Tuesday 22 November 2016

Tiada lagi hospital di timur Aleppo



SUKARELAWAN Syria mengeluarkan seorang mangsa dari runtuhan bangunan di timur Aleppo selepas serangan udara oleh tentera kerajaan. - AFP



Geneva: Tidak ada lagi hospital yang berfungsi di Aleppo, wilayah di timur Syria yang dikuasai kumpulan penentang, tempat lebih 250,000 orang hidup dikepung tentera kerajaan.

Kemudahan perubatan berulang kali menjadi sasaran serangan perang saudara di negara itu dengan yang terbaru dilancarkan tentera kerajaan Selasa lalu, dalam usaha untuk menawan timur bandar raya itu.

“Ketika ini, tidak ada lagi hospital yang berfungsi di timur Aleppo yang terkepung itu,” menurut kenyataan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

“Lebih 250,000 lelaki, wanita dan kanak-kanak di sana kini tidak mempunyai akses kepada rawatan perubatan di hospital,” tambah agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) itu.

Menurut WHO, beberapa perkhidmatan kesihatan di kawasan yang musnah itu masih boleh didapati di klinik kecil, tetapi rawatan trauma, pembedahan besar dan bantuan perubatan bagi masalah lebih serius sudah terhenti.

Agensi PBB, termasuk WHO dilarang memasuki kawasan berkenaan sejak Julai lalu apabila tentera Syria menawan laluan terakhir ke timur Aleppo, menyebabkan ia terputus bekalan makanan dan bantuan perubatan untuk selama lebih empat bulan.

Duta PBB ke Syria, Staffan de Mistura yang gagal dalam rundingan untuk mendapatkan akses ke kawasan berkenaan memberi amaran, masa sudah semakin suntuk untuk mengelak bencana kemanusiaan.

Barat Aleppo yang dikuasai kerajaan menjadi sasaran serangan kumpulan penentang tetapi kawasan itu masih menerima bantuan kemanusiaan. - Agensi
Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 November 2016 @ 9:16 AM