Sunday 25 December 2016

Pesawat Russia bedil Idlib, Aleppo

AHAD, 25 DISEMBER 2016 @ 4:43 PM


DAMSYIK: Pesawat Russia meningkatkan serangan di beberapa bandar di wilayah Idlib yang dikuasai pemberontak dan kawasan pedalaman Aleppo, dua hari selepas pemindahan pemberontak dari kawasan terakhir ditawan mereka di utara Aleppo.

Sekurang-kurangnya lapan serangan menyasarkan Binish, Saraqeb dan Jisr al Shaqour, bandar utama di Idlib. Ada laporan kematian dalam kalangan penduduk awam.

Idlib menjadi sasaran serangan bom ketika timur Aleppo berhadapan peningkatan serangan udara sehingga pertahanan pemisah runtuh dan terpaksa bersetuju dengan perjanjian pemindahan.

Tentera Syria memberi petunjuk kempen besar-besaran seterusnya selepas kejayaan di Aleppo bertujuan mengusir pemisah dari kubu kuat mereka di Idlib, lokasi kebanyakan briged dalam pakatan dikenali sebagai Jaish al Fateh beroperasi.

Penduduk dan pemisah berkata, pesawat Russia dan Syria juga melancarkan serangan besar-besaran terhadap wilayah di barat dan selatan pedalaman Aleppo pada hari kedua sejak pemberontak terakhir meninggalkan kawasan dikuasai mereka di bandar raya itu.

Mereka membedil bandar Khan al Asal, kira-kira 14 kilometer ke barat Aleppo, dengan bom berangkai ketika serangan turut dilancarkan di Hreitan dan Andan. Bandar berhampiran, Atareb juga diserang.

Walaupun tentera Syria, dengan bantuan militia Iran, menguasai seluruhnya Aleppo selepas Russia melancarkan ratusan serangan, sebahagian besar barat dan selatan pedalaman bandar raya itu masih dikuasai pemisah.

Pemisah berkata, mereka berjaya menangkis serangan militia semalam untuk mendapatkan wilayah Rashideen di barat Aleppo.

Tentera Syria berterusan mengepung kawasan di timur Aleppo yang jatuh ke tangan mereka Khamis lalu. - Reuters

Wednesday 21 December 2016

Bas bawa penduduk dibakar





ALEPPO – Sekumpulan lelaki bersenjata membakar lima buah bas yang sepatutnya digunakan dalam proses pemindahan penduduk awam dekat Idlib di Syria kelmarin.

Kejadian itu menyukarkan lagi perjanjian untuk membenarkan beribu-ribu penduduk berpindah keluar dari kawasan terakhir yang dikuasai kumpulan penentang di Aleppo.

Rakaman video di internet menunjukkan sekumpulan lelaki bersenjata bersorak selepas membakar lima bas berwarna hijau yang akan digunakan untuk memindahkan penduduk di dua perkampungan Syiah di Al-Foua dan Kefraya, luar Aleppo.

Kumpulan Pemerhati Hak Asasi Manusia Syria (SOHR) berkata, proses pemindahan dekat Idlib itu terpaksa ditangguhkan akibat insiden tersebut.

Media rasmi kerajaan Syria menuduh kumpulan penentang yang memerangi Presiden Bashar Al-Assad bertindak membakar bas-bas itu.

Namun, seorang pegawai kanan kumpulan penentang sebaliknya menyatakan bahawa pejuang pro-Bashar bertanggungjawab atas perbuatan tersebut.

Dalam perkembangan berkaitan, sebanyak lima buah bas yang sarat dengan penumpang ditahan selama beberapa jam semasa meninggalkan Aleppo sebelum tiba di wilayah dikuasai kumpulan penentang di luar bandar itu dalam perjalanan sejauh 5 kilometer.

Sebagai balasan membenarkan pemindahan orang awam di kawasan dikuasai mereka di timur Aleppo, kumpulan penentang yang mengamalkan ajaran Sunnah bersetuju membenarkan penduduk Syiah di Al-Foua dan Kefraya berpindah.

Dalam perkembangan terbaharu semalam, lebih 3,000 orang meninggalkan kubu terakhir kumpulan penentang di Aleppo selepas proses pemindahan itu mengalami kelewatan beberapa jam

“Sebanyak 20 bas yang membawa penduduk dari timur Aleppo tiba di kawasan dikuasai penentang,” kata Dr. Ahmad Dbis yang mengetuai pasukan doktor dan sukarelawan menyelaraskan operasi pemindahan tersebut.

