Monday 10 March 2014

Peluru penembak curi tembusi leher wartawan


Dubai: Seorang wartawan Syria maut ketika membuat liputan pertempuran antara tentera kerajaan dan pejuang pembangkang di Deir al-Zor.

Agensi berita Al Mayadeen yang berpangkalan di Beirut semalam melaporkan di laman web miliknya, jurukamera Omar Abdelqader maut ditembak di leher dalam kejadian Sabtu lalu itu.

Dia disahkan mati sejurus tiba di hospital.

Mangsa maut terkena peluru penembak curi ketika merakamkan ketibaan tentera kerajaan di kawasan dikuasai pemberontak.

Menurut kakak Omar, keluarganya sedang bersedia menyambut ulang tahun ke-27 mangsa ketika menerima berita itu.

Disember lalu, Jawatankuasa Perlindungan Wartawan mengumumkan Syria sebagai tempat paling berbahaya bagi wartawan untuk tahun kedua.



Sekurang-kurangnya 29 wartawan terbunuh tahun lalu ketika membuat liputan perang saudara yang berlangsung sejak tiga tahun lalu.

- Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2014/03/10