Thursday 19 May 2016

Wilayah dikuasai Daish semakin kecil

Pentagon: Wilayah yang dikuasai kumpulan pengganas Daish di Syria dan Iraq semakin kecil apabila kawasan berkenaan ditawan semula berikutan kejayaan serangan yang menyasarkan mereka.
Jurucakap Pentagon berkata semalam, ia termasuk separuh daripada wilayah di Iraq yang pernah dikuasai kumpulan itu.
Jabatan Negara Amerika Syarikat sebelum ini menganggarkan, Daish kehilangan kira-kira 40 peratus daripada wilayah yang ditawannya di Iraq dan 10 peratus lagi di Syria.
Bagaimanapun, keluasan kawasan yang terlepas dari cengkaman mereka meningkat sejak beberapa minggu lalu.
“Kawasan yang dikuasai mereka di Iraq kini tinggal 45 peratus daripada jumlah wilayah yang pernah mereka tawan. Di Syria, mereka kehilangan 10 peratus daripada wilayah yang mereka kuasai sebelum ini,” kata jurucakap Pentagon, Peter Cook.
Militan Daish melancarkan serangan besar-besaran dan menawan sebahagian besar Iraq dan Syria pada 2014 dengan sedikit tentangan daripada tentera Iraq dan mengambil kesempatan terhadap perang saudara di Syria.
Sejak Ogos 2014, Amerika Syarikat mengetuai pakatan memerangi Daish, termasuk melancarkan serangan udara di samping melengkapkan sekutu tempatannya dengan latihan dan senjata.
Di Iraq, Daish sudah kehilangan kuasa di Ramadi dan Heet. Bagaimanapun, mereka masih berkuasa di bandar lain, termasuk Mosil dan Fallujah.
Di Syria, kumpulan itu masih menguasai Raqa, ibu negeri kerajaan khalifah yang mereka tubuhkan. - Agensi
Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 Mei 2016 @ 12:18 PM