Wednesday 3 August 2016

Helikopter Russia ditembak jatuh



DUA lelaki memeriksa rangka helikopter Russia yang ditembak jatuh di Idlib, wilayah utara Syria, semalam. - Reuters

Agensi
Damsyik: Sebuah helikopter pengangkut Russia ditembak jatuh di Syria semalam, menyebabkan lima orang di dalamnya terbunuh.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan di Moscow, Kementerian Pertahanan Russia berkata, helikopter Mi-8 itu terhempas di wilayah Idlib ketika dalam penerbangan pulang ke pangkalan tentera udara di Syria selepas menghantar bantuan kemanusiaan di bandar Aleppo.

Helikopter itu membawa tiga kakitangan dan dua pegawai pangkalan udara Hemeimeem.

Ia kematian terbesar menimpa tentera Russia dalam satu kejadian sejak Moscow mula melancarkan serangan udara di Syria bagi membantu Presiden Syria, Bashar al-Assad dalam memerangi kumpulan penentang September lalu.

Setakat malam tadi, belum ada pihak mengaku bertanggungjawab.

Bagaimanapun, sebahagian wilayah Idlib dikuasai kumpulan al-Qaeda cawangan Syria yang dikenali sebagai Barisan al-Nusra dan beberapa kumpulan penentang lain.

Kumpulan itu mengumumkan minggu lalu, ia menukar nama dan menamatkan hubungan dengan al-Qaeda.

Julai lalu, dua tentera Russia terbunuh di wilayah Homs apabila helikpoter Mi-25 mereka ditembak jatuh, dipercayai oleh kumpulan Daish.

Pada April, sebuah helikopter bersenjata Mi-28N terhempas dalam satu kemalangan di Homs, menyebabkan dua anggotanya terbunuh.
Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Ogos 2016 @ 7:33 AM

42 maut dalam dua serangan di Syria


03 Ogos 2016 12:57 AM

Anggota pemberontak Syria memerhatikan rangka helikopter Mi-8

Anggota pemberontak Syria memerhatikan rangka helikopter Mi-8 milik Rusia yang ditembak jatuh di wilayah Idlib, kelmarin. AFP
BEIRUT 2 Ogos – Seramai 42 orang dilaporkan terkorban dalam dua serangan berasingan di bandar Aleppo dan wilayah Idlib dalam tempoh 24 jam lalu di Syria.
Dalam serangan di Aleppo, bedilan tembakan yang dilancarkan oleh kumpulan pemberontak Syria mengakibatkan 30 orang penduduk awam terbunuh.
Ketua Badan Pemantau Hak Asasi Manusia bagi Syria, Rami Abdel Rahman berkata, mereka yang terkorban ‘termasuklah enam kanak-kanak dan lapan wanita’ di satu kawasan kediaman yang dikuasai kerajaan di bandar tersebut.
Tambah Rami, berpuluh yang lain cedera dalam serangan tersebut.
Pertempuran semakin se­ngit di bandar itu dalam tempoh beberapa hari lalu, setelah kumpulan pemberontak cuba menumpaskan tentera kerajaan yang mengepung bandar itu dan memotong akses tentera Syria ke seluruh bahagian utara wilayah tersebut.
Sebelum ini, Rusia memulakan langkah untuk menyelamatkan penduduk awam di Aleppo dengan membuka ‘koridor kemanusiaan’ bagi membebaskan penduduk yang terkepung di bandar itu.
Di utara Syria, 12 orang maut dalam serangan udara Rusia, beberapa jam selepas Moscow mengeluarkan kenyataan melaporkan helikopter mereka ditembak jatuh di wilayah Aleppo.
Menurut Badan Pemantau Hak Asasi Manusia bagi Syria, mangsa yang terkorban terma­suk dua kanak-kanak dalam satu serangan udara dahsyat berdekatan pangkalan udara Abu Dhuhur di wilayah Idlib.
Sebelum itu, Jeneral Rusia, Sergei Rudskoi berkata, helikopter jenis Mi-8 itu ditembak jatuh di kawasan yang dikuasai anggota kumpulan bekas sekutu al-Qaeda sehingga mengorbankan lima anak kapal.
Media tempatan Rusia turut mendakwa kumpulan militan Barisan al-Nusra yang menguasai kawasan berkenaan menjadi dalang serangan berkenaan, namun sehingga kini belum ada pihak mengaku bertanggungjawab. – AFP/DPA
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/42-maut-dalam-dua-serangan-di-syria-1.365899#sthash.XOtUXheD.dpuf

5 terkorban helikopter Russia ditembak jatuh

DUNIA ISNIN, 1 OGOS 2016 @ 11:31 PM

Gambar menunjukkan pemberontak Syria berkumpul di sekitar bangkai helikopter Russia Mi-8 pengangkut tentera selepas ia telah ditembak jatuh di sepanjang sempadan pentadbiran antara wilayah Idlib, barat laut Syria. - Foto AFP


 MOSCOW: Lima kru yang berada dalam helikopter tentera Russia terkorban selepas ditembak jatuh di Syria dekat daerah Idlib, kata Kremlin. "Setakat ini, kami dapat maklumat daripada kementerian pertahanan, mereka yang berada dalam helikopter itu mati. "Mereka mati sebagai wira kerana berusaha menjarakkan pesawat itu jauh bagi mengurangkan mangsa di darat," kata jurucakap Kremlin, Dmitry Peskov. Kementerian pertahanan terdahulu berkata, lima orang berada dalam helikopter berkenaan. Serangan itu dilaporkan berlaku ketika pejuang pembangkang Syria bertempur dengan tentera kerajaan di luar Aleppo dalam usaha mengurangkan penguasaan rejim ke atas kawasan ditawan pihak pemberontak di bahagian utara. - Agensi

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/179059

28 maut dalam serangan di Aleppo

SELASA, 2 OGOS 2016 @ 7:54 AM


BEDILAN oleh kumpulan pemberontak Syria membunuh sekurang-kurangnya 28 orang awam di daerah barat daya Aleppo dalam tempoh 24 jam lalu, menurut badan pemantau. - Foto Reuters

 BEIRUT: Bedilan oleh kumpulan pemberontak Syria membunuh sekurang-kurangnya 28 orang awam di daerah barat daya Aleppo dalam tempoh 24 jam lalu, menurut badan pemantau. Rami Abdel Rahman, ketua Pemantau Syria bagi Hak Asasi Manusia, berkata mereka yang terbunuh "termasuk enam kanak-kanak dan lapan wanita" di dua kejiranan yang dikuasai kerajaan di Aleppo. Katanya, berpuluh lagi orang turut tercedera. Lebih 280,000 orang terbunuh sejak konflik Syria tercetus pada Mac 2011. - AFP

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/179134