Friday 31 October 2014

30 dipaksa baris sebelum dibunuh


Hit: Militan yang didakwa anggota Negara Islam (IS) memaksa 30 lelaki Sunni berbaris di sebuah bandar di barat Baghdad sebelum menembak mereka mati, pagi semalam.
Pegawai dan penduduk berkata, kejadian berlaku di bandar Hit di daerah Al-Bakir yang menjadi medan pertempuran sengit antara kumpulan itu dengan penduduk tempatan sejak beberapa minggu lalu.
Kebanyakan lelaki terbabit dipercayai pemimpin suku kaum tempatan yang bersekutu dengan kerajaan Iraq dan membantu melancarkan operasi anti-IS di bandar berkenaan.
Militan itu mulanya memaksa lelaki berkenaan berjalan sekitar bandar sambil mereka melaungkan menerusi pembesar suara, mendakwa lelaki yang ditahan itu musuh Islam kerana menentang mereka, kata penduduk.
Mereka kemudian ditembak mati.
Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.
Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 31 Oktober 2014 @ 5:12 AM



MAYAT yang dikatakan mangsa pembunuhan IS bergelimpangan di jalan raya.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/5561#sthash.QBFAfvIa.dpuf

Militan bebas 25 pelajar Kurdis


Damsyik: Militan IS dilapor membebaskan 25 pelajar Kurdis yang mereka culik di wilayah Aleppo, utara Syria, semalam.
Satu kumpulan pemerhati berkata, pelajar yang dibebaskan itu adalah sebahagian daripada 150 pelajar Kurdis yang diculik di bandar Manbej, Aleppo, hujung Mei lalu sejurus selepas mereka selesai menduduki peperiksaan.
Ia kumpulan kedua dibebaskan sementara yang lain masih ditahan atas alasan anggota keluarga mereka menganggotai Parti Demokratik Kurdis.
Semua pelajar yang diculik itu berasal dari bandar Ayn al-Arab yang juga dikenali sebagai Kobane, tempat majoriti penduduk Kurdis Syria menetap dan juga menjadi medan pertempuran sengit sejak lebih sebulan lalu antara IS dengan pejuang Kurdis.
Kumpulan pemerhati itu tidak menyebut secara terperinci alasan pembebasan pelajar berkenaan, lapor Xinhua.- Agensi
Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 31 Oktober 2014 @ 5:07 A
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/5499#sthash.ocHbkXR8.dpuf

60 korban bom tong

Idlib: Sekurang-kurangnya 60 orang terbunuh dan puluhan lagi cedera selepas helikopter tentera Syria menggugurkan dua bom tong di sebuah kem pelarian di utara negara itu.
Aktivis berkata, sebahagian mangsa rentung hingga tidak boleh dikenali.
Bom itu digugurkan di kem berhampiran al-Habeet di Idlib, wilayah di utara Syria kelmarin dan kebanyakan terbunuh ialah wanita dan kanak-kanak, kata seorang aktivis kepada Al-Jazeera.
Menurutnya, tiada kumpulan bersenjata berada berhampiran kawasan kem itu ketika ia diserang.
Mangsa yang cedera dikejarkan ke hospital yang terletak 30 minit perjalanan dengan kereta.
Rakaman disiarkan dalam Youtube menunjukkan mayat wanita dan kanak-kanak rentung sementara orang ramai berusaha menyelamatkan mangsa yang cedera.
“Ini pembunuhan pelarian. Biar seluruh dunia melihat ini.
“Mereka melarikan diri dari keganasan. Tetapi, terus diburu. Mereka orang awam. Namun, masih menjadi mangsa kekejaman Bashar,” kedengaran suara seorang lelaki dalam rakaman itu.
Ada laporan lain menyatakan, 75 terbunuh dalam serangan berkenaan.
Bom tong biasanya diisi dengan paku, besi tajam dan bahan letupan dan digugurkan dari udara dengan helikopter.
Rejim Bashar al-Assad sering menggunakan bom itu di kawasan awam walaupun Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengharamkan penggunaannya di kawasan seperti itu.
Hampir 10 juta orang kehilangan tempat tinggal sejak perang saudara meletus pada 2011 dan jumlah kematian dilapor hampir mencecah 200,000 orang.
Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 31 Oktober 2014 @ 5:07 AM


BEBERAPA penduduk menutup mayat mangsa serangan bom tong di Idlib, utara Syria.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/5504#sthash.DtKXufOX.dpuf