“Sebanyak 25 kenderaan lain tiba kurang dua jam kemudian menjadikan bilangan penduduk yang dipindahkan berjumlah 3,000 orang,” tambahnya. - Reuters/AFP



Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2016&dt=1220&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_02.htm#ixzz4TTbw4VOf
Hakcipta terpelihara 

Duta Rusia mati ditembak di Turki






KARLOV rebah ke lantai selepas ditembak beberapa kali, manakala penyerangya dibunuh oleh pihak polis.- REUTERS

ANKARA – Seorang anggota polis Turki dilaporkan menjerit ‘Aleppo’ dan ‘Tuhan Maha Besar’ selepas menembak mati Duta Rusia ke Turki, Andrei Karlov (gambar kecil) di sebuah galeri seni di Ankara kelmarin.

Pembunuhan itu mendorong Presiden Rusia, Vladimir Putin berjanji untuk menggandakan usaha memerangi keganasan.

Karlov mati akibat kecederaan selepas ditembak beberapa kali di hadapan isterinya di sebuah dewan pameran di Ankara. Beliau meninggal dunia menjelang mesyuarat penting di Moscow semalam yang melibatkan Menteri Luar Rusia, Turki dan Iran bagi membincangkan konflik Syria.

Rakaman video dramatik memaparkan detik lelaki bersenjata itu menembak Karlov di belakang ketika beliau bersiap sedia untuk merasmikan pa­meran fotografi Rusia.

Diplomat itu berdiri di podium untuk berucap sebelum rebah ke lantai serentak bunyi beberapa das tembakan. Anggota polis itu menjerit ‘Tuhan Maha Besar’ dan bercakap tentang jihad dalam bahasa Arab.

Suspek kemudian bertutur dalam bahasa Turki dan berkata: “Jangan lupa tentang Syria, ja­ngan lupa pasal Aleppo. Semua yang mengambil bahagian dalam kezaliman ini harus dipertanggungjawabkan”.

Menurut agensi berita rasmi Anadolu, lelaki bersenjata itu telah ‘ditumpaskan’ dalam operasi polis di dewan itu selepas pertempuran selama 15 minit berikutan dia enggan menyerah diri.

Gambar suspek terbaring di lantai dengan badannya penuh kesan tembakan mula tersebar di media sosial.

Menteri Dalam Negeri Turki, Suleyman Soylu mengesahkan identiti penyerang sebagai Mevlut Mert Altintas dan berusia 22 tahun. Dia berkhidmat dengan unit antirusuhan di Ankara sejak dua setengah tahun lalu.

Ibu, bapa dan adik perempuannya dilaporkan ditahan untuk soal siasat di kediaman mereka di barat Turki.

Pembunuhan itu berlaku beberapa hari selepas tunjuk pe­rasaan diadakan di Turki bagi membantah campur tangan Rusia di Syria.

Sementara itu, Putin meng­anggap pembunuhan Duta Rusia itu sebagai tindakan ‘provokasi’ bertujuan untuk menjejaskan hubungan yang dibina antara Moscow dan Ankara serta usaha menyelesaikan konflik Syria.

“Hanya ada satu jawapan untuk ini, iaitu menggandakan usaha memerangi keganasan,” kata Putin. – AFP



Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2016&dt=1221&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm#ixzz4TTN7YVU0
Hakcipta terpelihara

Vladimir Putin kecut perut


21 Disember 2016 2:49 PM

ANKARA 21 Dis. - Presiden Rusia, Vladimir Putin telah mengerahkan lebih ramai anggota keselamatan untuk berada dalam keadaan bersedia untuk menghadapi sebarang insiden keganasan dalam masa terdekat.

Beliau turut mengarahkan pasukan khas untuk memastikan keselamatan diri beliau dan sekitar kawasan kediamaannya serta pejabat wakil-wakil rakyat Rusia dalam dan luar negara diberi perhatian khusus.

Akhbar The Sun melaporkan, Putin telah mengarahkan perkhidmatan rahsianya untuk meningkatkan keselamatan selepas mendapat maklumat akan ada lebih banyak serangan pengganas terhadap pejabat kerajaan dalam masa terdekat.

Menurut Putin, beliau masih dalam keadaan terkejut dengan insiden rempuhan lori di sebuah pasar Krismas di Berlin yang menyebabkan 12 orang awam terbunuh.

“Saya telah minta pasukan keselamatan khas untuk mengambil apa-apa langkah tambahan untuk memastikan keselamatan dalam Rusia dan di luar negara,” katanya.

