Badan Pemantau Hak Asasi Manusia Syria dalam kenyataannya, hari ini berkata, pesawat tentera udara Syria menggugurkan tujuh butir bom barel ke atas bandar Al-Bab, bandar di timur laut Aleppo, malam tadi.
Bom barel yang diperbuat daripada tong minyak, silinder gas atau tangki air yang padat dengan bahan letupan dan besi buruk kerap digunakan tentera Syria dalam perang saudara di negara itu hingga mendapat kritikan daripada kumpulan hak asasi manusia kerana menyebabkan banyak orang awam terbunuh.
Dalam perkembangan lain di Baghdad, Amerika Syarikat (AS) dan tentera bersekutu menjadikan perhimpunan yang dihadiri pemimpin-pemimpin kumpulan IS di Iraq sebagai sasaran serangan udara ke atas sebuah bandar yang bersempadan antara Iraq dan Syria.
Menurut laporan stesen televisyen Al-Hadath semalam, komander tertinggi IS, Abu Bakr al-Baghdadi turut hadir dalam perhimpunan itu, namun pegawai keselamatan Iraq dan AS tidak dapat mengulas lanjut berhubung laporan tersebut.
Bagaimanapun menurut dua saksi yang memberitahu agensi berita Reuters bahawa serangan udara itu menjadikan sebuah kediaman pemimpin kanan IS yang menjadi lokasi pertemuan itu di bandar al-Qaim yang bersempadan dengan Iraq sebagai sasaran.
Menurut saksi itu, IS telah mengosongkan sebuah hospital bagi membolehkan anggota mereka yang cedera dirawat di premis itu dan menggesa penduduk menderma darah.
Menurut penduduk, terdapat laporan yang tidak dapat disahkan bahawa pemimpin tempatan IS di wilayah Anbar, barat Iraq dan timbalannya terbunuh dalam serangan itu. – AFP/REUTERS