Menteri Luar Perancis, Jean-Marc Ayrault menuduh Damsyik ‘penipu besar’ berikutan sera­ngan itu yang berlaku semasa pekerja-pekerja bantuan mula mengagih-agihkan bekalan makanan kepada beribu-ribu penduduk Daraya yang kelaparan.
Ayrault berkata, pihaknya ‘terlalu marah yang tidak boleh digambarkan’ lantas mengisytiharkan penamatan gencatan senjata yang telah goyah dan menggesa negara-negara kuasa besar dunia untuk bermesyuarat.
Konvoi yang membawa beras, kekacang, gula, minyak dan tepung gandum untuk orang awam tiba di Daraya Khamis lalu, buat pertama kali sejak regim Syria mengepung bandar itu pada hujung 2012.
Menurut saksi, pasukan tentera Syria menggugurkan bom ber­kenaan secara rambang menggunakan helikopter semasa penduduk sedang berkongsi makanan.
Serangan tersebut juga dikatakan berlaku selepas kumpulan Arab Kurdis mengumumkan berjaya mengepung kubu kuat kumpulan IS di utara Syria.
Anggota majlis bandaran, Shadi Matar berkata, bantuan tersebut masih belum diagih-agihkan berikutan serangan bertalu-talu tersebut.
Sementara itu, jurucakap Jabatan Negara Amerika Syarikat (AS), Mark Toner berkata, serangan itu tidak boleh di­terima dalam apa jua keadaan malah telah menjejaskan pe­nyaluran dan pengagihan bantuan yang diperlukan.
Menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), hampir 60,000 penduduk Syria mendiami kawasan-kawasan yang dikepung oleh kerajaan Syria manakala empat juta lagi penduduk berada di kawasan yang sukar dimasuki.
Dalam pada itu, agensi bantuan memberitahu, pihaknya tiba di Douma semalam iaitu bantuan pertama PBB sejak 2013 dengan membawa 39 buah trak berisi makanan dan barangan lain termasuk ubat.
Pihak bantuan kemanusiaan PBB masih menunggu persetujuan Damsyik untuk me­nyalurkan bantuan ke dua lagi kawasan yang dikepung Syria iaitu Al-Waer di wilayah Homs dan Zabadani di kawasan luar bandar Damsyik. – AFP