Daesh dipercayai telah mula menyebarkan lokasi kedutaan Rusia dalam usaha untuk menghasut lebih serangan ke atas pegawai kerajaan negara itu.-UTUSAN ONLINE

Tuesday 20 December 2016

Aleppo diselubungi kekejaman


Orang awam tidak berdosa jadi mangsa percaturan kuasa besar dunia
MOWARDI MAHMUD, 
J. KASTHURI DAN 
AZUAR FAHMI MOHD. ALI | 19 Disember 2016 12:15 AM


SUATU ketika dahulu Aleppo dengan penduduk sekitar 2.3 juta merupakan sebuah bandar raya terbesar di Syria yang berjaya menambat hati pelancong, bahkan diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia oleh Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).
Kini, bandar yang antaranya menempatkan masjid yang hebat pada abad ke-12 dan pasar tertutup Souk kini musnah.
Aleppo menjadi ‘sebuah kubur besar’ kepada nilai kemanusiaan akibat keangkuhan kuasa besar iaitu Amerika Syarikat (AS) dan Rusia. Masing-masing, tidak segan silu mendabik dada menjadi pejuang kepada kebaikan dalam perang menentang kejahatan.
Kedua-dua bukan apa yang disangka ramai. Contohnya, AS yang lebih berjaya menonjolkan sisi gelap Rusia bukanlah adiwira seperti yang digambarkan bahkan lebih mengutamakan kepenti­ngan diri dan tindakannya hanya untuk mengekang pengaruh dan kuasa musuh tradisinya itu.
Dr. Micheal Scheuer, dalam wawancara dengan penulis buku kon­flik di Asia Tenggara, Fahmi Faiz, mendakwa negara kuasa besar dunia itu penyokong al-Qaeda (atau kini Daesh), dan dianggap lebih jahat berbanding Pre­siden Bashar al-Assad. Menurut Sche­uer yang pernah berkhidmat de­ngan Agensi Peri­sikan Pusat (CIA) selama lebih 20 tahun, al-Qaeda me­rupakan pembekal soko­ngan kepada kumpulan pejuang kebebasan yang kebanyakannya kumpulan amatur manakala penglibatan AS dalam Syria adalah kerana pengaruh Israel untuk melestarikan impian The Greater Israel dengan dikelilingi musuh-musuh yang dijinakkan.
Malah pada 2007, Jeneral Wesley Clark, seorang jeneral empat bintang AS yang telah bersara mengakui terdapat gerakan me­numbangkan tujuh buah negara dalam masa lima tahun iaitu Iraq, Syria, Lebanon, Libya, Somalia, Sudan dan diakhiri Iran.
Jelas sekali, Syria adalah mang­sa percaturan kuasa besar yang tidak sukar untuk dinamakan dalang­nya, tidak ubah seperti ‘gajah sama gajah bergaduh, pelanduk mati di tengah-tengah’. Perang saudara itu juga pertembungan antara fahaman Syiah dan Sunnah yang gagal didamaikan oleh dunia Islam tetapi digunakan kuasa asing sebagai senjata melemahkan Islam.
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pula terperangkap dalam keadaan tidak mampu berbuat apa-apa. Nasib penduduk di Syria terus tidak terbela malah sekadar menjadi satu lagi peristiwa dalam lipatan sejarah dunia untuk di­ingati satu masa nanti.
Pada masa sama, tangan Setia­usaha Agung PBB, Ban Ki-moon juga terikat sekadar mampu me­ngungkapkan keadaan di bandar Aleppo bagaikan ‘neraka dunia’.
Sebenarnya, apa yang berlaku tidak mampu untuk digambarkan lagi, sudah lebih daripada meruncing.
Gencatan senjata yang dilakukan kini terhenti dan belum lagi diteruskan semula dengan penduduk awam diibaratkan se­perti menghitung saat kematian. Ketika ini, lebih 9,000 daripada 50,000 berjaya dikeluarkan daripada Aleppo untuk dipindah ke kawasan dikuasai pejuang iaitu Idlib, yang berdepan pelbagai kekurangan makanan dan perubatan.
Rusia pula ‘bersandiwara’ apabila mengatakan pemindahan orang awam hanya melibatkan pembe­rontak telah selesai manakala Syria yang dibantu Iran berfahaman Syiah pula mendakwa sebaliknya. Apa yang berlaku ini memberikan tanggapan wujudnya muslihat.
Bagaimanakah nasib puluhan ribu orang awam, keba­nyakan berfahaman Sunni yang belum sempat dikeluarkan daripada bandar yang musnah akibat perang saudara itu termasuk mereka yang cedera, orang tua dan kanak-kanak.
Bilangan mereka yang masih terperangkap itu dikatakan tidak termasuk lebih 37,000 orang yang telah keluar mendapat perlindu­ngan di barat Aleppo atau kawasan pinggir bandar. Malah, terdapat sekurang-kurangnya 14,700 orang lagi terpaksa berhimpit di dalam rumah-rumah perlindungan termasuk di kilang pembuatan kapas dalam suasana musim sejuk yang menambahkan kesengsaraan mereka.
Tanpa bantuan yang disalurkan, mereka bagaikan menunggu kematian apabila kebanyakan hospital yang besar sudah hancur. Cuma yang tinggal beberapa klinik yang berope­rasi secara ‘haram’. Soalnya, dapatkah mereka meneruskan hidup tanpa bantuan perubatan dan makanan?
Malang sekali, pemimpin du­nia Islam ‘membisu’ untuk bertindak tegas dan menghulurkan bantuan yang diharapkan.
Tanpa tindakan segera yang bersepadu, kita akan sekadar me­ngulangi satu lagi bencana kemanusiaan seperti mana di Bosnia.
Biarpun ‘pokok pisang sememangnya tidak berbuah dua kali’ tetapi kegagalan untuk menyelamatkan orang awam yang terperangkap di Aleppo bagaikan mengundang berulangnya pembunuhan beramai-ramai di Srebrenica ketika Perang Bosnia 1995.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/aleppo-diselubungi-kekejaman-1.421476#sthash.xzv82lyD.dpuf

