Friday 24 June 2016

Pemberontak Syria dibayar tentera AS


24 JUN 2015
Pemberontak Syria dibayar tentera AS

Pemberontak Syria dibayar tentera AS Angkatan Tentera Bebas Syria (FSA) menyediakan meriam untuk dilancarkan ke arah pasukan yang setia kepada Presiden Syria Bashar al-Assad di bandar Quneitra.
WASHINGTON - AMERIKA SYARIKAT. Pemberontak Syria yang menerima latihan ketenteraan Amerika Syarikat (AS) untuk menentang kumpulan militan IS dibayar AS$250 hingga AS$400 (RM936 hingga RM1,497) sebulan, bergantung kepada kemahiran, prestasi dan kedudukan kepimpinan, menurut Pentagon.

Jurucakap Jabatan Pertahanan, Kolonel Steve Warren berkata, seramai 2,000 pejuang Syria sedang menjalani latihan minggu lalu, manakala 1,500 lagi telah selesai pemeriksaan yang diperlukan.

"Minggu lalu, usaha latihan bergerak lebih perlahan daripada jangkaan kerana mengalami masalah memilih sukarelawan dan membawa mereka keluar dari Syria untuk menjalani latihan," katanya.

Difahamkan, hampir 6,000 penduduk Syria telah menawarkan diri untuk mengambil bahagian dalam usaha AS untuk melatih dan melengkapkan satu kuasa politik sederhana tentera Syria.

Sementara itu, menurut Jurucakap Gabungan Bersama Agensi Pasukan Petugas Syria, Kapten Scott Rye, terdapat juga beberapa kumpulan yang berhenti selepas menjalani latihan selama beberapa minggu.

"Antara sebab mereka keluar adalah kerana tidak memiliki kad pengenalan, di bawah umur atau tidak layak untuk latihan," katanya. - Reuters