lain di New York bagi membincangkan penyelesaian politik kepada pepera­ngan selama lima tahun di Syria.
Satu draf resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dibentangkan di Majlis Keselamatan PBB petang kelmarin untuk menyeru rundingan damai dimulakan pada awal bulan hadapan.
Obama menyatakan ‘mustahil’ baginya membiarkan Assad kekal berkuasa selepas beliau memilih untuk ‘membunuh’ rakyatnya sendiri daripada memilih transisi politik yang inklusif.
“Akibatnya, pandangan kami adalah kamu tidak mampu membawa keamanan kepada Syria, kamu tidak dapat menamatkan perang saudara kecuali kamu mempunyai sebuah kerajaan yang diperakui sah oleh majoriti rakyat, ini tidak akan berlaku,” ujarnya.
BASHAR


Beliau memaklumkan usaha Kerry di New York menawarkan ‘satu peluang’, bukannya untuk menterbalikkan masa kerana sukar untuk mengatasi sepenuhnya kemusnahan yang sudah berlaku di Syria.
“Gencatan senjata itu bukannya sempurna tetapi akan membolehkan semua pihak memberi perhatian kepada perkara yang sepatutnya diutamakan iaitu memusnahkan kumpulan Islamic State serta sekutu-sekutunya di rantau tersebut,” tegas Obama. – AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=1220&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm#ixzz3uo8WEILp 
Hakcipta terpelihara 

Masa depan Syria terus kelam


19 Disember 2015 1:11 AM


NEW YORK 18 Dis. – Masa depan Syria terus terumbang-ambing apabila lima anggota tetap Majlis Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menemukan jalan buntu mencapai persetujuan untuk melaksanakan resolusi bagi menamatkan perang saudara di negara itu yang berlanjutan sejak lima tahun lalu.
Duta Amerika Syarikat (AS) ke PBB, Samantha Power berkata, kelima-lima negara anggota iaitu China, Rusia, Perancis, Britain, dan Washington sendiri masih gagal mencapai kata sepakat terhadap draf resolusi yang dikemukakan kepada Majlis Keselamatan pada hari ini di New York, sebagai usaha antarabangsa menamatkan konflik di Syria.
Pada asalnya, negara-negara Barat berharap pihak majlis meluluskan resolusi yang membuka ruang untuk kerajaan Syria dan kumpulan penentang bagi membentuk kerajaan perpaduan menerusi rundingan damai dalam tempoh selama dua tahun bermula awal tahun depan.
Pelan damai itu yang turut memuatkan syarat perjanjian genca­tan senjata di seluruh Syria kecuali militan Negara Islam (IS), Barisan Nusra dan beberapa kumpulan bersenjata lain, dikemukakan kepada Majlis Keselamatan PBB melalui dua pusingan peringkat kementerian di Vienna baru-baru ini.
Susulan perkembangan terbaharu di New York, Duta Rusia, Vitaly Churkin memaklumkan bahawa terdapat perbalahan pendapat yang ketara antara lima kuasa besar dunia.
“Saya tidak sangka pertikaian boleh berlaku kerana ada tindakan yang tidak disengajakan atau di­sengaja, untuk mengurangkan isi kandungan pelan yang dipersetujui di Vienna dan kami tidak mahu perkara itu berlaku.
“Malah, wujud beberapa masalah untuk mencapai persetujuan berhubung draf resolusi itu,” katanya.
Bagaimanapun Jerman masih meletak harapan terhadap pelan damai itu apabila Menteri Luarnya, Frank-Walter Steinmeier berkata, terdapat beberapa perkembangan positif dalam rundingan di Syria dan satu daripada matlamat pertemuan di New York adalah untuk menetapkan tempoh rundingan antara pihak kerajaan dan penentang Syria.
Dalam pada itu, menteri­-menteri luar dari lebih 12 buah negara termasuk Rusia, AS, Turki, Arab Saudi, Iran, dan wakil dari Eropah serta Asia Tengah, bersetuju mengadakan rundingan di Hotel Palace di New York hari ini bagi mencari jalan menamatkan pepe­rangan di Syria. – REUTERS
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/masa-depan-syria-terus-kelam-1.170528#sthash.5a0CZ6lV.dpuf

Majlis Keselamatan: Tamatkan perang Syria

20 Disember 2015 12:22 AM


Menteri-menteri Luar dari 75 negara mengadakan rundingan membincangkan konflik Syria yang diadakan di Palace Hotel di New York, kelmarin. REUTERS
NEW YORK 19 Dis. - Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sebulat suara menyokong rancangan untuk menamatkan perang saudara di Syria dengan memanggil kesemua kumpulan penentang dan kerajaan ke meja rundingan.
Inisiatif Amerika Syarikat (AS) dan Rusia itu timbul, hasil daripada perbincangan kumpulan 17 negara dan satu gencatan senjata segera dijangka dilaksanakan seawalnya bulan depan.
Sekiranya rancangan untuk membawa kerajaan Presiden Bashar al-Assad ke meja rundingan bersama kumpulan penentang berjaya, langkah itu akan membolehkan AS dan Rusia memberikan tumpuan mereka untuk menyerang kumpulan militan Negara Islam (IS).
“Pada Januari, kami berharap dan menjangkakan semua pihak yang terlibat akan berada di meja rundingan dan mampu untuk melaksanakan gencatan senjata penuh.
“Ini bermakna, kesemua serangan bom tong, pengeboman, tembakan dan serangan oleh kedua-dua pihak akan dapat dihentikan,'' kata resolusi itu.
Majlis Keselamatan mengadakan pertemuan, semalam selepas pusingan terbaharu rundingan oleh Kumpulan Penyokong Antarabangsa Syria (ISSG) yang berkumpul di New York untuk memperbaharui desakan mereka untuk membawa keamanan di Syria.
Tumpuan kini beralih kepada Moscow dan Riyadh, ketika Rusia memberi tekanan kepada kerajaan Assad supaya bersetuju dengan gencatan senjata dengan Arab Saudi berkeras dengan kumpulan penentang supaya membentuk satu kumpulan rundingan.
Utusan khas PBB dalam konflik itu, Staffan de Mistura berkata, beliau akan menghantar jemputan kepada semua pihak terbabit untuk berunding pada Januari ini.
“Mari bersikap realistik. Kami bercadang dan berharap bahawa kami akan dapat melakukannya pada Januari ini,’’ katanya.
Amerika Syarikat dan negara-negara Arab percaya, Assad perlu mengosongkan jawatannya sebagai sebahagian daripada proses keamanan itu, namun Moscow menegaskan bahawa perkara itu adalah keputusan rakyat Syria sendiri. Resolusi itu bagaimanapun tidak menyentuh isu tersebut. – AFP
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/majlis-keselamatan-tamatkan-perang-syria-1.170749#sthash.H2kaYZaA.dpuf