Hayat Boumeddiene
Sumber keselamatan Turki melaporkan, Boumeddiene memasuki negara itu pada 2 Januari lalu dan dia turut mempunyai tiket pergi balik dari Madrid ke Istanbul.
Jelas sumber berkata, wanita berusia 26 tahun itu dipercayai berada di bandar Sanliurfa, tenggara Turki sebelum ke bergerak ke Syria, tetapi tiada bukti jelas yang mengesahkan dia berbuat demikian.
“Pihak berkuasa Turki tidak menahan Boumeddiene kerana tidak memperoleh maklumat risikan daripada Perancis.
“Kami tidak boleh menghalang semua orang memasuki negara ini tanpa perkongsian maklumat risikan dan jika Perancis memberi data tersebut, Boumeddiene mungkin telah ditahan dan diekstradisi ke Paris,” kata sumber itu yang enggan dinamakan.
Bagaimanapun sumber itu menambah, perkongsian maklumat risikan antara Perancis dan Turki semakin baik selepas kejadian serangan di ibu pejabat akhbar mingguan Charlie Hebdo yang mengorbankan 12 nyawa.
Pihak berkuasa Perancis dalam pada itu mengesahkan Boumeddiene berada di luar Perancis ketika insiden serangan di Charlie Hebdo dan drama tebusan di pasar raya berlaku.
Boumeddiene, merupakan kekasih kepada seorang daripada suspek pengganas yang ditembak mati, Amedy Coulibaly, 32, dalam insiden tebusan di Porte de Vincennes, Paris. – AFP