Lebih 5,000 keluar Aleppo

20 Disember 2016 12:28 AM


BEIRUT 19 Dis. - Selepas berjam-jam, malah berhari-hari menanti di sebalik cuaca sejuk dan kekurangan bekalan makanan, lebih 5,000 penduduk Aleppo yang terkepung ekoran konflik di wilayah berdarah itu mampu melafazkan kesyukuran apabila berjaya dipindahkan.
Jumlah itu termasuk anak-anak yatim, sekali gus menjadi jumlah keseluruhan yang dipindahkan 12,000 orang setakat ini.
Menurut seorang pegawai perubatan, Dr. Ahmad Dbis, proses pemindahan di bahagian barat wilayah itu berjalan lancar sebaik sahaja 20 buah bas tiba untuk membawa mereka keluar dari wilayah yang dianggap oleh Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Ban Ki-moon sebagai ‘ne­raka dunia’ itu.
Menurut Ahmad, 25 buah bas lagi tiba kira-kira dua jam selepas itu.
Ketika orang awam dipindahkan ke tempat selamat, Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu sedang membincangkan untuk menghantar pengawas yang akan menyelia pemindahan keluar secara besar-besaran.
Semalam, lebih 30 buah bas padat dengan warga Aleppo terpaksa menunggu hampir semalaman sebelum meninggalkan wilayah itu ketika cuaca sejuk semakin memburuk.
Bagaimanapun, hanya lima buah bas yang memuatkan kira-kira 350 penduduk dibenarkan melepasi pusat kawalan terakhir di Aleppo selepas campur tangan Rusia dan Turki.
Sementara itu, puluhan bas lain dikatakan gagal digerakkan dan terpaksa menunggu beratus-ratus lagi penduduk yang dijangka dipindahkan dari dua kawasan perkampungan di barat laut Syria.
Ketua Pemantau Syria bagi Hak Asasi Manusia (SOHR), Rami Abdel Rahman pula mengesahkan, kira-kira 500 penduduk telah meninggalkan Fua dan Kefraya di Idlib ketika ini.
Dalam perkembangan ber­kaitan, lima lelaki bersenjata dilaporkan bertindak membakar lima buah bas yang sepatutnya digunakan untuk mengangkut penduduk di Idlib.
Jelas Rami, ekoran insiden itu, proses untuk membawa le­bih ramai penduduk Idlib keluar dari wilayah tersebut terpaksa ditangguhkan.
Beberapa rakaman video yang dimuat naik ke dalam media sosial menunjukkan, lelaki-lelaki berjambang yang memegang senjata menjerit kegembiraan selepas membakar bas-bas tersebut sebelum mereka sampai ke perkampu­ngan berkenaan.
Media-media tempatan kemudian menyifatkan perbuatan kejam itu sebagai ‘keganasan bersenjata’ iaitu istilah yang digunakan oleh semua penentang Presiden Syria, Bashar al-Assad yang dipercayai mendalangi serangan itu.
Dalam pada itu, Majlis Ke­selamatan Per­tubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) meluluskan draf resolusi berkaitan pengawasan proses pemin­da­han penduduk Aleppo itu semalam. – AFP/REUTERS
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/lebih-5-000-keluar-aleppo-1.421963#sthash.Wk4SSkYk.dpuf

