Tuesday 5 May 2015

Serangan udara di Syria bunuh empat kanak-kanak

Serangan udara di Syria bunuh empat kanak-kanak
Serangan di kawasan kejiranan Saif al-Dawla yang membunuh 4 kanak-kanak

ALEPPO - SYRIA. Sekurang-kurangnya tujuh penduduk termasuk seorang guru dan empat kanak-kanak terbunuh selepas berlaku serangan di utara bandar Alleppo, semalam.

Menurut Pemerhati Hak-Hak Asasi Syria di Britain, serangan berlaku di kawasan kejiranan Saif al-Dawla.

Sementara itu, memetik laporan The Indepedent, serangan oleh rejim Bashar al-Assad susulan serangan udara oleh tentera Amerika Syarikat (AS) di bandar Aleppo Jumaat lalu yang dipercayai telah membunuh 52 orang, termasuk tujuh kanak-kanak.

AS dan kuasa-kuasa Arab telah menjalankan serangan udara hampir setiap hari terhadap kumpulan militan IS di Syria sejak September lepas.

Di luar ibu negara, pertempuran berlaku di dalam dan sekitar bandar Maydaa antara tentera kerajaan Syria dan pemberontak.

Aktivis berkata, Maydaa adalah laluan bekalan utama keluar dari kawasan luar bandar yang terkapar dikenali sebagai Timur Ghouta, yang telah lama berada di bawah pengepungan kerajaan.

Pelatih kanan IS diberkas

Pelatih kanan IS diberkas
Tentera Lubnan berkawal di sekitar sempadan Syria berikutan jumlah militan yang semakin ramai di negara itu.

BEIRUT - LUBNAN. Seorang anggota kanan kumpulan militan IS telah ditahan di Lubnan semasa menggunakan pasport palsu, menurut pegawai pasukan keselamatan, semalam.

"Ibrahim al-Barakat, 40, diberkas awal pagi kelmarin dan dituduh sebagai ejen yang merekrut anggota baharu bagi kumpulan terbabit," katanya.

Menurutnya lagi, penahanan Barakat dibuat ketika dia cuba untuk melakukan perjalanan ke Turki melalui utara Lubnan dengan menggunakan dokumen palsu.

Press TV melaporkan selain didakwa menyerang unit tentera Lubnan tahun lalu, dia juga menghadapi tuduhan melatih anak muda dari Tripoli, iaitu bandar terbesar di negara itu, untuk berjuang dengan militan Syria dan Iraq.

Sejak beberapa bulan lalu, Lubnan menyaksikan peningkatan jumlah militan di sempadan Syria dan berdepan serangan dari sekutu al-Qaeda serta IS sejak krisis bermula empat tahun lalu.