Friday 21 November 2014

Bashar lancar 1,592 serangan ke atas penentang


REUTERS - SEORANG kanak-kanak menunggu untuk dirawat di sebuah hospital selepas cedera terkena bom yang dijatuhkan oleh tentera Syria di Meraba, timur Daraa kelmarin.


BEIRUT – Tentera yang setia kepada Presiden Syria, Bashar al-Assad telah melancarkan 1,592 serangan sejak beberapa bulan lalu terhadap kumpulan penentang menyebabkan sekitar 396 penduduk tempatan terbunuh, lapor kumpulan Pemantauan Hak Asasi Manusia Syria kelmarin.
Menurut kumpulan yang berpangkalan di Britain itu, mereka memperoleh maklumat bahawa sekurang-kurangnya 1,500 orang cedera dalam serangan itu yang dilakukan menggunakan pesawat udara dan helikopter.
Pesawat berkenaan menjatuhkan bom barel yang mengandungi serpihan besi terpakai dan letupan.
“Serangan udara sejak 20 Oktober lalu ditujukan di kawasan-kawasan seperti di wilayah Hama, Deraa, Idlib, Aleppo dan Quneitra serta beberapa kawasan di luar Damsyik.
“Mereka turut menyerang timur wilayah Deir al-Zor province di mana di kawasan itu tentera pakatan yang diketuai Amerika Syarikat sedang melakukan serangan bom melalui udara ke atas kumpulan militan Negara Islam (IS),” kata kumpulan itu.
Kerajaan Syria pimpinan Bashar didakwa meningkatkan serangan sejak tentera pakatan mula melancarkan serangan ke atas kedudukan IS di Syria pada September lalu.
Penganalisis berkata, peningkatan serangan oleh Syria itu berkemungkinan kerana kerajaan Bashar mahu melumpuhkan kumpulan penentang sebelum mereka mendapat latihan dan persenjataan daripada AS. – Reuters


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=1121&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_03.htm#ixzz3JeFwbRS5 
Hakcipta terpelihara