Wednesday 14 December 2016

Rejim Assad sembelih kanak-kanak, wanita setiap jam


13 DISEMBER 2016

Bashar al-Assad
Bashar al-Assad

ALEPPO - SYRIA. Sukarelawan kemanusiaan di Aleppo merayu bantuan selepas melaporkan askar rejim Bashar al-Assad membunuh mereka yang dituduh mempunyai kaitan dengan Free Syrian Army.

Laporan CNN mengatakan mereka yang dibunuh termasuklah kanak-kanak dan wanita, kata aktivis Mohammad Basbous di Aleppo Media Center semalam.

"Setiap jam, hukuman bunuh dijalankan," kata Syrian Observatory for Human Rights pula.

Laporan pembunuhan tersebut muncul selepas tentera rejim dan Rusia berjaya menawan kembali Aleppo dari tangan pemberontak dan pejuang Sunni.

"Ramai orang dibunuh terutamanya mereka yang masih muda," kata Pengarah Hospital Union of Medical Care and Relief, Ahmad Dbais.

Selain itu, askar kerajaan memecah masuk rumah penduduk dan menghalau penduduk Aleppo, menyebabkan mereka kehilangan tempat tinggal.

Ketika ini, kumpulan aktivis dan Pertahanan Awam Syria, White Helmets merayu bantuan antarabangsa untuk keselamatan sukarelawan dan lebih 100,000 orang awam.

"Mayat bergelimpangan memenuhi jalan," kata White Helmets dalam satu kenyataan.

Aleppo jatuh ke tangan Bashar






AFP - PENDUDUK meninggalkan keganasan kejiranan Al-Salihin di Aleppo, Syria kelmarin.

ALEPPO, Syria – Tentera Syria dan sekutunya menguasai­ semua daerah di Aleppo yang ditinggalkan oleh kumpulan penentang ketika mereka berundur, kata sumber tentera Syria semalam.

Pertahanan kumpulan penentang musnah kelmarin dengan tentera Syria menguasai lebih separuh kawasan yang mereka tinggalkan. Kumpulan penentang berundur ke beberapa da­erah di tebing barat sungai di bandar itu.

Menguasai semula semua kawasan yang dikuasai kumpulan penentang di Aleppo menjadi kemenangan paling besar untuk Presiden Syria, Bashar Al-Assad dan pakatan tenteranya yang disertai tentera udara Rusia, Iran dan militia Syiah.

Bagi kumpulan pembe­rontak pula, kekalahan di Aleppo amat menyedihkan, manakala mereka kini tidak mempunyai kekuatan di ­mana-mana bandar utama di Syria.

Kumpulan pemberontak bagaimanapun masih me­nguasai kebanyakan kawasan luar bandar di barat Aleppo dan Wilayah Idlib, barat laut Syria.

Selepas kawasan dikuasai penentang Bashar dibom selama beberapa hari, kadar serangan udara menurun lewat kelmarin, kata seorang wartawan agensi berita Reuters di bandar itu.

Tentera Syria pula me­ngadakan sambutan sepanjang malam kelmarin dengan pemberita sama berkata, bedilan peluru kelihatan se­perti hujan ketika askar-askar Syria melepaskan tembakan ke udara untuk meraikan kemenangan mereka. – Reuters



Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2016&dt=1214&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm#ixzz4SlKUFMER
Hakcipta terpelihara 

Tuesday 13 December 2016

Pindah lebih 8,000 orang dari timur Aleppo




ORANG ramai melarikan diri daripada keganasan di Aleppo. - AFP


Moscow: Tentera Russia berkata, ia membantu memindahkan 8,000 orang awam dari timur Aleppo yang masih dikuasai puak penentang.

Pusat Perdamaian Syria Russia berkata, 8,461 orang awam termasuk 2,934 kanak-kanak dipindahkan dari kejiranan di timur bandar itu dalam tempoh 24 jam lalu.

Katanya, 14 pejuang penentang menyerah diri dan diampunkan.


Sebelum itu, Menteri Luar Russia Sergey Lavrov berkata, tentera Syria menghentikan seketika operasi di Aleppo bagi membolehkan pemindahan orang awam.

