Monday 1 June 2015

Ribuan migran diselamatkan di Mediterranean

Ribuan migran diselamatkan di Mediterranean
Kebanyakan pendatang melarikan diri dari negara asal untuk mencari kehidupan lebih baik.

ROM - ITALI. Lebih 4,200 pendatang dibawa ke selatan Itali selepas diselamatkan di Mediterranean dalam tempoh 24 jam, menurut pengawal pantai negara itu.

Difahamkan, kesemua migran diselamatkan dari bot nelayan kayu pada Jumaat dan kelmarin dalam operasi melibatkan kapal dari beberapa negara termasuk Itali, Ireland, Belgium dan Britain.

Panggilan kecemasan dibuat daripada 22 bot berbeza, di mana kebanyakannya berada di luar Libya dan luar pantai selatan Itali.

Jumlah migran yang diselamatkan dalam tempoh 24 jam lalu juga merupakan antara tertinggi sejak beberapa tahun kebelakangan ini, dengan hari paling banyak mangsa diselamatkan tahun ini adalah pada 12 April iaitu seramai 3,791 orang.

Lebih 40,400 pendatang melarikan diri dari konflik dan kemiskinan di negara asal mereka seperti Syria serta Eritrea telah tiba di Itali sejak awal tahun ini. - Al Jazeera

Pemberontak tawan bandar terakhir di Syria

Pemberontak tawan bandar terakhir di Syria
Pemberontak Nusra Front berjalan di sekitar bandar selepas mereka menakluki bandar Jisr al-Shughour, bulan lalu.

AMMAN - SYRIA. Tentera Syria dilaporkan berundur dari bandar Ariha selepas gabungan pemberontak merampas bandar terakhir di wilayah Idlib di barat laut negara berhampiran Turki.

Gabungan dikenali sebagai Jaish al-Fateh atau Penaklukan Tentera Darat itu turut terdiri daripada sekutu al-Qaeda, Nusra Front yang dipercayai adalah sebahagian besar daripada kumpulan terbabit.

Jurucakap tentera dalam satu kenyataan berkata, gabungan berkenaan telah mengambil alih bandar dan menakluki beberapa pusat pemeriksaan negara itu.

"Terdapat pertempuran sengit antara tentera dan pengganas Jabahat al Nusra selepas mereka menyusup masuk ke dalam bandar. Susulan daripada itu, unit angkatan tentera dipindahkan dari kedudukan mereka di Ariha ke kawasan lebih selamat di sekitar bandar," katanya. - Reuters