Bagaimanapun, semalam, tentera rejim dan sekutunya dilaporkan masih melancarkan serangan di timur
Aleppo yang semakin jatuh ke tangan tentera Presiden Bashar al-Assad.

Sementara itu, seorang pentadbir hospital di kawasan itu berkata, kakitangan perubatan menyerahkan senarai nama pesakit yang perlu dipindahkan segera, namun tiada maklum balas.

“Kami masih menunggu maklum balas dan sementara itu masih dibelenggu ketakutan kerana serangan tetap diteruskan,” katanya. - AP
Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 10 Disember 2016 @ 7:37 AM

90 peratus timur Aleppo ditawan


13 DISEMBER 2016
90 peratus timur Aleppo ditawan


90 peratus timur Aleppo ditawan Jumlah orang awam meninggalkan kawasan kejiranan di timur Aleppo dilaporkan semakin meningkat. - Foto: AFP
DAMSYIK - SYRIA. Tentera Syria merampas semula daerah utama di tenggara Aleppo selepas mereka semakin mara ke bahagian terakhir dikuasai militan di bandar terbabit.

Semalam, Ketua Kumpulan Pemerhati Hak Asasi Manusia Syria (SOHR), Rami Abdel Rahman memaklumkan, Sheikh Saeed kini telah dikuasai tentera kerajaan.

"Kemajuan besar menyingkirkan kumpulan militan dari kubu kuat mereka di bahagian timur itu dibuat dalam tempoh tidak sampai sebulan. Tentera Syria kini menguasai kira-kira 90 peratus kawasan di timur Aleppo," jelasnya.

Menurut SOHR, kira-kira 10,000 lagi orang awam meninggalkan kawasan dikuasai militan di Aleppo dan pindah ke bahagian di bawah kawalan kerajaan dalam 24 jam.

Sementara itu, Kementerian Pertahanan Rusia dalam satu kenyataan memaklumkan, 728 militan meletak senjata dan melarikan diri ke barat Aleppo. - Press TV

Penentang Bashar ditawar laluan selamat








Orang awam dari kawasan dikuasai kumpulan penentang di timur Aleppo tiba di pos kawalan tentera rejim Bashar di Al-Hawoz pada Sabtu lepas. - AFP

ALEPPO, Syria – Kumpulan penentang rejim Presiden Bashar Al-Assad di Syria menerima cadangan disokong Amerika Syarikat (AS) untuk mereka dan penduduk awam meninggalkan bandar Aleppo melalui laluan selamat yang dijamin oleh Rusia, kata beberapa pegawai kumpulan penentang kelmarin tetapi Moscow menafikan persetujuan itu.

Sekiranya cadangan itu dipersetujui oleh semua pihak, ia akan menamatkan perang selama empat tahun di Aleppo.

Kepungan dan pengeboman ke atas Aleppo terutamanya di kawasan yang dikuasai kumpulan penentang telah mencetuskan krisis kemanusiaan.

Tiga pegawai kumpulan penentang di Aleppo membe­ritahu agensi berita Reuters bahawa surat mengenainya telah diterima oleh mereka. Ia menawarkan pengunduran ‘terhormat’ untuk mereka beredar ke kawasan pilihan sendiri.

Kumpulan-kumpulan penentang itu masih belum memberikan maklum balas mereka. Namun, jika cada­ngan itu diterima sepenuhnya, ia akan memberikan kemenangan terbesar buat Bashar dan sekutunya yang terdiri daripada Rusia, Iran serta militia Syiah dalam perang saudara selama enam tahun di Syria.

Bagaimanapun, tindakan kumpulan Daesh menawan semula bandar purba Palmyra kelmarin membuktikan kesukaran yang dihadapi Bashar untuk mengekalkan pemerintahannya di seluruh Syria walaupun selepas berjaya menawan kembali Aleppo.

Tentera Bashar menawan semula Palmyra daripada militan Daesh pada Mac lepas.

Dalam perkembangan berkaitan, Rusia menyatakan bahawa ia belum mencapai sebarang persetujuan dengan AS berhubung cadangan tersebut.

Menurut Moscow, rundi­ngan mengenainya di masih berlangsung di Geneva. – Reuters



Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2016&dt=1213&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_03.htm#ixzz4Sgq39uFr
Hakcipta terpelihara

Saturday 10 December 2016

8,000 penduduk timur Aleppo pindah -


10 DISEMBER 2016
8,000 penduduk pindah


8,000 penduduk pindah Penduduk di timur Aleppo dipindahkan selepas tentera kerajaan rampas kira-kira 85 peratus bahagian itu. - Foto AFP
DAMSYIK - SYRIA. Kira-kira 8,500 orang awam dipindahkan dari kawasan di timur Aleppo yang sebelum ini dikuasai kumpulan militan Daesh, di tengah-tengah operasi pembersihan di bandar Syria itu.

Kementerian Pertahanan Rusia dalam satu kenyataan berkata, seramai 2,934 kanak-kanak dipindahkan dari bandar berkenaan dalam 24 jam lalu.

"Tentera Rusia dan pakar pemusnah bom kini aktif membersihkan kawasan dibebaskan itu daripada periuk api dan bahan bom yang tidak meletup.

"Setakat ini, kira-kira 60,000 meter persegi telah dibersihkan dan pasukan keselamatan kembali memulihkan stesen pengepam air pusat, dua loji kuasa, dua sekolah serta dua masjid di bandar terbabit," menurut kenyataan itu.

Kelmarin, Menteri Luar Russia, Sergei Lavrov memberitahu, operasi tempur tentera Syria di timur Aleppo dihentikan sementara berikutan pemindahan orang awam terbesar dijalankan melibatkan lebih 8,000 orang. - Press TV

Thursday 8 December 2016

Mara selepas Daesh berundur dari Aleppo


WARTAWAN SINAR HARIAN
8 DISEMBER 2016

Tentera mara selepas Daesh berundur dari Aleppo


Tentera mara selepas Daesh berundur dari Aleppo Tentera Syria memeriksa roket buatan sendiri yang digunakan kumpulan pemberontak di kawasan kejiranan Masaken Hanano di Aleppo.
DAMSYIK - SYRIA. Tentera Syria dilaporkan berjaya membebaskan seluruh kawasan kota purba Aleppo sebagai sebahagian daripada operasi ketenteraan besar-besaran untuk mengusir kumpulan militan Daesh dari bandar strategik itu.

Kumpulan Pemerhati Hak Asasi Manusia Syria (SOHR), semalam memaklumkan tentera rejim Presiden Bashar al-Assad telah menawan keseluruhan kawasan bersejarah terbabit selepas Daesh berundur dari Aleppo.

"Daesh terpaksa meninggalkan kawasan terakhir di bandar itu kerana bimbang dikepung tentera kerajaan yang semakin mara ke Aleppo.

"Keselamatan telah berjaya dipulihkan di kawasan kejiranan Agyul dan Bab al-Hadid dengan bantuan pasukan angkatan bersenjata," kata jurucakap kumpulan itu yang berpusat di Britain.

Difahamkan, tentera Syria bersama sekutunya kini telah menguasai lebih 75 peratus kawasan timur Aleppo. - Press TV

Wednesday 7 December 2016

Kuasa veto Rusia, China


7 DISEMBER 2016
Kuasa veto Rusia, China


Kuasa veto Rusia, China Kebanyakan bangunan di kawasan kejiranan al-Shaar di timur Aleppo musnah dalam pertempuran antara tentera kerajaan dan kumpulan pemberontak.
NEW YORK - AMERIKA SYARIKAT . Rusia dan China, kelmarin menggunakan kuasa veto mereka untuk menolak resolusi Majlis Keselamatan PBB yang akan memberi mandat untuk gencatan senjata selama tujuh hari di Aleppo.

Moscow dalam satu kenyataan menegaskan, langkah tersebut akan membolehkan kumpulan pemberontak 'berkumpul semula' dan perkara itu memerlukan perbincangan lanjut bersama Amerika Syarikat.

"Tempoh bertenang seumpama ini akan digunakan oleh pemberontak untuk menambah bekalan senjata dan mengukuhkan kedudukan mereka yang akan mengeruhkan lagi situasi di bandar bergolak di Syria itu," kata Wakil Tetap Rusia ke PBB, Vitaly Churkin.

Resolusi yang dirangka oleh New Zealand, Mesir dan Sepanyol itu juga ditolak oleh Venezuela, manakala Angola berpendirian berkecuali. - AFP

Sunday 4 December 2016

Pelarian Syria ramai ke Scotland


4 DISEMBER 2016
Pelarian Syria ramai ke Scotland


Pelarian Syria ramai ke Scotland
SCOTLAND - Scotand mencatatkan pengambilan pelarian Syria yang lebih ramai daripada mana-mana bahagian lain di United Kingdom (UK) pada tahun pertama skim penempatan semula kerajaan.

Statistik mendedahkan bahawa seramai 4,162 orang telah ditempatkan semula di bawah inisiatif pada tahun ini hingga akhir September.

Tahun lalu, kerajaan UK komited untuk mengambil 20,000 rakyat Syria yang dihalau dari negara perang berkenaan menjelang tahun 2020.

Ketua Eksekutif Tindakan Pelarian, Stephen Hale berkata, pencapaian ini dilihat memberangsangkan selepas inisiatif ini diwujudkan.

“Ini adalah krisis pelarian paling teruk di dunia kerana lebih daripada 60 tahun.

“Kami mempunyai moral dan tanggungjawab undang-undang untuk menawarkan perlindungan kepada pelarian dari Syria dan negara-negara yang tidak selamat.

"Peristiwa-peristiwa yang mengerikan berlaku di Aleppo adalah peringatan kejam yang tidak ada akhir di sisi untuk perang di Syria atau penderitaan yang besar kanak-kanak dan orang awam yang terperangkap dalam keganasan,” katanya.

Sebanyak 49 peratus pelarian Syria yang berada di Soctland adalah berumur 18 tahun ke bawah iaitu seramai 2,059 orang, manakala seramai 1,189 terdiri daripada kalangan wanita.

Saturday 3 December 2016

Wartawan dijumpai mati ditembak di Iraq


03 Disember 2016 12:12 AM
SULAIMANIYAH, Iraq 2 Dis. - Seorang wartawan dijumpai mati ditembak di Kurdistan, sebuah wilayah autonomi di Iraq, kata polis dan seorang wakil parti politik di negara itu.

Mangsa dikenali sebagai Shoukri Zeneldin, bekerja di Dohuk untuk sebuah agensi berita tempatan, KNN yang dimiliki oleh parti politik utama Iraq iaitu Goran.

“Keluarga mangsa telah dimaklumkan mengenai penemuan itu selepas mangsa dilaporkan hilang sejak empat hari lalu,” kata jurucakap Goran, Abdul Razak Sharif.

Menurut jurucakap polis, Hayman Atroushi, mayat wartawan berusia 40 tahun itu ditemukan di sebuah perkampungan padang pasir di Amadiya, utara Dohuk. -AFP

Friday 2 December 2016

Aleppo akan jadi kubur besar




AFP - PENDUDUK di timur Aleppo meninggalkan kediaman masing-masing untuk mencari tempat selamat kelmarin.


ALEPPO – Ketua bantuan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memberi amaran bahawa Aleppo akan menjadi tanah perkuburan besar selepas lebih 50,000 penduduknya dilaporkan melarikan diri daripada pertempuran antara tentera kerajaan dan kumpulan pemberontak.
Majlis Keselamatan me­ngadakan sidang tergempar berhubung pertempuran tersebut di New York kelmarin.
Bercakap pada sidang tergempar tersebut melalui panggilan video dari London, Ketua Kemanusiaan PBB, Stephen O’Brien merayu tindakan segera diambil untuk menghentikan pertempuran di Aleppo.
“Atas dasar kemanusiaan, kami merayu pihak-pihak terlibat dan mereka yang berpengaruh supaya melakukan apa sahaja yang terdaya untuk melindungi orang awam dengan membuka laluan ke timur Aleppo sebelum kawasan itu menjadi tanah perkuburan besar,” katanya.
Desakan serupa dibuat oleh pemimpin kumpulan penentang Syria, Brita Hagi Hassan semasa lawatannya ke Paris juga kelmarin.
Beliau menggesa laluan selamat dibuka bagi memboleh­kan penduduk awam segera meninggalkan Aleppo.
Kegagalan untuk bertindak, katanya, akan menyebabkan PBB dipersalahkan atas kematian 250,000 penduduk di timur Aleppo yang digempur tentera rejim Presiden Bashar Al-Assad.
“Biarkan orang awam ini keluar, lindungi mereka, sediakan laluan selamat untuk mereka,” kata Brita selepas menemui Menteri Luar Perancis, Jean-Marc Ayrault.
Tentera Bashar dan sekutunya yang dibantu serangan udara Rusia berjaya me­rampas kira-kira 40 peratus kawasan yang dikuasai kumpulan penentang di timur Aleppo sejak melancarkan operasi besar-besaran untuk menawan semula bandar itu dua minggu lalu. – AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2016&dt=1202&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_02.htm#ixzz4RgrW31nX 
Hakcipta terpelihara